Pages

Ogos 19, 2018

Guru bantu pelajar luar bandar kuasai bahasa Inggeris

Guru bantu pelajar luar bandar kuasai bahasa Inggeris


MOHD Sirhajwan Sidek guru Kolej Vokasional Keningau.

Namanya mungkin kurang dikenali, namun Mohd Sirhajwan Sidek, seorang guru Kolej Vokasional Keningau, Sabah berjaya mengharumkan nama negara selepas memenangi beberapa anugerah di peringkat antarabangsa.
Pencapaian dan sumbangan guru bahasa Inggeris yang berasal dari Kota Belud itu khususnya dalam bidang pendidikan sangat besar dan hebat, malah berjaya meletakkan Malaysia berdiri megah di mata dunia.
Kebanyakan anugerah yang dimenangi Sirhajwan, 31, tertumpu kepada inistaif kreatifnya dalam pengajaran bahasa Inggeris dan menggalakkan pelajar luar bandar untuk menguasai bahasa itu dalam kehidupan seharian mereka.
Beliau berkata, kebanyakan pelajarnya adalah dari kawasan pedalaman yang berdepan isu pendedahan terhadap bahan pengajaran dan pengalaman yang sangat terhad.
Katanya, pelajar dari kawasan berkenaan menyedari kepentingan mempelajari dan menguasai bahasa Inggeris.
“Inisiatif pertama saya dikenali sebagai HIVE (Highly Intellectual and Valiant Enthusiasts) bermula sebagai satu usaha melatih pelajar untuk pertandingan bahasa Inggeris, khususnya dalam bahas dan pengucapan awam.
“Tujuannya adalah untuk memanfaatkan alat pemikiran sebagai satu strategi untuk membolehkan pelajar membangunkan idea dan menyampaikannya melalui percakapan dengan cara yang meyakinkan.
“Saya memutuskan untuk menggunakan strategi itu, jadi ia menjadi sebahagian daripada amalan pengajaran bilik darjah saya,” katanya.
Inisiatif HIVE beliau memenangi pertandingan My Heart, 2016 Maxmillan Teacher di United Kingdom, sekali gus menggalakkannya untuk meneroka lebih lanjut dan menceburi bidang inovasi serta keusahawanan.
Menyedari pelajarnya memiliki kemahiran dan kreatif, beliau kemudian tampil dengan pendekatan `Ideatrix’ untuk membantu pelajar dalam merealisasikan idea inovatif dan membantu mereka dalam pertandingan.
Ia menjadi pendekatan yang sangat berjaya dan diiktiraf dengan dua anugerah dunia iaitu Anugerah Kecemerlangan Keusahawanan dan Inovasi dalam Pengajaran Guru 2017 di Paris dan Community Award for Citizenship 2018 di Dubai.
“Projek lain yang menerima anugerah ialah Wonder Zone. Ia adalah program berasaskan komuniti, yang mana pelajar saya membangunkan projek mereka sendiri dengan melawat sekolah rendah di Keningau.
“Menerusi inisiatif ini, ia menggalakkan mereka melaksanakan aktiviti pendidikan secara kreatif dengan murid. Dalam aktiviti itu, mereka diperlukan menggunakan bahasa Inggeris untuk berkomunikasi dengan murid.
“Semua inisiatif dan pendekatan ini membolehkan pelajar saya mengumpul pengalaman dan penghargaan bukan saja di peringkat negeri dan nasional, malah antarabangsa. Ini sangat bermakna kepada pelajar saya yang kebanyakannya datang dari pedalaman,” katanya.
Inisiatif Wonder Zone membolehkan Sirhajwan menerima Biasiswa Express Publishing International Association of Teachers of English as a Foreign Language (IATEFL) di United Kingdom, pada awal tahun ini.

0 comments:

Catat Ulasan

Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!