NUZUL AL-QURAN 1438H / 2017M ~ #JMBELOG NUZUL AL-QURAN 1438H / 2017M - #JMBELOG

NUZUL AL-QURAN 1438H / 2017M

NUZUL AL-QURAN 1438H / 2017M

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahirrahmannirrahim,
Wassolatu Wassalam ‘ala Rasulillah wa ‘ala Aalihi wa Sahbihi ajma’iin.
1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan rahmat dan izinNya, kita masih lagi diberi kesempatan untuk bersama-sama berada di dalam bulan Ramadhan Al-Mubarak. Seterusnya, tanggal 17 Ramadhan pada setiap tahun umat Islam di Malaysia akan menyambut salah satu peristiwa penting yang berlaku di dalam bulan Ramadhan iaitu peristiwa “Nuzul Al Quran”.
2. Penurunan wahyu terakhir, iaitu Al-Quran Al-Karim merupakan bukti kasih sayang Allah SWT kepada makhluk ciptaanNya agar mereka mempunyai panduan dan neraca yang terbaik dalam mengatur kehidupan. Allah SWT telah berfirman di dalam Surah Al-Baqarah ayat ke 185 yang bermaksud :
“(masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan ramadan yang padanya diturunkan al quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah…”
3. Oleh itu, marilah kita bersama menghiasi Ramadhan pada kali ini dengan bertalaqqi, bertadarrus, mentadabbur serta mengambil manfaat dan pedoman sebanyaknya dari Kalam Suci ini. Jadikanlah bulan yang penuh keberkatan ini sebagai bulan untuk kita memaknai hidup dengan Al-Quran.

Image result for nuzul al-quran 1438
4. Malaysia sebagai sebuah Negara Islam yang komited dan progresif, sentiasa berusaha untuk melunaskan pedoman Qurani ini supaya dapat dihayati oleh setiap umat Islam di negara ini. Al-Quran akan menjadi pelindung diri bagi sesiapa saja yang membacanya, memahami serta mengamalkannya di dalam kehidupan seharian.
5. Mengambil contoh penganjuran Majlis Tilawah Al-Quran peringkat Antarabangsa kali ke 59 baru-baru ini, ianya menjadi bukti kepada kematangan dan kemampuan Malaysia untuk menerapkan nilai-nilai qurani di dalam jiwa setiap rakyat Malaysia.
6. Negara kita bukan sahaja mementingkan pembangunan material, sebaliknya pembangunan modal insan turut menjadi keutamaan dan penentu sebenar di sebalik kemajuan ekonomi dan sosial yang zahir. Semua ini kita tekuni sebagai manifestasi penghayatan ajaran Al-Quran yang menganjurkan kemakmuran bersepadu duniawi dan ukhrawi.
7. Tetapi malangnya, penghayatan kita terhadap kesucian dan keindahan hari-hari di dalam bulan Ramadhan pada tahun ini sedikit diganggu oleh beberapa insiden pembunuhan dan keganasan yang zahirnya melibatkan orang Islam dan dibuat atas nama Islam. Hal ini tentunya sangat bertentangan dengan ajaran Al-Quran yang berasaskan prinsip rahmat, kemanusiaan dan keadilan. Jika perkara ini dibiarkan begitu sahaja, sudah tentu imej ajaran Al-Quran yang murni ini akan terjejas dan diselaputi persepsi yang negatif.
8. Menyedari hakikat tersebut, kita sebagai umat Islam haruslah sentiasa berusaha mempertahankan ketinggian Al-Quran dan ajaran-ajarannya dengan menolak segala bentuk penyelewengan dan percubaan untuk mengaitkan Islam dengan keganasan dan ekstrimisme.
9. Melalui pelbagai dasar dan prinsip yang kita pegang termasuklah Indeks Syariah Malaysia dan konsep wasatiyyah (kesederhanaan) serta pelbagai inisiatif merentasi bidang-bidang utama kehidupan, kita berharap agar Islam tidak hanya disinonimkan dengan perkara yang negatif sahaja.
10. Akhir kata, semoga kita terus dikurniakan kesihatan dan taufiq untuk menghidupkan siang dan malam di bulan Ramadhan yang berbaki untuk tahun ini serta mengulanginya dalam tahun-tahun yang mendatang. Saya mendoakan agar keberkatan Nuzul Al-Quran ini juga akan menyatukan hati kita semua untuk menjadi ummah yang terbaik.
Sekian,
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Kredit : NR

No comments:

History

Followers

Powered by Blogger.