Februari 09, 2019

Mufti WP jawab isu suami tak bekerja

Mufti WP jawab isu suami tak bekerja

“KAMI cenderung menyatakan hukum suami menjadi suri rumah adalah tidak digalakkan jika tidak diredai oleh isteri. Namun jika isteri meredainya, maka itu dibenarkan seperti mana diharuskan untuk suami memakan mahar isteri sekiranya dibenarkan,” kata Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri.

Beliau berkata demikian menjawab persoalan netizen berhubung hukum suami menjadi suri rumah dan isteri menanggung perbelanjaan keluarga.

Menurutnya, terdapat banyak dalil dalam al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW menjelaskan kewajipan suami untuk memberi nafkah isteri serta anak.

Beliau berkata, antaranya di dalam Surah al-Nisa’, ayat 34, Allah berfirman maksudnya “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) ke atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian daripada harta mereka.”

“Daripada Jabir RA yang diriwayatkan Muslim, katanya Rasulullah bersabda, maksudnya: Bertakwalah kepada Allah dalam mengendalikan urusan kaum wanita. Kamu mengambil mereka dengan amanah Allah... Kewajipan kamu pula ialah memberikan nafkah dan pakaian yang sepatutnya kepada mereka. “Sesungguhnya, aku tinggalkan satu perkara yang kamu tidak akan sesat selama-lamanya, selagi kamu berpegang dengannya, iaitu kitab Allah,” katanya.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, wajib bagi suami untuk berusaha sebaik mungkin menafkahkan keluarganya dengan segala upaya tanpa berharap kepada pendapatan isteri.

“Sekurang-kurangnya hendaklah lelaki itu berusaha menyediakan atau menyumbang tempat tinggal yang selamat dengan peralatan asas seperti tempat tidur, duduk dan memasak, makanan dan minuman, pakaian yang sesuai dan menutup aurat, dan alat dan bahan kebersihan, untuk isteri dan anak-anaknya.

“Kegagalan menyediakan atau berusaha membantu keluarga akan merendahkan martabat seorang lelaki yang dipertanggungjawabkan dalam Syarak untuk menjaga keluarganya.

“Sekiranya seorang lelaki itu enggan dan tidak mahu berusaha memberi nafkah keluarga dalam keperluan asas, maka isteri memiliki hak untuk (menuntut) fasakh perkahwinan dan itu tidak termasuk perkara dosa,” katanya.

Ulasan penuh beliau mengenai isu ini boleh diikuti di laman web rasminya di http://www.muftiwp.gov.my.

Zulkifli berkata, tindakan seorang isteri membantu keluarga adalah tindakan terpuji dan pengorbanan itu wajib dihargai oleh suami.

“Pada asalnya wajib suami memberi nafkah isteri dan anak-anaknya. Namun jika isteri memberi nafkah suami dan anak-anaknya, maka itu adalah ihsan dan pahala yang besar ke atasnya,” katanya.

Sumber

3 ulasan:

  1. Zaman sekarang dah ramai isteri bergaji besar dan suami jadi sura (bukan suri) rumah tangga aje.

    BalasPadam
  2. Ikut persetujuan lah, kalau dua-dua bersetuju okay je. Communication is key !!

    BalasPadam
  3. Sebagai lelaki kena pegang title ketua rumah biar apa keadaan kena berusaha dengan cara halal membantu cari rezeki nafkah isteri dan anak..
    Kita ikut jerih payah Nabi SAW..Imam kena lelaki kan. Itu tanda lelaki tak boleh mesti ketua dalam keluarga.

    BalasPadam

Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!