Larangan Menghina al-Quran
1. Mencintai al-Quran adalah salah satu tanda kecintaan seorang hamba kepada Allah. Kata al-Imam Sahl al-Tustari:
علامة حب الله حب القرآن
“Tanda-tanda kecintaan seseorang itu pada Allah (dan Allah mencintainya) adalah dengan mencintai al-Quran.”
2. Perkara ini turut dijelaskan oleh Saidina Abdullah ibn Mas’ud. Beliau berpesan:
لا يسأل أحدكم عن نفسه إلا القرآن فإن كان يحب القرآن فهو يحب الله وإن كان يبغض القرآن فهو يبغض الله ورسوله
“Janganlah seseorang itu sibuk bertanya perkara-perkara lain tentang dirinya melainkan al-Quran. Sekiranya dia mencintai al-Quran iaitu Kalamullah, maka sesungguhnya dia mencintai Allah.” (Ibn Abid/Ubayd, Fadail al-Quran)
3. Atas sebab itu sebahagian sarjana Muslim meletakkan hukuman yang keras terhadap mereka yang mempermainkan, atau menghina al-Quran. Kata al-Imam al-Syarbini:
والفعل المكفر ما تعمده صاحبه استهزاء صريحا بالدين أو جحودا له كإلقاء بقاذورة لأنه صريح في الاستخفاف بكلام الله تعالى والاستخفاف بالكلام استخفاف بالمتكلم
“Dan salah satu perbuatan yang boleh menyebabkan seseorang itu kufur adalah dia dengan sengaja menghina agama secara terang-terangan, atau mengingkari agama seperti mencampakkan kotoran kepada Mushaf al-Quran. Ini kerana perbuatan tersebut seolah menghina Kalamullah.” (al-Syarbini, Mughni al-Muhtaj)
4. Pandangan yang sama disuarakan oleh al-Imam Qadi Iyyad yang menyebutkan:
"اعلم أنّ من استخف بالقرآن أو بشيء منه أو سبَّه أو جحده أو حرفاً منه أو آية أو كذب ….. فهو كافر عند أهل العلم بإجماع
“Ketahuilah barangsiapa yang dengan sengaja merendahkan al-Quran (menghinanya) dengan sesuatu seperti mencacinya, mengingkarinya samada satu huruf atau satu ayat, atau mendustainya… maka dia boleh jatuh kufur.
5. Malah menurut Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986, menghina al-Quran adalah satu kesalahan undang-undang yang boleh menyebabkan seseorang itu didenda atau dipenjara.
Semoga Allah mendidik anak-anak kita mencintai al-Quran.
Sedih baca berita ni
BalasPadam