Ada ajak bertumbuk kerana ditegur buang sampah
Sengaja buang sampah depan petugas pembersihan semasa sedang menyapu.
Itu antara sikap tidak wajar segelintir warga bandar ini kerana tidak menggunakan tong sampah, sebaliknya membuangnya sesuka hati.
Malah, ada yang marah-marah jika ditegur sehingga ada yang ajak bertumbuk.
Pengalaman sedemikian bukan aneh bagi petugas pembersihan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
Ketua Penolong Pengarah Kesihatan MBI, S.Manisegaran berkata, khidmat petugas pembersihan ada kalanya hanya dipandang sebelah mata oleh segelintir anggota masyarakat.
Menurut beliau, MBI mempunyai kira-kira 600 orang petugas pembersihan yang diletakkan di bawah Bahagian Perkhidmatan Bandar, Jabatan Kesihatan Awam dan Perbandaran.
“Tiada istilah hari cuti pada tugas pembersihan kerana operasi kita berjalan setiap hari tanpa gagal. Ya, petugas diberi hari cuti mengikut giliran tetapi kerja-kerja pembersihan tetap berjalan.
“Sebagai masyarakat, kita suka apabila kawasan kejiranan kita bersih dan terjaga. Itulah tugas yang dilakukan oleh para petugas pembersihan ini,” katanya ketika ditemui semasa meninjau tugas pembersihan di Taman Canning.
Waktu kerja para petugas ini bermula seawal 6.45 pagi dan hanya berakhir pada pukul 4 petang.
MBI bertanggungjawab melaksanakan tiga tugas pembersihan iaitu menyapu sampah, kutipan sampah dan membersihkan sampah haram di bandaraya ini dengan keluasan kira-kira 643 kilometer persegi.
Bagi tugas pembersihan parit, pemotongan rumput dan bukan berkaitan dengan pengurusan sampah, ia dikendalikan oleh syarikat swasta yang dilantik.
Bagi Salwan Najumut, walaupun terpaksa berhadapan dengan sampah sarap setiap hari, dia menganggap pekerjaan itu sebagai satu tanggungjawab kepada masyarakat.
“Misalnya kita bekerja pada hari raya Aidilfitri. Terpaksa tinggalkan keluarga untuk keluar bekerja sebab ada amanah yang perlu kami sempurnakan iaitu mengutip sampah dan membersihkan kawasan.
"Pada ketika wabak Covid-19 melanda, operasi pembersihan tetap berjalan seperti biasa,” ujarnya.
Kata Salwan, dia juga berharap agar masyarakat dapat memberikan kerjasama dengan tidak membuang sampah merata-rata terutamanya di kawasan yang dilarang. - Perak Gazette
0 comments:
Catat Ulasan
Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!