Mei 18, 2019

Syiling Opah (TV1)

Syiling Opah (TV1)
Siapa yang tidak mengenali pelakon veteran wanita, Wan Maimunah yang telah banyak membintangi drama-drama tanah air. Daripada sisi lain, dramatis terkenal ini juga telah dipilih sebagai tokoh wanita sempena Sambutan Hari Wanita 2019 peringkat negeri Melaka.
Kepada yang merindui babak-babak air mata yang dilakonkan beliau, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan telemovie penuh keinsafan Ramadan ini yang bertajuk “Syiling Opah” pada 18 Mei ini, pukul 9.00 malam menerusi saluran TV1.
Kali ini ceritanya berkisar tentang pengorbanan dan kasih sayang seorang nenek pada cucunya yang telah kematian ibu ayah akibat terlibat dalam kemalangan jalan raya. Nenek tersebut mengambil alih tugas menjaga seorang cucu perempuan selepas ayah dan ibunya meninggal dunia. Pelbagai cabaran yang perlu diharungi nenek dalam memenuhi permintaan cucu yang sering merungut dengan kesempitan hidup tinggal bersama neneknya. Kemuncaknya nenek melakukan pengorbanan besar terhadap cucunya.
Turut dibintangi oleh Aleza Shahdan, Zamarul Hisham, Azar Azmi, dan Izzat Mushtaq, telemovie kekeluargaan penuh air mata ini mengangkat watak utama Opah Som tinggal berseorangan di kampung, hidup dalam kesusahan dan sentiasa berjimat cermat mengumpulkan duit syiling sebagai simpanan.
Pada masa sama beliau amat merindui kehadiran anaknya, Su bersama suaminya, Hairi. Mereka tidak pernah lagi pulang ke kampung menjenguk Opah Som selepas berkahwin.
Anak Su iaitu Diana merupakan seorang remaja yang bermasalah. Setiap tindak tanduknya ada sahaja yang mengundang masalah kepada ibu dan ayahnya. Konflik berlaku bila Hairi yang dibuang kerja membawa keluarganya pulang ke kampung Su untuk memulakan hidup baru.
Dalam pada itu, dalam diam Su masih berdendam dengan ibunya yang memaksa beliau berkahwin dengan Hairi, kisah 19 tahun dahulu. Perkara itu meninggalkan kesan di hatinya meskipun sudah memiliki Diana.
Kegembiraan Opah yang bertemu semula dengan anaknya pada bulan Ramadan hanyalah seketika apabila Su dan Hairi meninggal dunia apabila mereka dilanggar lori. Kebahagiaan yang baru ingin dikecapinya lenyap sekelip mata.
Sementara itu Diana melakukan pelbagai olah. Dia berhasrat berbuka puasa di kedai dan Opah terpaksa menggunakan duit syiling yang disimpannya. Demi memberikan duit kepada cucunya, Opah hanya minum sahaja ketika menemani Diana berbuka puasa.
Ramadan berlalu dan hari raya makin menjelang tiba. Ketika itu Opah gembira apabila Diana mula bercakap dengannya walaupun Diana meminta baju raya dengan nada yang kasar. Opah sedaya upaya membawa simpanan duit syiling ke bandar untuk ditukarkan di bank bagi membeli baju raya Diana.
Malang menimpa apabila Opah disamun oleh dua orang lelaki. Perkara itu akhirnya sampai ke pengetahuan Diana. Dia mula resah memikirkan keselamatan Opah dan keterlanjuran sikapnya terhadap nenek yang sepatutnya disantuni dengan baik sebelum ini. Apatahlagi bila mengenangkan neneknya itu telah banyak berkorban setelah kehilangan ibu dan ayahnya. Namun masihkah ada ruang untuk Diana memohon kemaafan daripada neneknya itu?

0 comments:

Catat Ulasan

Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!