Pages

Februari 18, 2021

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) kecewa dengan kaedah pemberian bayaran 'one-off' RM500 kepada petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan (KKM) yang didakwa berlainan dengan yang diumumkan dalam Belanjawan 2021.

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) kecewa dengan kaedah pemberian bayaran 'one-off' RM500 kepada petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan (KKM) yang didakwa berlainan dengan yang diumumkan dalam Belanjawan 2021.

Presidennya, Adnan Mat, berkata ia berikutan pemberian bantuan itu mempunyai kadar dan kelayakan yang sangat berbeza berbanding dengan yang diumumkan dalam Belanjawan 2021.

Katanya, melalui surat edaran yang dikeluarkan KKM pada 11 Februari lalu, kadar dan kelayakan bagi pemberian one-off sudah ditetapkan kepada kadar penuh RM500 dan kadar separuh RM250.

"Petugas KKM hanya layak mendapat kadar penuh RM500 jika telah dibayar Elaun Khas COVID-19 tahun lalu pada kadar penuh selama tiga bulan atau lebih manakala mereka yang menerima elaun kurang daripada tiga bulan atau kadar separuh hanya layak menerima separuh iaitu RM250.

"Lebih mengecewakan petugas barisan hadapan ini ialah apabila mereka perlu membuat tuntutan 'one-off' ini secara manual dengan mengisi borang tuntutan.

"Tindakan KKM ini bukan sahaja boleh menyebabkan semangat perjuangan barisan hadapan luntur malah memberi tanggapan negatif terhadap kerajaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada pembentangan Belanjawan 2021 tahun lalu, kerajaan mengumumkan pemberian one-off sebanyak RM500 kepada semua petugas barisan hadapan KKM sebagai tanda penghargaan dalam menangani dan membendung penularan wabak COVID-19.

Keputusan kerajaan memberikan bantuan berbentuk sekali bayar itu bagi menyuntik semangat barisan hadapan KKM yang sekian lama berjuang tanpa henti dalam menangani dan membendung penularan wabak COVID-19 sejak awal tahun lalu lagi.

Adnan berkata, tindakan membezakan pemberian one-off ini kepada dua kadar berbeza hanya bersandarkan kepada status penerima Elaun Khas COVID-19 ini adalah tidak adil.

"Walaupun petugas itu tidak mendapat tuntutan penuh Elaun Khas COVID-19, ia tidak bermakna petugas kurang memberikan sumbangan, malah sepanjang pandemik melanda mengakibatkan penambahan beban tugas kerana tugas hakiki perlu juga diutamakan selain tugas berkaitan COVID-19.

"Sebagai contoh, petugas barisan hadapan perlu digilirkan bagi memastikan mereka mempunyai masa untuk merawat kes yang lain serta mengelakkan keletihan melampau.

"Sudah tentu dengan penggiliran tugas ini menyebabkan jumlah hari penugasan melawan Covid-19 mungkin tidak sampai 15 hari untuk melayakkan mendapat tuntutan penuh Elaun Khas COVID-19," katanya.

Justeru katanya, CUEPACS menggesa KKM memansuhkan semua syarat dan kelayakan yang sudah ditetapkan dalam pemberian one-off ini kepada petugas barisan hadapan.

"Kami berpendapat semua petugas KKM yang dikategorikan sebagai barisan hadapan dan telah bertungkus lumus dalam menangani pandemik Covid-19 layak diberi RM 500 tanpa mengambil kira syarat tambahan.

"KKM perlulah menyerahkan kuasa kepada ketua jabatan untuk menentukan siapa barisan hadapan yang layak untuk menerima one-off RM500 terutama pasukan barisan hadapan yang telah ditetapkan oleh jabatan masing-masing untuk bertugas sebagai petugas barisan hadapan," katanya.

Katanya, penetapan pelbagai syarat dan dokumentasi bagi menuntut elaun khas membuatkan ramai malas untuk menuntutnya.

"Kini pemberian one-off yang sudah diumumkan untuk diberikan kepada semua petugas barisan hadapan KKM juga mahu diremehkan dengan pelbagai syarat dan kerenah birokrasi.

"Justeru, CUEPACS berharap isu ini dapat diselesaikan dengan segera agar petugas barisan hadapan ini dapat fokus kepada khidmatnya kepada rakyat dan negara," katanya.

Bharian

0 comments:

Catat Ulasan

Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!