MANUSIA KEJAM ~ #JMBELOG MANUSIA KEJAM - #JMBELOG

MANUSIA KEJAM

MANUSIA KEJAMPENUNTUT Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain, 21, dikatakan dibelasah menggunakan tali pinggang, getah paip dan penyangkut baju sebelum ditekap dengan seterika wap di seluruh badan sehingga parah sebelum meninggal dunia. Bukan itu saja, Zulfarhan yang juga pegawai kadet laut tahun tiga UPNM dipaksa mengaku mencuri komputer riba

Betapa kejam perbuatan pelaku itu seperti diceritakan rakannya yang memaklumkan mangsa diperlakukan sedemikian rupa pada 21 Mei lalu.
Menurut rakannya yang enggan dikenali, kejadian berkenaan berlaku selepas Zulfarhan dituduh mencuri komputer riba.
Katanya, selepas dibelasah, Zulfarhan dibiarkan sehinggalah pada 27 Mei keadaannya semakin parah.
 "Dia mengadu badan sakit (selepas dibelasah dan ditekap dengan seterika wap) dan memaklumkan dia dipaksa mengaku mencuri 'laptop' (komputer riba) walhal bukan dia yang lakukan.
Allahyarham Zulfarhan Bersama Ibu Dan Bapanya

“Lukanya semakin parah sebelum dibawa oleh dua penuntut ke klinik pada 27 Mei dan kemudian ke klinik semula pada 31 Mei sebelum dirujuk ke hospital dan meninggal dunia pada malam tadi (semalam)," katanya ketika ditemui, hari ini.
Penuntut UPNM, Mohd Afiq Mohd Yusof,23, berkata, Zulfarhan seorang yang periang dan mudah bergaul.
 "Tak sangka kejadian itu berlaku kepadanya. Allahyarham periang dan mudah bergaul," katanya.
  Bapa saudara Zulfarhan, Hamzah Osman,54, berkata, dia tidak menyangka anak saudaranya didera sehingga meninggal dunia hanya kerana dituduh mencuri komputer riba.
 "Jika Allahyarham ada berhutang dengan sesiapa sila datang jumpa saya, termasuklah yang menuduh anak saudara saya mencuri komputer ribanya," katanya.
Setakat ini 36 individu berusia 20 hingga 21 direman selama tujuh hari mulai hari ini bagi membantu siasatan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmad berkata, 32 daripada mereka adalah penuntut UPNM dan empat lagi dari Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

JENAZAH penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain, 21, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Kebun Teh, Johor Bahru, Johor, 9.30 malam ini.

Kredit : MyMetro


'Allahyarham pernah mengadu dipukul rakan'

“Arwah adalah anak harapan keluarga ini dan tidak sangka dia meninggalkan kami dalam keadaan begini.”
Itu yang diluahkan Zulkarnain Idrus, 53, bapa kepada penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain, 21, yang meninggal dunia petang semalam selepas dipercayai didera rakan dengan seterika wap.
Menurut bapanya, dia melihat kesan melecur akibat ditekap dengan seterika wap di bahagian dada, tangan dan kakinya pada jenazah anaknya sebelum dibedah siasat.
Katanya, kali terakhir dia bercakap dengan Allahyarham dua hari sebelum Ramadan dan mangsa ada mengadu dengan ibunya, Hawa Osman yang dia dipukul rakan-rakan di universiti namun mereka menyangka ia tidak serius.
“Dia adalah harapan kami sekeluarga. Saya harap dia boleh bimbing adik-adiknya selepas dia berjaya.
“Kami reda dengan pemergiannya namun meminta pengurusan UPNM dan Angkatan Tentera Malaysia untuk menyiasat kejadian ini dengan telus dan adil,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang. - MyMetro

Allahyarham Zulfarhan Osman sempat pesan ibu agar jaga diri
Suasana sedih dan pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Kebun Teh malam semalam sewaktu pengkebumian Pegawai Kadet Laut Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain

JOHOR BAHRU: Jenazah penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain, 21, yang meninggal dunia selepas mengalami kecederaan dipercayai akibat didera, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Kebun Teh, Johor Bahru.


Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan itu sejurus jenazah tiba kira-kira 8.45 malam selepas disembahyangkan sekali lagi di Masjid Kampung Kurnia dan dikebumi pukul 9.15 malam.



Terdahulu, jenazah dibawa ke Masjid Universiti Tenaga Nasional (Uniten) Bangi Selangor untuk disembahyangkan, sebelum dibawa pulang ke Johor.

Jenazah penuntut UPNM dipercayai mati didera selamat dikebumikan
Jenazah Zulfarhan dibawa ke kampung halamannya di Johor Bahru selepas solat jenazah di Masjid UniTEN kira-kira pukul 4 petang Jumaat

Lebih 100 ahli keluarga serta kenalan lain hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada allahyarham.


Ibu kepada Zulfarhan, Hawa Osman, terkilan kerana anaknya itu tidak sempat untuk menyarung baju raya berwarna kelabu seperti yang dimintanya sebelum ini.

“Arwah seorang yang ambil berat pada kawan dan adik-beradik. Dia yang sulung dalam empat adik-beradik.

“Untuk hari raya, dia minta baju warna kelabu. Saya dah pun beli untuk tiga beranak, tapi tak sempat (untuk Zulfarhan) sebabnya bulan puasa dia kata dia tak dapat balik sebab dia kerja,” ujar ibunya.

Turut hadir, Komandan Akademi Latihan Ketenteraan upnm, Brigedier Jeneral Raja Ahmad Ikram Raja Othman, Pegawai Khas Menteri Pertahanan, Abd Halim Abd Jalil mewakili Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Pegawai Khas Ahli Parlimen Pulai, Datuk Abdul Rashid Kasman mewakili Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Zulfarhan merupakan pelajar tahun ketiga kejuruteraan elektrik di UPNM, disahkan meninggal dunia petang semalam.

Zulfarhan dipercayai didera rakan dengan menggunakan seterika wap dan hasil bedah siasat juga mendapati terdapat kesan melecur di bahagian dada, tangan serta kaki. - AstroAwani





3 comments:

The Fool said...

Sebak pula bila ibu saudara dia tak mampu nak berkata2 tentang kesakitan yang ditanggung oleh arwah

Mohd Shah Bin Jose said...

sadis dan tragis...moga pelaku pelaku nya akan terima hukuman ..wajar ke tali gantung kerana membunuh..moga Allah menempatkan Allayarham bersama golongan yang beriman dan semua ini adalah ketentuan yang maha pencipta..moga ibubapanya reda dgn pemergiannya..Al-'Fatihah

Mohd Shah Bin Jose said...

sadis dan tragis...moga pelaku pelaku nya akan terima hukuman ..wajar ke tali gantung kerana membunuh..moga Allah menempatkan Allayarham bersama golongan yang beriman dan semua ini adalah ketentuan yang maha pencipta..moga ibubapanya reda dgn pemergiannya..Al-'Fatihah

History