Tinggal pakaian seragam untuk seni ~ #JMBELOG Tinggal pakaian seragam untuk seni - #JMBELOG Tinggal pakaian seragam untuk seni - #JMBELOG

- at September 12, 2019 : Home » AKU » Tinggal pakaian seragam untuk seni

Tinggal pakaian seragam untuk seni

Tinggal pakaian seragam untuk seni

SHAHROL dan Ajak Shiro.

MUNGKIN ada yang tidak tahu, ramai selebriti tanah air pernah menganggotai pasukan beruniform sebelum menceburi bidang seni.

Bagaimanapun, mereka meninggalkan kerjaya berkenaan untuk meneruskan langkah dan mencuba nasib dalam bidang hiburan tanah air.

Pada masa sama, ada juga yang meneruskan kerjaya sebagai anggota pasukan keselamatan dan menjadikan kerjaya penyanyi atau pelakon sebagai sampingan.

Berikut antara selebriti tanah air yang pernah menganggotai pasukan beruniform sebelum mereka bergelar penyanyi dan pelakon.

Ajak Shiro

Ajak atau nama sebenar­nya Mohd Hanaffi Razak mula dikenali menerusi program Raja Lawak musim keenam bersama kumpulan Shiro yang dianggotai bersama Shah­rol yang juga sepupunya.

Pada usia 19 tahun, Ajak berkhidmat dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak.

Bagaimanapun, Ajak meninggalkan TLDM pada 2012 selepas tujuh tahun berkhidmat kerana mahu mencari peluang pekerjaan yang lebih lumayan, tambahan pula waktu itu dia menimang cahaya mata, Muhammad Jad Thaqiff.

Tidak pernah terlintas dalam fikiran Ajak mahu terbabit dalam dunia hiburan. Selalunya dia cuma berjenaka dengan rakan-rakan saja. Namun selepas melihat Man daripada Raja Lawak musim kelima, terdetik dalam hati untuk mencuba nasib.

Ramai rakan memberi kata semangat dan mahu Ajak sertai Raja Lawak. Isteri­nya, Fifa juga sentiasa berada di sisi dan mahukan yang terbaik untuk Ajak, jadi dia terus mencuba nasib dengan Shahrol.

Menurut Ajak, dia masih ingat ketika menghadiri uji bakat Raja Lawak, dia dan Shahrol tidak mempunyai wang namun rakan-rakan TLDM membuat kutipan dan wang itu diberikan kepada mereka untuk perbelanjaan ke Kuala Lumpur.

Selain aktif bersama Shiro dan bertugas sebagai penyampai radio, Ajak juga pernah berlakon dalam beberapa drama antaranya Bermula Sebuah Cerita, Mujibur Mari, Wak Sayang Lue serta filem Ustaz, Mu Tunggu Aku Datang dan Rempit Sampai Ke Langit.

Shahrol Shiro

Kembara seni Shahrol Azmi, 31, bermula apabila dia bersama Ajak bergabung sebagai kumpulan Shiro dan kemudian menyertai Raja Lawak 6.

Telatah lucu mereka di pentas pertandingan itu berjaya menambat hati penonton, sekali gus mengumpul penyokong sendiri.

Anak jati Kluang, Johor ini pernah menyertai Jabatan Imigresen sejak 2007, tetapi meninggalkan pekerjaan berkenaan pada pertengahan 2013.

Kemenangan Shiro pada 2012 menerusi Raja Lawak 6 mengubah hidupnya.Walaupun merindui rakan sekerjanya dulu, Shahrol terus melangkah melebarkan sayap dalam bidang seni. Tidak hanya sebagai pelawak, Shahrol turut berlakon serta pernah menjadi pe­nyampai radio.

SYAFIQ Farhain dan Hisyam Hamid.

Hisyam Hamid

Pelakon dan model dari Singapura ini berhijrah ke Malaysia dan mula dikenali selepas berlakon dalam beberapa drama seperti Memori Cinta Suraya, Sayap Jibrail, Ariana Rose dan Gerak Khas.

Sebelum memulakan kerjaya lakonan, Hisyam terlebih dulu berkhidmat sebagai anggota bomba di Singapura. Lapan tahun berkhidmat dengan pasukan penyelamat itu, Hi­syam bagaimanapun tidak menyesal meninggalkan kerjaya itu.

Diberi peluang membawa watak anggota bomba dalam filem Hero, Hisyam seronok menjalani penggambaran kerana ia dekat dengan diri selain dapat melepaskan rindu pada pekerjaan itu.

Pengalamannya sebagai anggota bomba juga sedikit sebanyak membantu mengendalikan peralatan menyelamat.

Syafiq Farhain

Penyanyi yang juga anak kepada penyanyi legenda Iklim, Allahyarham Saleem ini masih bekerja sebagai ang­gota bomba dan penyelamat di Putrajaya.

Buat masa ini, Syafiq juga tidak mempunyai peranca­ngan meninggalkan pekerjaan itu walaupun namanya semakin dikenali sebagai penyanyi.

Di Jabatan Bomba dan Penyelamat, Putrajaya, Syafiq melakukan kerja pejabat dan dia mengakui rindu dengan kerja menyelamat yang pernah disertainya sebelum ini.

Syafiq juga pernah berkhidmat di Balai Bomba dan Penyelamat Tebrau, Johor. Mempunyai waktu kerja tetap, Syafiq bersyukur kerana majikannya sangat memahami kerjaya seni yang diceburinya itu.

Syafiq juga hanya memenuhi undangan nyanyian pada sebelah malam atau hujung minggu tanpa mengganggu kerja tetapnya.

Syafiq memulakan kerjayanya menjadi penyanyi apabila aktif menyanyi menggunakan aplikasi Smule sejak hujung 2016.

Antara nyanyian ‘cover’ Syafiq adalah Mimpi Yang Pulang, Luhur, Warisan dan Bintang. Syafiq turut muncul naib juara bagi pertandingan Big Stage yang diadakan tahun lalu.

HAMID Gurkha dan Shamsul Ghau Ghau.

Hamid Gurkha

Hamid Gurkha atau mesra dengan panggilan Pak Hamid antara pelawak legenda tanah air. Dia juga pernah membawa pulang trofi Artis Komedi Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM) ketiga pada 1982.

Dilahirkan pada tahun yang sama dengan pengaktifan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 22 Ogos 1933, Pak Hamid memilih untuk menyertai pasukan tentera Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) selama tujuh tahun bermula 1950 hingga 1957.

Kenangan paling tidak dapat dilupakan adalah peristiwa Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 ketika balai polis Bukit Kepong diserang 180 pengganas komunis.

Pak Hamid dan pasukan­nya ingin memberikan bantuan namun tidak kesampaian kerana laluan perhubungan mereka disekat komunis.

Aktiviti seni Pak Hamid bermula ketika menyertai Pertandingan Bintang Radio RTM pada 1965 dan merangkul tempat pertama. Kemudian Kementerian Kebudayaan dan Kesenian menawarkan untuk membuat persembahan pentas.

Sejak itu Pak Hamid bergerak di bawah kementerian. Tidak lama kemudian, pelawak Datuk Jamali Shadat mengajak menyertainya sebagai pelawak pentas.

Pak Hamid pernah membintangi filem Sikit Punya Gila (1982), Ragam Pemandu (1989), Main-Main Hantu (1989), Gila-Gila (1979), Aku Yang Berhormat (1983), Filem Talak (1984), Konstabel Mamat (1992), Impian (1996), Silat Lagenda (1998), Senario The Movie (1999), Kemarau Cinta (2005), Salah Bapak (2006), Zombi Kampung Pisang (2007) dan Alamak Toyol (2011).

Shamsul Ghau Ghau

Mungkin ramai mengenali Shamsul Ghau Ghau sebagai pelakon dan pelawak, tetapi dia sebenarnya pernah berkhidmat sebagai anggota polis berpangkat konstabel.

Shamsul terpanggil untuk menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas terlihat iklan kekosongan jawatan polis di akhbar.

Walaupun hasrat itu ditentang abangnya, Shamsul tetap gigih dan terus mencuba nasib dan akhirnya pada 1990, dia berjaya dipilih memasuki Pusat Latihan Polis Air Hitam (PULAPAH) di Bahau, Negeri Sembilan.

Dia menjalani latihan fizikal dan mental selama enam bulan dan berjaya menamatkan latihan itu dengan cemerlang apabila platunnya berjaya muncul sebagai platun terbaik keseluruhan.

Pada 1994, Sinaran Pasport Kegemilangan diperkenalkan TV3 dan itulah langkah pertama Shamsul menceburi bidang seni.

Shamsul hadir ke uji bakat yang ketika itu diadakan di Studio TV3 di Jalan Liku, Bangsar, Kuala Lumpur.

Sungguh tidak disangka-sangka, Shamsul berjaya masuk ke pertandingan Sinaran Pasport Kegemila­ngan dan berjaya mara sehingga ke peringkat akhir, seterusnya berjaya menjuarai pertandi­ngan itu.

SALIH Yaacob dan Ayati Tasrip.

Ayati Tasrip

Penyanyi yang popular dengan lagu Khazanah Dari Malaya ini juga pernah menyertai pasukan tentera. Walaupun posisinya berada bersama Orkestra Tentera

Darat (OTD), dia tidak terkecuali daripada mematuhi peraturan yang ditetapkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ayati menyertai OTD pada 1980, setahun selepas penubuhan organisasi itu pada 1979. Pada tahun 1980-an, OTD merakam dua album lagu iaitu OTD Volume I dan OTD Vo­lume II. Antara lagu-lagu yang popular pada ketika itu adalah Amboi Cik Abang Sayang dan Bila Hati Dah Sayang.

Selepas penukaran nama OTD kepada Badan Kesenian Tentera Darat (BKTD) pada 1983, beberapa bakat yang digilap sebagai artis BKTD turut dikenali dalam industri hiburan.

Ayati juga pernah menyertai Bintang RTM pada 1986 dan menduduki tempat ketiga dan pernah mengikat kontrak selama dua tahun dengan stesen penyiaran berkenaan.

Salih Yaacob

Kerjayanya bermula selepas menjalani uji bakat Pentarama Jabatan Penerangan Malaysia pada 1980 dan berjaya diterima sebagai penyanyi dan penari.

Selepas tiga tahun bersama Pentarama, Salih meneruskan kerjayanya bersama Orkestra Tentera Darat (OTD) sehingga 1986.

Ketika bersama dengan OTD, penerbit Baharuddin Kadir sering memerhatinya dan dari situlah Salih ditawarkan untuk muncul dalam program Mekar Sejambak.

Seangkatan dengan Allahyarham Mr Os, Salih cukup dikenali menerusi filem seperti Puteri Remaja, Keluarga 69 dan Jejaka Perasan.

Menyertai Sinar FM pada 2006, Salih menjadi penyampai untuk rancangan Sinar Pagi bersama Raja Azura dan Khairil Rashid sehingga 2015.

Salih kemudiannya berpindah ke segmen Santai Sinar Bersama Feeya Iskandar pada 2016. Bagaimanapun, Salih meninggalkan dunia penyiaran radio pada 2019 selepas 13 tahun bersama Sinar FM.

ARRORA Salwa dan Wan Wala.

Arrora Salwa

Demi cinta pada bidang nyanyian, Arrora Salwa sanggup meninggalkan kerjayanya sebagai anggota polis pada 2011 selepas tujuh tahun berkhidmat sebagai lans koperal.

Pemilik nama sebenar Salwa Md Razak itu juga menyertai kombo PDRM dan terbabit dengan pelbagai per­sembahan sepanjang bertugas.

Nama Arrora mulai dikenali selepas tampil dengan lagu Ahmad pada 2011. Ketika itu, lagu berkenaan berjaya menarik perhatian penggemar muzik tanah air.

Pada 2013, Arrora mengam­bil keputusan melakukan penjenamaan semula dengan menggunakan nama sebenar.

Wan Wala

Wan membentuk kumpulan Wala bersama rakannya, Walawd Parman atau Lopz dan menyertai pertandingan Raja Lawak musim ketujuh pada 2013.

Berasal dari Sabah, usaha mereka tidak sia-sia apabila muncul sebagai juara bagi musim ketujuh.

Ketika menyertai pertandingan itu, Wan yang juga anggota polis bertugas di Balai Polis Tuaran, Sabah dan mengambil cuti tanpa gaji bagi membolehkannya menyertai program berkenaan.

Walaupun jarang muncul di kaca televisyen, Wan tetap aktif dalam dunia seni.

Pada 2017, Wan pernah menggalas tanggungjawab sebagai hos program berkonsepkan sejarah dan pelanco­ngan.

Anak kelahiran Kota Belud ini juga berjinak-jinak dalam dunia nyanyian dan tampil dengan single Cinta Di Mana-Mana.

Wan juga baru saja selesai penggambaran sitkom bersama rakannya, Lopz pada bulan lalu.

Harian Metro


Leave a Comment

Harga Minyak dan Logam Dunia
jmbelog-ping