BERITA HARI INI – 25/12/2016 ~ #JMBELOG BERITA HARI INI – 25/12/2016 - #JMBELOG

BERITA HARI INI – 25/12/2016

BERITA HARI INI – 25/12/2016 (by: MJI)

1.  MUAR 24 Dis. – Seorang saksi awal kejadian kemalangan membabitkan bas ekspres yang mengorbankan 14 nyawa di Km 137.3, Lebuh Raya Utara Selatan, berhampiran Kg. Jayor, Pagoh, dekat sini hari ini melihat bas itu 'terbang’ sebelum terjunam.  Ahmad Fahmi Khairuddin, 19, anak ketua Kg. Jayor berkata, semasa nahas itu dia bersama tiga rakannya sedang bermain Saidina di depan rumah yang terletak kira-kira 100 meter dari situ.

2.  MUAR 24 Dis. – Hari bahagia yang ditunggu seorang pekerja kilang, Mohd. Hanizan Othman, 30, terkubur apabila tunangnya, Nor Saidatul Akmal Idris, 21, merupakan antara 14 orang yang maut dalam nahas bas di Km 137.3, Lebuh Raya Utara Selatan arah utara, Pagoh dekat sini hari ini. Mohd. Hanizan yang berasal dari Pontian berkata, mereka dijadualkan bernikah pada 28 Januari depan sempena cuti Tahun Baharu Cina manakala majlis sebelahnya dirancang pada 12 Mac tahun depan.

3.  JOHOR BAHRU 24 Dis. – Sultan Ibrahim Sultan Iskandar melahirkan rasa simpati dan dukacita dengan tragedi kemalangan maut yang mengorbankan 14 nyawa dan 16 cedera di Pagoh, hari ini. Sultan Johor menyifatkan tragedi melibatkan bas ekspres di Km 137.3, Lebuh Raya Utara Selatan itu amat memilukan.  

4.  KUALA LUMPUR 24 Dis. - Kos pembinaan Transit Aliran Massa Lembah Klang (KVMRT) sebanyak RM40 bilion sudah tidak lagi relevan untuk dijadikan perbandingan kerana anggaran itu berdasarkan harga pada tahun 2009. Kos itu juga tidak meliputi tren elektrik, sistem berkaitan serta pengambilalihan tanah-tanah.  

5.  BAITULMAQDIS 24 Dis. - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam meluluskan satu resolusi menggesa supaya pembinaan penempatan haram Israel di wilayah Palestin segera dihentikan. BBC News melaporkan, langkah itu terpaksa diambil selepas Amerika Syarikat (AS) enggan menggunakan kuasa vetonya untuk tujuan tersebut.  

6.  GENEVA 24 Dis. - Malaysia dilaporkan berada di kedudukan ke-55 daripada 138 buah negara yang disenaraikan memiliki jumlah hutang tertinggi sepanjang tahun ini. Penilaian itu dibuat berdasarkan Indeks Daya Saing Global yang dikeluarkan Forum Ekonomi Dunia baru-baru ini. Menurut Business Insider, jumlah hutang dalam bentuk peratusan yang dicatatkan Malaysia ialah sebanyak 57.4 peratus.  

7.  KUALA LUMPUR 24 Dis. - Permodalan Nasional Berhad (PNB) akan terus mengoptimumkan aset strategik dan meningkatkan prestasi syarikat-syarikat miliknya seperti digariskan di bawah Pelan Strategik 2017-2022 bagi memastikan dapat memberi pulangan yang konsisten kepada para pelabur.
  
8.  MUAR 24 Dis. – Syarikat pemilik bas ekspres Alisan Golden Coach yang terlibat dalam nahas sehingga mengorbankan 14 nyawa di Kilometer 137.3, Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Kampung Jayor, Pagoh, dekat sini pagi ini akan memberi bantuan yang diperlukan mangsa.  

9.  KUALA LUMPUR 24 Dis. – Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad digesa bersikap jujur dalam memperkatakan isu bailout dan bukan hanya menggunakan istilah itu semata-mata kerana dendam politik terhadap PM DSeri Najib Tun Razak, kata Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohd. Razlan Muhammad Rafii. 

10.  ALOR SETAR 24 Dis. – Bekas PM, Tun Dr. Mahathir Mohamad kini seolah-olah terdesak menyakinkan rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu sehingga sanggup menjatuhkan maruah sendiri dengan mencanang kebaikan DAP yang tidak bersikap perkauman dalam program-program anjuran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).  

11.  KUALA LUMPUR 24 Dis. – PM DSeri Najib Tun Razak merakamkan takziah kepada keluarga mangsa yang terbabit dalam kemalangan bas ekspres yang mengorbankan 14 nyawa di KM137.3, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berdekatan kawasan rehat dan rawat Pagoh, awal pagi tadi.

12.  KUALA LUMPUR 24 Dis. - Keputusan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) meluluskan resolusi menentang penempatan haram Israel di Palestin dilihat satu kemenangan buat rakyat Palestin yang telah lama ditindas, kata DSeri Najib Tun Razak.

13.  KUALA LUMPUR 24 Dis. - Pihak polis hari ini mengesahkan tiada sebarang kejadian tali kereta kabel Sky Way Genting terputus di Genting Highlands yang dilapor mengorbankan ramai orang seperti yang tersebar di laman sosial. Tiada sebarang kejadian berkenaan berlaku di pusat peranginan terkemuka itu.  

14.  MUAR 24 Dis. - Hajat V. Renugah untuk mendirikan rumah tangga pada tahun hadapan tidak kesampaian apabila maut dalam nahas bas ekspres di KM 137.3, Lebuhraya Utara Selatan arah utara, awal pagi tadi. Abang mangsa, V. Sri Nivasan, 30, berkata, dia bergegas ke Muar dari Klang, Selangor, bersama keluarganya setelah mendapat berita kematian adiknya kira-kira pukul 10 pagi tadi daripada rakan adiknya.

15.  KOTA BHARU 24 Dis. - Sebanyak 36 pasangan dinikahkan beramai-ramai dalam Program Walimatul Urus Qubro 2016 di Masjid Ayesha, Kok Lanas, di sini hari ini. Program tersebut dianjurkan Pusat Khidmat Amal dan Aktiviti Masyarakat Ketereh (Khadam) dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Ketereh itu. Majlis bermula pukul 10.30 dan kesemua pasangan tersebut dinikahkan oleh enam imam.  

16.  DAMSYIK 24 Dis. - Dua orang terbunuh manakala 33 lagi cedera dalam satu letupan di sebuah sekolah yang dijadikan tempat simpanan senjata oleh kumpulan penentang di Sukkari dekat bandar Aleppo, hari ini. Agensi berita SANA melaporkan, empat daripada mangsa yang cedera berada dalam keadaan kritikal namun tidak menjelaskan sama ada mangsa merupakan anggota tentera atau orang awam.  

17.  ISTANBUL 24 Dis. - Turki membuka siasatan terhadap 3,710 individu berhubung status yang dimuat naik dalam media sosial manakala 1,656 telah ditahan sejak enam bulan lalu. Berdasarkan data yang diterbitkan oleh agensi berita Anadolu, seramai 1,203 individu telah dibebaskan dengan pemantauan pihak berkuasa.  

18.  DHAKA 24 Dis. - Seorang wanita dan remaja lelaki meletupkan diri selepas pihak berkuasa Bangladesh menyerbu tempat persembunyian kumpulan pelampau Islam itu di sini. Kejadian berlaku di tingkat bawah sebuah bangunan tiga tingkat di Ashkona di sini yang menjadi tempat persembunyian mereka sejak lima bulan lalu.  

19.  KUALA LUMPUR 24 Dis. – TPM DSeri Dr. Ahmad Zahid Hamidi malam ini menyampaikan ucapan selamat menyambut Krismas kepada rakyat Malaysia yang beragama Kristian dan berharap semoga sambutan kali ini lebih bermakna untuk semua.

20.  NEW DELHI 24 Dis. - Patung tertinggi di dunia akan dibina di Mumbai selepas Perdana Menteri India, Narendra Modi meletakkan batu asas pembinaannya yang menelan belanja kira-kira 36 billion rupee (RM2.4 billion) sekali gus mencetuskan kritikan dan petisyen bantahan terhadap projek berkenaan.

21.  LONDON 24 Dis. – Cucu kepada Ratu Elizabeth II, Zara Tindall dilaporkan mengalami keguguran. Zara dan suaminya, Mike yang juga bekas pemain ragbi bulan lalu mengumumkan mereka bakal menimang cahaya mata kedua bulan lalu. Bagaimanapun, jurucakap pasangan tersebut hari ini memberitahu, mereka telah kehilangan bayi kedua itu dan meminta privasi melalui masa-masa sukar.  

22.  Berlin 24 Dis. – Selepas berhempas pulas bertugas susulan serangan rempuhan trak di sebuah pasar Krismas di Berlin, polis di ibu negara ini mengambil keputusan ‘berehat’ seketika di Twitter sempena cuti perayaan tersebut. Susulan insiden rempuhan trak pada lewat Isnin lalu, polis Berlin kerap mengemas kini status di Twitter tentang perkembangan terbaharu insiden berkenaan.

23.   KUALA LUMPUR 24 Dis. - Rakaman detik-detik awal yang berjaya dirakamkan oleh pengguna Facebook, Baharudin Tumin semasa kejadian kemalangan bas ekpres Alisan Golden Coach yang berlaku di KM 137.4 Lebuh Raya Utara Selatan berdekatan Pagoh awal pagi tadi. Kemalangan berkenaan meragut 14 nyawa dan mencederakan 16 yang lain.  

24.  JOHOR BAHRU 24 Dis. - Dua aktivis alam sekitar yang ditahan kerana mengeluarkan kenyataan jelek terhadap Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam Facebook Selasa lalu dibebaskan daripada reman dengan jaminan polis malam ini. Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil, 54, dan pembantunya Norhayati Shahrom, 51, dibebaskan kira-kira pukul 7 malam tadi.  

25.  BACHOK 24 Dis. - Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dikuatiri lemas selepas hilang dibawa arus ketika bermain di tepi Pantai Irama, di sini hari ini. Dalam kejadian pada pukul 6 petang, seorang pengunjung yang menyedari kejadian cuba menyelamatkan mangsa namun gagal. Saksi itu cuba menarik kanak-kanak terbabit dengan memegang tangannya namun gagal selepas dihempas ombak besar.  

26.  KUALA LUMPUR 24 Dis. – SPAD telah menggantung dengan serta merta Lesen Pengendali Goldstar Express (M) Sdn Bhd bersama kesemua bas di bawah pengendali itu, bagi menjalankan siasatan terhadap kejadian tragedi kemalangan bas ekspres Alisan Golden Coach yang berlaku di KM 137.4 Lubuh Raya Utura Selatan awal pagi semalam dan mengorbankan 14 penumpang.

27.  MANILA 24 Dis. - Beribu-ribu penduduk yang tinggal berhampiran pantai di tengah negara ini dipindahkan selepas taufan kategori empat, Nock-ten diramal melanda esok. Taufan Nock-ten yang membawa angin selaju 130 kilometer sejam dijangka mendarat di wilayah Camarines Sur di Semenanjung Bicol.  

28.  MUAR 24 Dis. - "Saya rasa nak pergi jauh" adalah antara ayat-ayat terakhir Nur Amira Izzaty Razip, mangsa nahas bas ekspres di Pagoh yang maut, kepada tunangnya sebelum bas itu kemalangan awal pagi tadi.  Nur Amira, 22, antara 14 mangsa yang terkorban dalam nahas bas ekspres di KM137.3 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berdekatan dengan kawasan rehat dan rawat Pagoh dekat sini.

29.  KUALA LUMPUR 24 Dis. - Pendaki solo, Mohd. Noor Mat Amin berjaya memperbaharui pencapaiannya dalam Malaysia Book of Records (MBOR) bagi mendaki tangga Menara Kuala Lumpur (Menara KL) tanpa henti selama 24 jam.

30.  KUALA LUMPUR 24 Dis. - Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC) menyarankan agar konsep pusat makanan setempat halal, MyFoodLoft dibuka di semua lokasi tumpuan pelancongan yang ada di negara ini. Konsep pusat makanan ini amat ditunggu-tunggu bagi memberi peluang pelancong dan rakyat negara ini menikmati makanan halal dengan harga yang berpatutan.  

31.  MUAR 24 Dis. - Bas ekspres yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 137.2 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara pagi tadi, dipercayai dipandu laju sebelum terbabas sehingga 150 meter. Bas tersebut bertolak dari Stesen Bas Larkin, Johor Bahru ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur pada pukul 2 pagi tadi.  

32.  KUALA LUMPUR 24 Dis. - Aliran trafik ke utara dan selatan Semenanjung dilaporkan bergerak perlahan pagi ini berikutan cuti bersempena perayaan Hari Krismas esok. Trafik di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala ke utara dilapor bergerak perlahan dari Slim River ke Sungkai, Bidor ke Tapah, Gua Tempurung menuju Gopeng, kawasan mendaki Bukit Berapit menuju Changkat Jering, Bukit Tambun ke Juru, dan Bandar Baharu ke Jawi.  

33.  KOTA KINABALU 24 Dis. - P/jaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun menasihati orang awam supaya jangan gusar dengan berita tersebar mengenai ancaman termasuk daripada penjenayah rentas sempadan kerana pasukan keselamatan sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan.

34.  MUAR 24 Dis. - Seorang lagi mangsa kemalangan bas ekspres di KM 137 Lebuh Raya PLUS, dekat sini, arah utara, disahkan meninggal dunia sebentar tadi. Pertambahan tersebut menjadikan jumlah yang terkorban dalam nahas tersebut setakat ini seramai 14 orang.  

35.  IPOH 24 Dis. – Kumpulan Pengakap Terbuka Shiang Yang Bercham (KPTSYB) di sini terus menambah koleksi nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) apabila berjaya membina Struktur Perintis Pengakap Terpanjang di negara ini. Rekod baharu itu dihasilkan oleh 36 ahli pengakap yang terdiri daripada pelajar sekolah di sini.  

36.  KUALA LUMPUR, 24 Dis - Kementerian Pengangkutan telah mengarahkan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) untuk menjalankan siasatan terhadap nahas bas ekspres di Muar, Johor yang mengorbankan 14 nyawa, awal pagi tadi.

37.  KUALA LUMPUR, 24 Dis - Satu deklarasi menzahirkan taat setia dan menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V akan diserahkan kepada pihak Istana Negara dalam masa terdekat, kata Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (PERMAS).  Deklarasi itu adalah bagi mempertahankan kedudukan Yang di-Pertuan Agong daripada dicabar mana-mana pihak.

38.  MUAR, 24 Dis - Kerajaan negeri Johor akan menawarkan beberapa bentuk bantuan kepada semua mangsa nahas bas ekspres di Kilometer 137.3 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, dekat Pagoh, awal pagi tadi. Bantuan tersebut merangkumi kemudahan dan keselesaan kepada keluarga waris serta mangsa sepanjang berada Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini.

39.  MUAR, 24 Dis - Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini menyediakan empat katil di Unit Forensiknya bagi melicinkan operasi bedah siasat terhadap 14 mangsa kemalangan bas ekspress pagi tadi. Sepasukan tiga doktor bagi setiap katil bedah telah ditugaskan bagi bertujuan mempercepatkan urusan bedah siasat.

40.  JOHOR BAHRU, 24 Dis - Kementerian Luar Singapura (MFA) hari ini melahirkan kesedihan terhadap kemalangan bas yang meragut 14 nyawa dan mencederakan 16 penumpang di Kilometer 137.3 Lebuhraya Utara Selatan dekat Kg. Jayor, Pagoh di sini pagi tadi. Ketika ini Konsul Jeneral Singapura di Johor Bahru sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa Johor.

41.  MUAR, 24 Dis - Polis telah mengesahkan jumlah kematian terkini dalam nahas bas ekspres ialah seramai 14 orang iaitu 10 perempuan termasuk kanak-kanak dan empat lelaki pada kejadian di KM 137.3, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, berdekatan Kg. Jayor, Pagoh, dekat sini awal pagi tadi. Seramai 12 warga tempatan (empat lelaki, lapan perempuan termasuk kanak-kanak) dan dua wanita warga Singapura.

42.  TAIPING, 24 Dis - Persatuan Bulan Sabit Merah Daerah Larut Matang dan Selama (LMS) menawarkan perkhidmatan secara percuma kepada pihak yang memerlukan bantuan ketika kecemasan.  Bantuan itu bertujuan meringankan beban masyarakat terutama golongan miskin.

43.  TAMPIN, 24 Dis - Empat sekeluarga termasuk dua bayi kembar berusia satu tahun maut dalam kemalangan membabit dua kenderaan di Jalan Tampin-Gemas di sini. Dalam kejadian pukul 3.20 petang tadi, kereta Proton Saga yang dinaiki enam sekeluarga dipercayai terbabas sebelum melanggar sebuah kereta Proton Persona yang dipandu seorang lelaki yang berusia 62 tahun yang datang dari arah bertentangan.

44.  KUALA LUMPUR, 24 Dis - Menara Kuala Lumpur (Menara KL) terus menjadi tumpuan pelancong apabila mencatatkan kira-kira 850,000 pengunjung, melebihi sasaran yang ditetapkan untuk tahun ini.  60 peratus daripada jumlah pengunjung itu adalah pelancong luar negara manakala selebihnya adalah pelancong tempatan.

45.  BUKIT MERTAJAM, 24 Dis - Empat remaja lelaki dipercayai anggota geng curi motosikal yang aktif di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) di sini, ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Pengkalan Tambang, Permatang Pasir semalam.  Polis menyerbu rumah itu pada 1 pagi Jumaat dan menahan empat remaja berusia 14 hingga 17 tahun.

46.  KUALA LUMPUR, 24 Dis – PM DSeri Najib Tun Razak berkata rakyat Malaysia perlu berpegang teguh pada nilai-nilai murni yang mengikat erat mereka selama ini seperti sikap bertoleransi antara satu sama lain dan membantu golongan yang memerlukan.  Dalam perutusan Krismasnya, beliau berkata nilai-nilai itu didukung oleh penganut semua agama.

47.  BESUT, 24 Dis - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Jabatan Imigresen, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memperketat syarat pemberian visa kemasukan pelajar asing ke negara ini. Langkah berkenaan bagi memastikan penuntut berkenaan tidak terlibat dan menyebarkan sebarang aktiviti keganasan khususnya melibatkan militan Daesh di negara ini.

48.  PUTRAJAYA, 24 Dis - Rancanglah perjalanan anda, sentiasalah memakai tali pinggng keledar, patuhilah peraturan lalu lintas dan berehatlah jika keletihan, kerana keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab kita bersama, kata Menteri Pengangkutan DSeri Liow Tiong Lai hari ini.

49.  KUALA LUMPUR, 24 Dis - Seramai 49 juta pengunjung dicatatkan mengunjungi perpustakaan di seluruh negara tahun lepas yang melibatkan lebih 13,000 perpustakaan sama ada awam, desa, jabatan kerajaan dan institusi pengajian awam dan swasta.  Angka tersebut menunjukkan peningkatan yakni membuktikan sifat membaca yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Malaysia.

50.  NEW YORK, 24 Dis - Wakil Tetap Malaysia di PBB Datuk Ramlan Ibrahim, yang pulang ke tanah air pada Hari Krismas setelah berkhidmat selama dua tahun di sini, menyifatkan undi Majlis Keselamatan pada Jumaat yang menggesa Israel menghentikan pembinaan penempatan haram sebagai pengalaman paling bermakna baginya.

51.  KUALA LUMPUR, 24 Dis - Suasana terminal bas utama di ibu kota sesak sejak awal pagi tadi apabila warga kota mengambil kesempatan pulang ke kampung bersempena cuti sambutan Hari Krismas esok.  Di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Bandar Tasik Selatan dan Terminal Bas Pekeliling di sini, didapti masih ramai yang membeli tiket pada saat akhir untuk pulang ke destinasi masing-masing.

52.  MUAR, 24 Dis - "Kak, anak saya...mana anak saya kak...tolong...," demikian rintihan seorang wanita mangsa nahas bas ekspres di Kilometer 137.3 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat Pagoh, di sini, awal hari ini.  Perkara itu diceritakan seorang saksi kemalangan, Robiyah Tayeb, 48, ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Jayor, kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.  

53.  KUALA LUMPUR, 24 Dis - JPJ diarah membuat pemeriksaan rapi terhadap bas ekspres serta tahap kesihatan pemandu bas yang terbabit dalam kemalangan yang mengorbankan 14 nyawa di Pagoh, Johor awal pagi tadi. Tim. Men. Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata JPJ juga diarah bekerjasama dengan polis trafik dan pengendali Lebuhraya Utara-Selatan itu bagi menyiasat punca kemalangan tersebut.

54.  KUALA LUMPUR, 24 Dis - Kawasan pantai timur Semenanjung Malaysia dijangka mengalami hujan lebat selama tiga hari mulai Isnin ini, menurut Jabatan Meteorologi.  "Hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang mulai Isnin hingga Rabu ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

55.  JAKARTA, 24 Dis - Fenomena 'Om Telolet Om' di mana masyarakat meminta pemandu bas dan lori membunyikan hon berirama sebagai hiburan untuk mereka, turut mendapat reaksi Presiden Joko Widodo. Fenomena tersebut adalah satu cara rakyat mencari hiburan secara sederhana dan merasa bahagia mengenainya.

56.  KUALA LUMPUR 24 Dis. - Pihak berkuasa tempatan (PBT) harus melipatgandakan usaha membanteras perniagaan haram seperti premis judi yang masih giat beroperasi di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur. Walaupun penguat kuasa PBT sentiasa menjalankan tugas dengan baik, namun kewujudan lebih 1,000 premis judi boleh merosakkan imej PBT selaku pihak yang menjaga kebajikan masyarakat.

57.  KUALA LUMPUR 24 Dis. – Bekas PM, Tun Dr. Mahathir Mohamad didakwa cuba ‘memikat’ mahasiswa menerusi forum mengenai Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang berlangsung di pejabat Malaysiakini baru-baru ini. Dr. Mahathir dilihat sedang berusaha mendapatkan sokongan kerana dipercayai hampir 60 peratus golongan muda termasuk pelajar institusi pengajian tinggi negara ini bakal terlibat dengan pilihan raya umum nanti.  

58.  VALETTA 24 Dis. – Senjata milik dua lelaki yang nekad merampas sebuah pesawat Libya semalam dipercayai palsu, dedah pihak berkuasa Malta selepas siasatan awal forensik mengenai insiden tersebut dijalankan.

59.  SHAH ALAM 24 Dis. – Tindakan negara ASEAN seperti Malaysia memperjuangkan hak dan keadilan masyarakat Islam Rohingya bukan bermakna negara ini mahu campur tangan dengan pertadbiran Myanmar. Malaysia berpegang kepada hak asasi kemanusiaan dan tidak mahu soal diskriminasi timbul terhadap mana-mana etnik ataupun bangsa.  

60.  KOTA KINABALU 24 Dis. – Polis tidak menolak kemungkinan dua penceroboh yang dilaporkan hilang dalam pertempuran antara kumpulan penculik dan pasukan keselamatan di perairan Semporna pada 8 Disember lalu telah mati. Walaupun enggan mengesahkan mengenai perkara itu, Kedua-dua suspek bersama seorang juragan mangsa culik berdepan arus kuat pada kedalaman 84 meter di lokasi berkenaan.  

BERITA SUKAN

1.  KOTA BHARU 24 Dis. - Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Sri Annuar Musa menyerahkan kepada KAFA untuk menentukan penyertaan mereka dalam Liga Malaysia (Liga M) musim depan.  Hala tuju skuad The Red Warriors akan ditentukan Kongres KAFA pada 29 Disember ini dan beliau enggan membuat sebarang komen kerana bimbang ia akan mempengaruhi keputusan mereka.

2.  SHAH ALAM 24 Dis. - Lebih 11 kelab penyokong pasukan bola sepak Selangor hari ini menyerahkan memorandum kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi memohon perkenan dan perhatian baginda untuk menyelamatkan kelangsungan perjuangan Red Giants.

3.  MARANG 24 Dis. - Seramai 1,300 peserta menyertai Kejohanan Jamboree Basikal Bukit Batangan 2016 yang julung kali dianjurkan kerajaan negeri melalui Sekretariat Beautiful Terengganu di Batangan, dekat sini hari ini. Daripada jumlah itu, seramai 200 merupakan peserta anak negeri diikuti 1,057 peserta luar Terengganu, 40 (Thailand) dan tiga (Singapura).  

4.  KUALA LUMPUR 24 Dis. - Kapten Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim tidak menolak kemungkinan kembali menguatkan skuad Harimau Malaysia pada masa akan datang. Bagaimanapun bekas perancang utama kebangsaan itu berkata, fokusnya pada masa ini adalah membantu JDT mengharungi musim 2017 yang mencabar dan memastikan mereka mempertahankan kejuaraan Liga Super yang dimenangi tiga tahun berturut-turut.  

5.  KUALA LUMPUR 24 Dis. - Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) berharap agar Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah membuka pintu kepada barisan Exco untuk menghadap dan memberi ruang menceritakan hal sebenar berkaitan isu dalaman badan induk terbabit.

6.   KUALA LUMPUR 24 Dis. – Penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat, 27, menzahirkan rasa lega apabila banyak pihak tampil memberikan bantuan kewangan bagi memastikan The Red Warriors (TRW) mampu meneruskan saingan dalam Liga Super musim hadapan. Beliau berharap pengurusan Kelantan dapat segera mencari jalan bagi menyelesaikan masalah kewangan yang melanda pasukan itu.  

7.  SHAH ALAM 24 Dis. – Pengikut MB, DSeri Mohamed Azmin Ali di laman sosial Twitter hari ini menggesa beliau memulakan rombakan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dengan meletak jawatan sebagai Presiden FAS. Gesaan itu dibuat sebagai reaksi kepada status Azmin di akaun Twitter miliknya hari ini yang menyatakan sokongan penuh atas saranan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah supaya rombakan drastik dilakukan ke atas FAS. 

8.  KUALA LUMPUR, 24 Dis - Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) akan menjalani rombakan besar untuk memastikan persatuan itu diterajui oleh individu yang berkelayakan dan berwibawa yang boleh mengembalikan kecemerlangan kepada pasukan itu, kata Presiden FAS DSeri Mohamed Azmin Ali.

9.  PETALING JAYA, 24 Dis - Penyerang import berbisa Melaka United, Ilija Spasojevic, 29, yakin skuad Sang Kancil itu mampu menamatkan saingan Liga Super musim depan dalam kedudukan lima teratas. Pemain dari Montenegro itu berkata kehadiran jurulatih baharu, Eric Williams dan beberapa pemain berpengalaman dapat membantu juara Liga Perdana itu merealisasikan sasaran tersebut.

10.  KUALA TERENGGANU, 24 Dis - Tiga pelumba muda - Che Ku Mohamad Syamil Che Ku Romli, Mohammad Zulhilmie Afif Ahmad Zamri dan Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff - kini menyertai Terengganu Pro Asia Cycling Team (TSG) untuk saingan musim depan.

#whatsapp

#jmbelog

No comments:

Disclaimer:
Assalamualaikum ! Salam sejahtera ! Segala komen adalah tanggungjawab anda sendiri. ~ "Note : Ada artikel yang JM perkongsikan dari hasil blog lain. Sila rujuk sumber / kredit pada akhir artikel ya." Terima kasih.

JUST SHARING STORIES "I am not blogger I just follower"

History

Labels

Powered by Blogger.