PERMUDAHKAN PERKAHWINAN, PERSULITKAN ZINA ~ #JMBELOG PERMUDAHKAN PERKAHWINAN, PERSULITKAN ZINA - #JMBELOG

PERMUDAHKAN PERKAHWINAN, PERSULITKAN ZINA

PERMUDAHKAN PERKAHWINAN, PERSULITKAN ZINA

Image may contain: text

Perkahwinan itu satu jihad untuk melahirkan generasi yang lebih baik dari sebelumnya. Kami mengkaji dan melihat dari sudut pandang pembentukan generasi 100 tahun akan datang, bagaimana kerosakan yang sudah jelas berlaku pada generasi sekarang akan memberikan kesan kepada umat yang bakal memimpin Islam dan negara di masa hadapan.
Masyarakat kita sudah terlalu bebas dan lali dengan penyakit zina. Anak-anak perempuan sudah bebas dirangkul dan ditiduri di sana-sini, tanpa pemantauan ibu-bapa. Berdating itu satu kewajipan sebelum kahwin dan lebih malang lagi, mendapat restu ibubapa sendiri. Bagaimana ingin mendapat redha Allah jika ibubapa sendiri redha dengan kehendak nafsu.
Nilai perkahwinan hari ini begitu jauh dengan pelaksanaan sunnah. Majlis perkahwinan kita juga sangat berbeza dengan apa yang Rasulullah laksanakan. Kalau Ali jadikan Al-quran dan pakaian baju besi sebagai maharnya, Rasulullah SAW sudah permudahkan perkahwinan itu tanpa mempersulitkan Ali untuk menyunting Fatimah. Zaman sekarang nak kahwin pun dah kena ada simpanan minima RM20,000 baru boleh nak masuk meminang.
Ini antara punca yang menjadi prasyarat menggalakkan zina. Remaja yang sudah terdedah dengan budaya sosial, secara psikologinya terdedah untuk menghampiri zina apabila mereka dikekang kemahuannya lalu mencari jalan mudah. Mudah bagi mereka ialah mendapatkan sesuatu dengan PERCUMA!
Zina adalah satu laluan seks percuma tanpa ikatan perkahwinan, tak perlu keluarkan modal perkahwinan ribu-ribuan, tak perlu fikir nak merisik dan menghadapi ibubapa. Modal zina ialah duit prepaid untuk menghubungi pasangan, duit minyak dan belanja minum untuk mengusung anak dara orang keluar berdating dan cari port untuk melepaskan nafsu yang sudah menggila.
Lebih parah lagi apabila aktiviti zina sudah sampai ke peringkat sangat saling merelakan sehingga ia sudah banyak ditaja oleh pihak gadis itu sendiri, khususnya bagi golongan yang berkemampuan. Ia juga sudah tidak lagi mengambil kira unsur cinta atau kemungkinan untuk berkahwin. Buktinya ia telah berlaku dengan sangat berleluasa khususnya gadis Islam yang menyerahkan maruah, akidah, wang ringgit dan seluruh tubuh untuk diratah siapa sahaja tidak mengira bangsa atau agama.
Selain dari pencemaran budaya dan gaya hidup yang jauh dari carahidup agama Islam, ia juga terjadi kerana gaya hidup yang melibatkan budaya munakahat yang telah jauh tersasar dari sunnah. Dari merisik, bertunang, bernikah sampailah ke alam rumahtangga ia sentiasa dipersulitkan.
PREJUDIS TERHADAP MERTUA
Apabila urusan perkahwinan itu telah melibatkan perkiraan UNTUNG RUGI, ada tawar menawar dalam menetapkan urusan mahar dan hantaran, ini menjadikan hubungan bakal mertua dan menantu saling mewujudkan perasaan prejudis.
Keluarga lelaki sudah memendam perasaan syak dan bersangka-sangka. Keluarga perempuan pula akan mula menilai kemampuan pihak lelaki, pakat ukur mengukur TANDA HARGA yang nak diletakkan. Tarik tali ini menyebabkan hilangnya semangat berkahwin yang seharusnya dipermudahkan. Segalanya nampak susah di mata pasangan pengantin.
Bila hantarannya sudah tinggi, si lelaki mula mencari dana tambahan. Nak pinjam duit mak bapak sendiri segan takut dikatakan diri sendiri tak cukup makan, dah menggatal nak berbini. Mulalah mencari alternatif meminjam duit dari bank dan ceti.. membuat personal loan dan sebagainya. Akhirnya ia terjerat dengan hutang dan riba. Hanya kerana satu majlis yang akan berlangsung sehari, kosnya membuatkan mereka merana seumur hidup!
Realiti ini menjadikan seluruh institusi masyarakat mencari solusi untuk menyelamatkan generasi akan datang. Tanpa kawalan dan kepungan yang membataskan impak sosial ini, ia akan menjadi barah dan merosakkan seluruh sistem munakahat. Anak-anak kita perlu kepada satu aturan yang mampu memastikan perkahwinan itu benar-benar dapat menyelamatkan mereka dari fitnah. Dalam masa yang sama, perkahwinan itu juga membela Islam daripada fitnah yang lebih besar.
MENJADI KELUARGA SEBELUM BERTUNANG
Anak-anak RPWP telah kami tunangkan sebelum mereka melangkah ke universiti. Ini bagi mengisi kekosongan jiwa mereka yang secara fitrahnya saling memerlukan pasangan. Ini boleh mengelakkan mereka dari merewang dan berkeliaran mencari pasangan di universiti, baik yang lelaki mahupun yang perempuan. Kerana itu, masing-masing boleh menumpukan kepada pelajaran di universiti.
Sesuai dengan ajaran Islam, kami tidak war-warkan pertunangan anak-anak ini. Sepanjang pertunangan, mereka dididik mengikut tahap. Di peringkat awal, mereka tidak boleh berhubung secara langsung dengan pasangan mereka kecuali melalui murobbi. Ini bertujuan untuk menanam rasa kasih dan hormat terhadap wali dan murobbi yang bakal menjadi MERTUA kepada pasangan masing-masing.
Secara berperingkat juga kami mula izinkan mereka berbincang melalui surat atau internet untuk saling mengenal baik buruk masing-masing dan mencari jalan menyesuaikan diri. Namun pertemuan empat mata hanya boleh berlaku di tempat umum dan dipantau oleh warga dewasa atau muhrim.
Pasangan tidak sama sekali diizinkan keluar bersama tanpa izin, itupun MESTI ditemani oleh individu mahram atau warga dewasa sepanjang tempoh pertunangan. Alhamdulillah untuk 5 pasangan pertama, semuanya berjalan lancar dan masing-masing redha dan patuh dengan peraturan itu.
Apabila anak-anak telah lama bersahabat dengan bakal mertua, maka terbit hubungan mesra semasa mereka bekerjasama. Keakraban itu mampu membuang rasa malu, sukar menerima teguran, tidak menghormati mertua dan sebagainya. Mertua sendiri mampu melihat hasil kerja dan disiplin bakal menantu mereka. Bimbingan dan apitan berlaku sebelum dan selepas perkahwinan.. insyaAllah sehingga mereka berusia 40 tahun, sesuai dengan nasihat Allah dalam quran..
PERSIAPAN PERKAHWINAN & NIKAH ‘KHITBAH’
RPWP cuba megamalkan konsep yang memudahkan segala urusan perkahwinan anak-anak. Ternyata apabila agama dijadikan sandaran untuk membuat sesuatu tindakan dan rujukan dalam segala aspek kehidupan, maka kita dapati Islam itu mudah dan memudahkan. Kita hanya perlu yakin dengan segala apa yang Rasulullah SAW tinggalkan itu sebagai satu contoh TERBAIK untuk umat, seterusnya berlapang dada untuk ikuti ia dengan yakin dan berhikmah.
Apabila saat pernikahan anak-anak menjelang tiba, kami aturkan pendidikan khusus kepada anak-anak ini untuk melangkah ke alam rumahtangga. Di samping tunjuk ajar yang berterusan sepanjang tempoh bertunang, kami juga adakan satu majlis pertemuan keluarga untuk menyampaikan amanat dan nasihat secara khusus sebelum pernikahan.
Dalam majlis keluarga itu, semua murobbi, murobbiah dan para wali yang masih hidup akan memberikan amanat dan nasihat khusus. Segala baik buruk pasangan yang belum diketahui akan dimaklumkan dengan jujur agar masing-masing tidak merasa tertipu. Akhir sekali pasangan akan ditanyakan tahap penerimaan dan kesanggupan untuk hidup bersama buat kali terakhir.
Setelah semuanya berpuashati, RPWP sengaja lakukan proses nikah gantung (khitbah) lebih awal. Sesuai dengan syariat Islam, pernikahan ini turut diisytiharkan melalui satu majlis ringkas, sebelum tiba hari Majlis Pengisytiharan Umum Pernikahan mereka.
Khitbah ini kami lakukan khusus untuk mengelakkan para murobbi dan wali menanggung fitnah dosa sepanjang urusan persiapan dan semasa berjalannya majlis perkahwinan itu nanti. Maknanya, pasangan sudah halal untuk berjalan dan bertugas bersama-sama ketika menguruskan persiapan majlis perasmian perkahwinan mereka.
MAHAR YANG DIPERMUDAHKAN
Sebagai menghargai wanita, Islam menetapkan pemberian mahar dari calon suami kepada isterinya. Namun Rasulullah SAW menyarankan antaranya ‘Pernikahan yang paling berkat ialah yang paling murah belanjanya’ dalam satu hadis lain “..adalah yang mudah maharnya”.
Yang Nabi SAW ajarkan ialah mahar itu menjadi wajib dalam Islam, walaupun sekadar cincin besi atau mengajarkan al-quran kepada isteri bagi yang tidak mampu. Kewajiban ini sesuai dengan firman Allah,
"Berilah maskahwin (mahar) kepada wanita yang kamu nikahi sebagai pemberian dengan penuh kerelaan." - (An-Nisa: 4).
Antara punca penceraian ialah bila terlalu banyak beban yang selepas pernikahan. Hutang piutang dan kos sara hidup yang meningkat menyebabkan pengantin yang baru nak mencapai nikmat alam rumahtangga ditekan dengan kos sara hidup yang melampau. Baru saja dapat ijazah, hutang pendidikan kena langsaikan, hutang kereta, dan kini ditambah dengan hutang persiapan kahwin dan sebagainya. Ini menyebabkan jiwa pasangan menjadi tidak tenteram.
Yang bahagia pun boleh jadi panas bila hati sudah tidak tenang dengan tekanan hidup. Mulalah mengungkit segala masalah yang terpendam dan tak puas hati terhadap pasangan. Pergaduhan yang kecil membenih rasa benci yang akhirnya akan mengheret kepada penceraian.
KESIMPULAN
Islam itu mudah. Alquran telah memudahcarakan hidup kita (QS: 20/2). Cuma kita sendiri yang menzalimi diri. Suka mengikut hawa nafsu dan carahidup susah yang kita reka sendiri. Sedih melihat ada pasangan yang bercerai, berkelahi hanya kerana tiada yang sanggup meneruskan bayaran pinjaman peribadi untuk belanja kahwin. Ada yang masih menanggung hutang kawin sampai anak ke 3 lahir.
Pelbagai syarat dikenakan sewaktu bertunang dan berkahwin, sampai berlaku tarik tali dan kadang-kala bermasam muka. Berkecil hati itu adalah petanda awal kepada bibit ketegangan. Bila masing-masing masih berkeras dengan pendirian sendiri, maka kepala batu itu akan bergesel menjadi batu api yang mencetus suasana neraka. Natijahnya matlamat RUMAHKU SYURGA KU hanya tinggal angan-angan sahaja.
Kerana itulah Allah perintahkan agar kita selamatkan diri dan ahli keluarga dari neraka yang bahan bakarnya ‘manusia’ dan ‘batu’. Itulah manusia berkepala batu yang degil dari mengikuti saranan Allah dan Rasul - QS: 3/10, QS: 2/24.
Semuga perkongsian ini bermanfaat.
WARGA PRIHATIN

Kredit : Facebook

3 comments:

  1. Semoga kita semua dipermudahkan urusan di dunia dan di akhirat. InsyaAllah. Aamin. :)

    ReplyDelete
  2. Setuju tu, zina akan jadi mudah bila nak kahwin susah....

    ReplyDelete

Disclaimer:
Assalamualaikum ! Salam sejahtera ! Segala komen adalah tanggungjawab anda sendiri. ~ "Note : Ada artikel yang JM perkongsikan dari hasil blog lain. Sila rujuk sumber / kredit pada akhir artikel ya." Terima kasih.

JUST SHARING STORIES "I am not blogger I just follower"

History

Trending