September 25, 2020

Maksud spiritual ucapan salam 'namaste'

 


'Namaste' adalah cara memberi salam yang menjadi identiti budaya bangsa India. Kadang kala  'namaskar' atau 'namaskaram', ia diucapkan bersama tapak tangan terbuka yang ditemukan, rapat ke dada dengan badan atau kepala sedikit ditundukkan.

Dalam dunia moden, umum memahaminya sama seperti ucapan 'hello' atau 'hai'. Sebenarnya ia adalah satu cara ucap salam yang sangat dalam maknanya, membawa falsafah hubungan rohani antara manusia dan tuhan.

Ia berakar daripada Añjali Mudrā, isyarat tangan yang mewakili simbol hormat. Dalam bahasa Sanskrit, Añjali itu sendiri bererti 'penyerahan diri', 'puja', dan 'meraikan'. Mudrā pula ertinya 'tanda' atau 'pemeteraian'. 

Pertemuan antara dua tapak tangan kiri dan kanan membawa makna penyatuan antara hemisfera otak kiri dengan kanan. Ia satu simbolik kepada hubungan antara manusia dengan zat pencipta dalam segala benda di dunia ini.

'Namaste' berasal daripada gabungan perkataan Sanskrit namas dan te. Terma namas adalah daripada dua perkataan, iaitu na yang bererti 'bukan' dan mamah yang bermaksud 'aku' atau 'kepunyaanku'. Dalam erti kata lain, ia frasa pengakuan ketiadaan diri melainkan tuhan. Dalam era kontemporari, namas difahami secara ringkas maksudnya iaitu 'tunduk' atau 'hormat', sementara te bererti 'kepada kamu'.

Frasa ucapan salam ini menjunjung makna rohani yang mencerminkan kepercayaan bahawa 'diri dan tuhan adalah sama dalam aku dan kamu', bererti 'aku tunduk kepada tuhan dalam kamu'. Dalam erti kata lain, 'kesucian dalam aku mengiktiraf kesucian dalam kamu'.

Malah, cara ucap salam dengan dua tangan terbuka ditemukan  yang juga diamalkan di kebanyakan negara Asia Timur ini sebenarnya jauh lebih bertamadun dan bersih daripada berjabat tangan yang menjadi kebiasaan dalam budaya majoriti hari ini.

Dikatakan amalan berjabat tangan bermula di Barat, dipercayai seawal kurun ke-5 Sebelum Masihi dalam tamadun Greek purba. Ia terlahir daripada sifat prasangka, yang mahu mengesahkan sama ada orang yang didepaninya itu membawa senjata atau tidak.

Asalnya berjabat tangan juga dikatakan dilakukan dengan kedua-dua subjek saling menggengam pergelangan tangan satu dengan lain, sebagai langkah memeriksa sekiranya ada senjata seperti pisau disembunyikan di tangan masing-masing.

Budaya salam 'namaste' lahir daripada penerimaan antara satu manusia dengan manusia yang lain, zahir dan batinnya. Nyata orang Timur menjalani kehidupan atas dasar hormat sejak permulaan masa, berbanding Barat yang sentiasa berada dalam syak wasangka.

Bukan ajak kalian jadi penganut Hindu, tetapi memahami falsafahnya. Tuhan yang mereka puja memang lain daripada tuhan yang kita sembah. Tapi tidakkah memang hanya ada satu tuhan yang menciptakan segala di langit dan di bumi ini, cuma cara 'melihat'nya sahaja berbeza?

*Sumber: Wikipedia, Deep English


0 comments:

Catat Ulasan

Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!