Pages

Julai 28, 2023

Diari Atuk

*Diari Atuk* _oleh Khairunnisaq_

“Kamu buat apa tu?” Haji Zainal menjengah ke sisi untuk melihat apa yang cucunya tulis di Facebook.

“Amir tengah tulis apa yang Amir buat dekat Bangkok hari tu. Nanti tahun depan gambar-gambar dengan semua yang Amir tulis ni naik balik dalam Facebook.”

“Oh... atuk pun ada juga.”

“Facebook?” Terjongket sedikit badan Amir seakan tak percaya.

“Bukan, tapi fungsinya sama. Jom.” Ditarik tangan cucunya ke kamar tidur berhampiran ruang tamu.

Haji Zainal bawa keluar sebuah kotak dari bawah katil. Dibuka lalu dia duduk di sebelahnya. Tangan Amir ditarik untuk berbuat sama. Dikeluarkan buku demi buku.

“Ha... ini diari atuk.” Diselak satu per satu halamannya sambil berceloteh. Gambar hitam putih Haji Zainal di kem askar, gambar dia kahwin, gambar anak-anaknya. Sesekali Amir ketawa mendengar cerita atuknya tentang zaman muda-muda. Jatuh cinta, putus cinta, kalah gusti dan sebagainya.

“Nah, ni diari kosong untuk kamu. Tulis apa yang kamu tak boleh tulis dalam ‘pasebuk’ tu, dalam ni.” Haji Zainal hulurkan diari baru ke tangan cucunya.

“Maksudnya, tuk?”

“Emosi kamu. Itu yang berharga untuk dikenang nanti.”

0 comments:

Catat Ulasan

Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!