Pages

April 22, 2020

Insan ini dihina. Insan ini dicemuh. Insan ini disindir. Insan ini dimaki.

Coretan dari FB Mohd Fadli Salleh

Insan ini dihina. Insan ini dicemuh. Insan ini disindir. Insan ini dimaki.
Kerana apa?
Kerana beliau membantu orang. Kerana beliau turun padang. Beliau dicerca. Dituduh semua perbuatannya itu haram. Tuduhan pula oleh seorang yang kononnya ustaz.
Tindak tanduk beliau dikecam. Kereta yang beliau pakai dipertikaikan.
Mereka hendak dia pakai kereta Datsun buruk yang aircond pun tiada, meter pun rosak. Mereka fikir, orang yang turun membantu orang, orang yang berjuang dijalan kebajikan harus papa kedana juga.
Mereka fikir dia tidak boleh nikmati apa-apa kemewahan walau dari titik peluh dan usaha dia sendiri.
Tuduhan dan fitnah dilemparkan. Dikatakan mencari populariti. Dikatakan meraih simpati. Dikatakan menyalah guna sumbangan untuk kepentingan sendiri.
Apa beliau berhenti?
Tidak. Beliau tahu dan benar-benar faham jalan ini penuh ujian.
Beliau tahu sangat ramai orang berharap menjadi seperti beliau, tapi mereka tidak mampu. Maka mereka akan menjadi pendengki.
Beliau tahu, sebaik beliau berhenti mereka akan menang dan beribu orang akan kebuluran.
Beliau tahu, saat beliau melayan semua tohmahan, semua kebajikan yang beliau jalankan akan turut sama terkesan.
Maka beliau senyum dan diam.
Beliau berdakwah dengan tindakan. Turun dan menyantuni.
Beliau berdakwah dengan kata-kata. Saat beliau turun menegur dan menyapa.
Dan beliau memberi inspirasi kepada jutaan manusia diluar sana untuk sama-sama menurut jejak beliau.
Membantu sesiapa tanpa syarat. Menyebar kasih sayang yang sarat.
Diam beliau bukan kerana tidak mampu menjawab. Tapi diam beliau kerana beliau singa seperti syair Imam As Syafie :
“Berkatalah sesuka hatimu untuk menghina kehormatanku. Maka diamku dari orang yang menghina adalah satu jawapan.
Bukanlah ertinya aku tidak memiliki jawapan,
tetapi tidak pantas bagi seekor singa melayan kerenah anjing."
Sahabatku Ustaz Ebit Lew...
Jalan ini tidak mudah. Penuh dengan ranjau dan duri. Penuh dengan caci maki. Penuh dengan orang yang dengki.
Aku tahu kau lebih mengerti. Dan aku juga kini mengerti. Kerana kita sama-sama berada dijalan ini.
Terus kuat sahabat. Kuat seperti biasa. Dan terus saja menjadi singa.
Ikhlas dari,
Mohd Fadli Salleh,
Presiden Pertubuhan Kebajikan Dana Kita.

0 comments:

Catat Ulasan

Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!