April 06, 2020

Ahli tabligh buka cerita





SEJAK kes pertama dikesan 25 Januari lalu membabitkan pelancong China ke negara ini, beribu-ribu orang dilaporkan sudah dijangkiti wabak pandemik Covid-19 di Malaysia.
Daripada jumlah itu ratusan daripada pesakit itu sudah sembuh, keluar wad serta pulang ke rumah masing-masing selepas dirawat di hospital tempatan.
Bukan mudah menghadapi tekanan akibat dijangkiti virus berkenaan lebih-lebih lagi berhadapan stigma negatif segelintir masyarakat khususnya kluster tabligh yang ketika ini diperkatakan.
Harian Metro menemu bual seorang daripadanya selain mengumpulkan dua status bekas pesakit Covid-19 dari kalangan kluster tabligh sudah sembuh sepenuhnya yang dikongsi mereka di akaun media sosial Facebook (FB).
Beberapa perkataan atau ayat diubah mengikut laras bahasa sesuai.
MUNTAHA ABDULLAH, 46
“NAK cerita pengalaman bersama staf dan frontliners (barisan hadapan) semasa dirawat di HSB. Untuk pengetahuan semua, HSB adalah hospital di Selangor yang dikhususkan merawat pesakit Covid-19. Menurut maklumat seorang daripada jururawat di situ, asalnya dia adalah jururawat bertugas di Wad Bersalin. Beliau berkata, sebelum kes pesakit Covid-19 mula ditempatkan di situ, pihak pengurusan hospital sudah memindahkan terlebih dahulu pesakit bukan kes Covid-19 ke hospital yang lain. Kemudian, HSB dikhususkan untuk menempatkan pesakit Covid-19 disahkan positif atau berkemungkinan besar adalah positif.
Sebagaimana yang kita selalu lihat di media massa, semua frontliners (barisan hadapan) di hospital khususnya doktor, jururawat, paramedik dan semua staf di wad diwajibkan memakai pakaian khas peralatan perlindungan diri (PPE) apabila berhadapan pesakit penyakit berjangkit dan berbahaya seperti virus Covid-19 ini.
Pakaian atau sut ini memang memenuhi standard piawaian ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Kita yang bukan staf di hospital ini memang tak pernah merasa betapa seksanya mereka yang terpaksa memakai sut sebegini.
Pernah pada suatu hari semasa berada di wad, seorang jururawat datang ke bilik kami untuk buat check-up (pemeriksaan) rutin. Dia mengambil suhu badan, tekanan darah dan denyutan nadi. Bergerak dari satu katil ke satu katil sambil membawa peralatannya.
Saya memang sudah bersedia di katil. Apabila dia menghampiri, saya segera menghulurkan sebelah tangan. Dalam hati berbicara ‘Hurmm...check lagi...’
Namun, sewaktu dia menjalankan tugas dalam keadaan badan sedikit membongkok, saya terpandang sesuatu. Di sebalik perlindungan plastik (shelter) di mukanya, terlihat titik-titik peluh di dahinya. Jarang sekali saya melihat ke arah muka jururawat sebegitu. Kalau tengok pun, sekali imbas saja. Tetapi pada hari itu seolah-olah Allah sengaja memperlihatkannya di depan mata. Perasaan terus tersentap. Ya Allah...dalam bilik berhawa dingin boleh berpeluh, apatah lagi staf lain yang di luar sana? Saya cuba membayangkan keadaan mereka seketika. Dalam keadaan panas di luar sana, mereka sanggup pakai sut itu berjam-jam!
Sudahlah berjam-jam pakai sut yang memerap peluh, kena kerja lebih masa pula. Ada yang sampai lebih 12 jam, 14 jam dan ada yang sampai 16 jam! Sehingga ada yang keletihan sampai jatuh pengsan! Tiada masa cukup untuk beribadat, bersama keluarga dan buat aktiviti lazim kita buat di rumah. Sehingga ada petugas yang hanya memandang anak dari jauh kerana takut tersebar virus kepada ahli keluarga. Itu belum kira lagi risiko mereka mungkin terjangkit virus Covid–19 dari pesakit pula.
Kami, bekas pesakit yang menyaksikan kegigihan mereka menjadi barisan hadapan dalam berhadapan pesakit Covid-19 ini cukup terharu dengan khidmat cemerlang warga kerja KKM khususnya. Tidak ketinggalan juga, ucapan terima kasih ini kami ucapkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan semua pihak terbabit dalam operasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bertungkus-lumus membantu kerajaan dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19 ini daripada terus merebak dan meragut nyawa. Syabas utk anda semua. We proud of you! (Kami bangga dengan anda)
Dan demi menjayakan hasrat ini, tiada pesanan lain dari saya melainkan STAY AT HOME, PRAY AT HOME! (Duduk di rumah, doa di rumah).
AMIR HAMZAH BECHIK, 37
“Kami minta maaf atas segala kesulitan kepada seluruh rakyat Malaysia , kalau kami tahu perkara ‘ghaib’ kami tidak akan pergi ke Seri Petaling tetapi kami seperti mangsa lain hadir ke sana hanya untuk mendengar ceramah.”
Demikian luahan jemaah tabligh, Amir Hamzah Bechik, 37, yang juga bekas pesakit Covid-19 yang kini sudah pulih sepenuhnya.
Dia disahkan positif virus itu selepas menghadiri perhimpunan Ijtimak di Masjid Seri Petaling pada 29 Februari lalu.
Bapa kepada dua anak itu berkata, apa yang terjadi sudah ditetapkan Allah SWT yang memilihnya untuk menempuhi ‘ujian’ daripada-Nya.
“Tiada siapa mahu sakit, kalau kami tahu dengan pergi belajar ilmu agama di masjid itu boleh membawa kemudaratan kepada kesihatan kami, pastinya kami tidak pergi.
“Tetapi kami juga seperti orang lain, kami tidak tahu dan tidak nampak perkara ghaib, jadi berhentilah menyalahkan jemaah tabligh sebagai punca penularan wabak ini, kami juga pesakit tetapi jangan sesekali melabelkan kami sebagai penyebab virus ini di Malaysia,” katanya.
Menceritakan lebih lanjut, Amir Hamzah berkata, dia hanya menghadiri perhimpunan itu selama satu jam untuk mendengar ceramah antara waktu Maghrib dan Isyak.
“Saya memilih untuk tidak tidur di sana, jadi saya hanya pergi selama sejam. Bagaimanapun, kecoh seketika mengatakan jemaah tabligh dari Brunei positif virus ini selepas menyertai perhimpunan berkenaan.
“Saya hanya mengetahuinya pada 10 Mac dan dua hari kemudian membuat saringan kesihatan di Klinik Kesihatan Batu 14 bersama keluarga,” katanya.
Menurutnya, dia dan anaknya yang menyertai perhimpunan itu dibawa ke Hospital Ampang untuk melakukan ujian swab sebelum disahkan positif virus itu pada 16 Mac lalu.
“Saya dihantar ke Hospital Sungai Buloh (HSB) dan dirawat selama lima hari sebelum keputusan ujian kedua mendapati saya negatif virus berkenaan.
“Ahli keluarga yang lain bebas virus berkenaan kecuali ibu yang disahkan positif berikutan kontak rapat saya. Alhamdulillah ibu juga sudah sembuh dan keluar hospital pada 31 Mac lalu,” katanya.
Menurutnya, dia tidak mengalami sebarang simptom kecuali batuk berikutan memang mempunyai penyakit asma.
“Ketika dirawat di hospital kebanyakan daripada kami kerap bertahajud diikuti selawat ke atas Nabi Muhammad SAW, membaca al-Fatihah tiga kali dan mengamalkan surah al-Ikhlas (3x).
“Selain itu, saya mengamalkan membaca zikir penerang hati sebanyak 313 kali, selawat satu kali kemudian hembus pada air dan minum. Selepas itu saya membaca surah At-Taghaabun, semoga ini juga menjadi amalan buat pesakit lain,” katanya.
Akuinya, rawatan dan layanan yang diterima di HSB sangat baik.
“Kami terhutang budi kepada pasukan barisan hadapan yang merawat kami, semoga Allah mengurniakan ganjaran pahala kepada mereka,” katanya.
Menurutnya, dia memahami perasaan semua rakyat Malaysia khususnya penduduk yang terhalang aktiviti harian mereka disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
“Kami pun tidak inginkan perkara sebegini, tetapi sebagaimana musibah yang lainnya seperti banjir dan kebakaran apabila berlaku kita semua rakyat perlu bersatu hati dengan saling membantu,” katanya.
SAIFUL AZAM
“Perit. Itulah perkataan yang mungkin boleh menggambarkan perasaan saya sebagai seorang pesakit Covid-19 tanpa simptom.
Biarpun kini menjalani kuarantin di bilik rumah seorang diri (dengan syarat ketat seperti di wad), namun ia sangat melegakan perasaan kerana dapat tinggal sebumbung dengan ahli keluarga.
Tempoh 14 hari yang dilalui di Wad 30 HSB benar-benar menguji ketahanan minda dan perasaan.
Dengan persepsi sebagai seorang pesakit Covid-19 biarpun tanpa sebarang gejala, tekanan menjadi bertambah kuat apabila terpaksa berjauhan dengan anak dan isteri yang tidak pasti apakah cukup makan minum mereka di rumah.
Hati menjadi semakin remuk apabila melihat seorang demi seorang rakan sama wad dibebaskan dari ‘penjara’ ini saban hari.
Diri terus menghitung hari yang mendatang seakan-akan tiada penghujungnya.
Bunyi pintu jeriji wad setiap kali dikunci dengan mangga menambah penderitaan mental diri ini.
Terkadang terlintas juga di fikiran untuk melompat keluar dan lari daripada kepungan ini, namun apabila memikirkan akibatnya, rancangan itu terpaksa dilontar jauh-jauh dari pemikiran.
Setiap kali ujian swab (calitan tekak) dibuat, debaran 24 jam seterusnya begitu terasa seperti menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Jantung bergoncang kuat sehingga bergegar seluruh tubuh. Betapa luluhnya hati apabila doktor mengejutkan jam 5 pagi keesokannya hanya untuk membisikkan kalimat ‘Awak masih positif ye’.
Bagi yang tidak mengerti, kata-kata itu bukanlah membawa erti yang sama seperti dalam program
motivasi, sebaliknya ia bermakna kehidupan di wad perlu diteruskan untuk sekurang-kurangnya empat hari lagi.
Maka hati harus terus tabah untuk mengulangi rutin harian untuk hari-hari berikutnya.
Biarpun kini sudah pulang, namun jauh di sudut hati ini amat merindui suasana solat berjemaah ‘semeter ’ setiap waktu di wad.
Buat f rontliners (barisan hadapan), tiada kata-kata yang mampu diucapkan sebagai balasan buat budi baik kalian.
Sanggup mempertaruhkan kehidupan berdepan secara langsung dengan makhluk yang tidak kelihatan ini.
Mengutamakan kami lebih daripada tanggungjawab kepada ahli keluarga masing-masing di rumah.
Moga Allah lindungi kalian sekeluarga sentiasa.

Sumber : https://www.hmetro.com.my/utama/2020/04/562980/ahli-tabligh-buka-cerita#utm_source=insider&utm_medium=web_push&utm_campaign=ahli_tabligh_buka_cerita&webPushId=Njc2MQ==

2 ulasan:

  1. Allahuakbar semoga penyakit ini terhapus dengan doa2 dan rintihan hamba2 mu..

    BalasPadam

Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Pengikut