Mahram Bagi Lelaki Dan Wanita ~ #JMBELOG Mahram Bagi Lelaki Dan Wanita - #JMBELOG

Mahram Bagi Lelaki Dan Wanita

Mahram Bagi Lelaki


Mahram hubungan tali kekeluargaan:
1. Ibu
2. Anak perempuan
3. Adik beradik perempuan
4. Anak saudara perempuan daripada adik beradik lelaki.
5. Anak saudara perempuan daripada adik beradik perempuan.
6. Makcik (adik beradik ibu)
7. Makcik (adik beradik bapa)

Mahram dengan sebab susuan dan musoharah (perkahwinan):
1. Ibu mertua
2. Anak tiri perempuan
3. Isteri bapa (ibu tiri)
4. Menantu perempuan.
5. Isteri atuk (nenek tiri)

(ruj. Al-Majmuk jilid 2 m.s 35 Dar-Fikr cet.2000)
Huraian mahram bagi lelaki
Haram nikah kerana nasab iaitu kerabat ada 7:
(perincian dari surah An-Nisa ayat 23)

1) Ibu
– Setiap yang melahirkan kamu – iaitu ibu kandung kamu
– Begitu juga ibu kepada ibu kamu (nenek) dan ke atas (ibu kepada nenek dan ke atas)
– Begitu juga dari bahagian bapa – seperti ibu kepada bapa (iaitu nenek sebelah bapa) dan nenek-nenek bapa.

2) Anak perempuan
– Setiap anak perempuan kandung kamu.
– Setiap anak perempuan yang lahir daripada anak kandung kamu (iaitu cucu perempuan)

3) Adik beradik perempuan
– Setiap perempuan yang lahir daripada ibu bapa kamu atau salah seorang daripada kedua-duanya.
– Bernikah dengan mereka haram sama ada adik beradik perempuan sebapa atau seibu atau adik beradik sebapa dan seibu.

4) ‘Ammah – Makcik (adik beradik bapa)
– Mereka adalah adik beradik bapa, sama ada adik beradik sebapa seibu atau adik beradik sebapa atau adik beradik seibu.
– Kemudian ‘Ammah (makcik) kepada bapa dan ‘Ammah (makcik) kepada ibu.
– ‘Ammah (makcik) kepada atuk dan ‘Ammah (makcik) kepada nenek.

5) Kholah – Makcik (adik beradik ibu)
– Mereka adalah adik beradik ibu, sama ada adik beradik sebapa seibu atau adik beradik sebapa atau adik beradik seibu.
– Kemudian kholah (makcik) kepada bapa dan kholah (makcik) kepada ibu.
– Kholah (makcik) kepada atuk dan kholah (makcik) kepada nenek.

6) Anak saudara perempuan daripada adik beradik lelaki.
– Anak saudara perempuan daripada adik beradik lelaki, sama ada adik beradik lelaki sebapa seibu atau adik beradik lelaki sebapa atau adik beradik lelaki seibu
-Kemudian, anak perempuan kepada anak lelaki daripada adik beradik lelaki (iaitu cucu perempuan daripada adik beradik lelaki).
-Anak perempuan kepada anak perempuan daripada adik beradik lelaki (iaitu cucu perempuan daripada adik beradik lelaki).
-Dan ke bawah (iaitu cicit perempuan daripada adik beradik lelaki).

7) Anak saudara perempuan daripada adik beradik perempuan.
– Anak saudara perempuan daripada adik beradik perempuan, sama ada adik beradik perempuan sebapa seibu atau adik beradik perempuan sebapa atau adik beradik perempuan seibu.
– Begitu juga anak perempuan kepada anak lelaki daripada adik beradik perempuan (iaitu cucu perempuan daripada adik beradik perempuan).
– Anak perempuan kepada anak lelaki daripada anak perempuan daripada adik beradik perempuan (iaitu cicit perempuan daripada adik beradik perempuan)
– Dan ke bawah.

Haram sebab Musoharah (perkahwinan):
1) Ibu kepada isteri (ibu mertua)
-Sama ada sudah bergaul dengan isteri atau belum.
-Ibu mertua seperti ibu kandung kamu.
-Sama ada ibu kandung isteri kerana nasab atau ibu susuan.
-Begitu juga haram ke atas lelaki setiap yang bersambung kepada isterinya dari kalangan nenek (iaitu nenek-nenek yang bersambung daripada isteri). Nenek daripada bapa isteri atau nenek daripada ibu isteri.

2) Anak perempuan isteri (anak tiri)
-Tidak menjadi haram (muabbad) kecuali setelah bersama dengan isteri.

Masalah:
[Berkahwin dengan seseorang wanita tetapi tidak dukhul (tidak jimak) kemudian bercerai, maka dia boleh berkahwin dengan anak perempuannya (bekas anak tiri). Tetapi jika sudah dukhul, maka dia tidak boleh berkahwin dengan anak tirinya walaupun setelah diceraikan ibunya. Manakala apabila berkahwin dengan seorang perempuan maka tidak boleh berkahwin dengan ibunya buat selama-selamanya (ibu mertua adalah haram muabbad) sama ada dukhul atau tidak dukhul]

3) Isteri anak lelaki (menantu)
– Begitu juga isteri kepada anak lelaki anak kamu (isteri cucu kamu)
-Dan ke bawah dengan sebab nasab atau susuan.

4) Isteri bapa (ibu tiri)
– Termasuk juga isteri bapa (ibu tiri) dan isteri atuk (nenek tiri) dan ke atas daripada pihak bapa atau ibu atau kedua-duanya. Diharamkan juga berkahwin dengan isteri bapa daripada susuan.

5) Menghimpunkan isteri antara dua adik beradik.
Kelima-lima pengharaman tersebut bersumber dari Al-Quran dan terdapat dua sumber pengharaman daripada Sunnah iaitu:
1) Menghimpunkan antara isteri dan ‘Ammahnya (makcik daripada adik beradik bapa)
2) Menghimpunkan antara isteri dan Kholahnya (makcik daripada adik beradik ibu)

(ruj. Al-Majmuk jilid 17 m.s 377- 379 Dar-Fikr cet.2000)
Contoh masalah
1.Bolehkah biras (pihak lelaki) berkahwin dengan biras (pihak perempuan)?
Contoh: Ayah isteri telah lama meninggal manakala ibu suami juga telah lama meniggal. Bolehkah ayah isteri berkahwin dengan ibu suami?
Jawapan: Boleh
2.Seorang ayah berkahwin dengan seorang wanita janda yang mempunyai anak perempuan. Bolehkah anak lelakinya berkahwin dengan akak atau adik tirinya?
Jawapan:
a) Boleh sekiranya akak atau adik tirinya itu adalah anak hasil perkahwinan ibu tiri dengan bekas suami lamanya.

b) Tidak boleh sekiranya akak atau adik tirinya itu adalah anak hasil daripada perkahwinan ayahnya dengan ibu tirinya. Kerana mereka adalah adik beradik sebapa.
3. Bolehkah suami berkahwin dengan bekas ibu tiri isteri?
Jawapan: Boleh kerana ibu tiri isteri bukanlah ibu kandung isteri dan bukanlah ibu susuan isteri.
4. Bolehkah seorang lelaki berkahwin dengan bekas ibu tirinya?
Jawapan: Tidak boleh kerana ibu tiri adalah haram muabbad.
5.Bolehkah seorang anak berkahwin dengan salah seorang adik beradik ibu tirinya?
Jawapan: Boleh.
source – syahirul.com
Kredit : Hafiz

Mahram Bagi Wanita

Mahram bagi wanita adalah mereka yang boleh memandangnya, berdua dengannya, melakukan safar (perjalanan) bersama, diharamkan bernikah dengannya untuk selamanya dengan sebab fitrah yang menjadikannya mahram.
Siapakah Mahram yang dibolehkan menampakkan sebahagian aurat kepadanya dan diharamkan berkahwin dengannya?
Allah s.w.t berfirman:
“Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan (menjaga) pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan (memanjangkan) kain tudung (khimar) ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera (anak-anak lelaki) mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung”.” (Surah An-Nuur, 24:31)
Dalam ayat ini Allah s.w.t menjelaskan bolehnya mahram melihat bahagian perhiasan (aurat tertentu) dari tubuh wanita.
“…dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau…”
Di antara hikmah bolehnya wanita tidak menutup bahagian aurat tertentu di hadapan mahram adalah bagi memudahkan pelbagai urusan mereka. Di mana antaranya mereka sentiasa berada bersama bercampurbaur di dalam rumah yang sama.
Daripada ayat tersebut, Allah s.w.t memulakannya berdasarkan turutan berikut:
1. Suami.
2. Bapa, termasuk datuk. Termasuk datuk dari pihak ibu.
3. Bapa suami (bapa mertua).
4. Anak-anak mereka dan anak-anak suami mereka. Termasuklah cucu dan seterusnya.
5. Saudara secara mutlak, sama ada saudara kandung (adik-beradik), saudara se-bapa, saudara se-ibu, dan seterusnya ke bawah.
6. Anak-anak saudara lelaki (anak saudara) dan anak-anak saudara perempuan.
7. Pakcik dari pihak ayah atau dari pihak ibu. Mereka termasuk di dalam cakupan mahram, walaupun tidak termasuk di dalam ayat tersebut.
Terdapat sebahagian ulama menyatakan bahawa pakcik dari pihak ayah atau dari pihak ibu tidak termasuk mahram yang dibolehkan untuk tidak menutup aurat. Ini adalah berdasarkan daripada atsar yang diriwayatkan oleh Ibnul Mundzir dari ‘Ikrimah ketika menafsirkan ayat 31 dari surah an-Nuur, Ia (‘Ikrimah) berkata, “Pada ayat ini Allah tidak menyebutkan pak cik dari pihak bapa atau pak cik dari pihak ibu. Kerana hukum pakcik dari pihak bapa atau pakcik dari pihak ibu mengikuti putera-putera pak cik mereka (sepupu). Dengan demikian, mereka tidak boleh melepaskan khimar (tudung) ketika berhadapan dengan pakcik dari pihak bapa atau pakcik dari pihak ibu.” (Ibnu Abi Syaibah, al-Mushannaf, 4/338. Lihat: Tafsir Ibnu Katsir)
Namun, (lebih tepat) kebanyakan ulama berpendapat bahawa mereka (Pakcik dari pihak ayah atau dari pihak ibu) adalah sama hukumnya dengan mahram yang lainnya dengan berdalilkan hadith dari Aisyah r.a: “Bahawasanya Aflah, saudara Abul Qu’ais (iaitu pak cik sepersusuannya) datang meminta izin untuk menziarahinya (menemuinya) setelah diturunkan ayat Hijab. Aisyah r.a berkata, “Aku tidak mengizinkannya”. Ketika Rasulullah s.a.w datang, aku menceritakan apa yang telah aku lakukan. Ternyata beliau menyuruhku supaya mengizinkannya menemuiku.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
8. Mahram kerana sepersusuan juga tidak disebutkan melalui ayat terebut. Namun, para ulama berhujjah dengan hadith dari Aisyah tadi dan bersepakat bahawasanya mereka sama seperti mahram yang lainnya.
9. Mereka yang diharamkan bernikah dengannya untuk selamanya seperti ibu/bapa kepada suami/isteri dan suami kepada ibu mereka (iaitu suami kepada ibu yang telah bersetubuh dengan ibu).
Mahram Sementara Yang Diharamkan Berkahwin Dengannya (Namun tidak semestinya boleh menampakkan aurat kepadanya)
Allah s.w.t berfirman:
“Diharamkan atas kamu (mengahwini) ibu-ibumu, anak-anakmu yang perempuan, saudara-saudaramu yang perempuan, saudara-saudara bapamu yang perempuan, saudara-saudara ibumu yang perempuan, anak-anak perempuan dari saudara-saudaramu yang laki-laki, anak-anak perempuan dari saudara-saudaramu yang perempuan, ibu-ibumu yang menyusui kamu, saudara perempuan sepersusuan, ibu-ibu isterimu (mertua), anak-anak isterimu yang dalam pemeliharaanmu dari isteri yang telah kamu campuri, tetapi jika kamu belum campur dengan isterimu itu (dan sudah kamu ceraikan), maka tidak berdosa kamu mengawininya; (dan diharamkan bagimu) isteri-isteri anak kandungmu (menantu), dan menghimpunkan (dalam perkawinan) dua perempuan yang bersaudara, kecuali yang telah terjadi pada masa lampau; sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. dan (diharamkan juga kamu mengawini) wanita yang bersuami, kecuali budak-budak yang kamu miliki (Allah telah menetapkan hukum itu) sebagai ketetapanNya atas kamu. Dan dihalalkan bagi kamu selain yang demikian (iaitu) mencari isteri-isteri dengan hartamu untuk dikawini bukan untuk berzina. Maka isteri-isteri yang telah kamu nikmati (campuri) di antara mereka, berikanlah kepada mereka maharnya (dengan sempurna), sebagai suatu kewajiban, dan tiadalah mengapa bagi kamu terhadap sesuatu yang kamu telah saling merelakannya, sesudah menentukan mahar itu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”(surah An-Nisaa’, 4:23-24)
 

Batasan Aurat Yang Boleh dilihat Oleh Mahram
Mahram boleh melihat sesuatu yang biasa nampak dari aurat seseorang wanita seperti anggota-anggota wuduk. Daripada Ibnu Umar r.a, ia berkata: “Dahulu kaum lelaki dan wanita pada zaman Nabi s.a.w melaksanakan wuduk secara bersama-sama.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Dapat difahami daripada peristiwa ini ia adalah khusus bagi para isteri dan mahram. Menurut Ibnul Jauzi: “Di dalam hadis tersebut terdapat suatu penjelasan yang menunjukkan bahawa seseorang lelaki boleh melihat anggota-anggota wuduk bagi mahramnya, demikian juga sebaliknya.” (Ibnul Jauzi, Jami’ Ahkam an-Nisaa’, 4/195)
Kesimpulannya, wanita dibenarkan tidak menutup di bahagian tertentu pada auratnya apabila berdepan dengan mahram. Dan wajib mengenakan penutupan aurat dengan sempurna kepada selain mahram iaitu kepada sebagaimana individu yang dijelaskan di atas.
source – syahirul.com
Kredit : Hafiz

No comments:

Post a Comment

Disclaimer:
Assalamualaikum ! Salam sejahtera ! Segala komen adalah tanggungjawab anda sendiri. ~ "Note : Ada artikel yang JM perkongsikan dari hasil blog lain. Sila rujuk sumber / kredit pada akhir artikel ya." Terima kasih.

JUST SHARING STORIES "I am not blogger I just follower"

History

Trending