Itu kata Sri Norliana Muliyono, 33, yang memilih setia bersama suami, Johan Ahmad, 45, kini berstatus orang kurang upaya (OKU) kudung kaki kiri selepas terbabit kejadian letupan gas di bengkel kereta miliknya pada 2020.
Sri Norliana berkata, kejadian itu nyata mengubah kehidupan mereka sekeluarga apabila suami yang sebelum ini berusaha mencari rezeki kini hanya mampu bergerak dengan bantuan kerusi roda.
Menurutnya, setahun selepas kejadian itu dia yang tidak pernah berkerja nekad mencari rezeki bagi menyara keluarga, namun mengakui suami melakukan kerja sampingan bagi membantunya.
"Kami menjalani kehidupan suami isteri selama 15 tahun dan ketika suami masih cukup sifat dulu dia seorang yang bertanggungjawab serta berusaha memberi nafkah keluarga dan menyediakan keperluan kami tanpa berkira wang biarpun sibuk berkerja.
"Jadi atas alasan apa saya mahu meninggalkan suami dalam situasi yang dia sudah tiada upaya dan kudrat seperti dulu, malah saya tidak pernah rasa terbeban," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Dia yang berkerja dalam penyelenggaraan penapis air berkata, dalam keadaan yang terbatas, suami tetap membantunya dengan menguruskan rumah ketika dia berkerja dan menghantar anak sekolah.
"Dengan berkerusi roda suami buat kerja rumah termasuk memasak untuk anak ke sekolah. Dia tetap melakukan tanggungjawabnya bukan saja bantu di rumah, suami juga menjahit dan menjadi ejen jualan dalam talian," katanya tinggal di Taman Anggerik, Bandar Tenggara, di sini.
Sementara itu, Johan berkata, dia kehilangan kaki kiri sehingga paras pangkal paha, tangan kirinya turut parah apabila terbakar dalam kejadian itu menyebabkan tangannya tidak dapat digenggam dengan sempurna selain ibu jari kanan juga putus.
Bagaimanapun katanya, dia tidak mahu hanya bergantung kepada isteri semata-mata biarpun fizikalnya tidak sama seperti dulu.
"Kejadian itu menyebabkan saya hilang kaki dan perniagaan bengkel kereta tetapi bersyukur keluarga masih setia bersama saya.
"Saya tetap mahu berusaha untuk kelangsungan hidup dengan mengambil tempahan baju kurung (hanya untuk keluarga dan rakan), cadar, langsir dan set tilam bayi sambil turut berniaga dalam talian.
"Malah saya akan membantu isteri menguruskan rumah dan memasak setiap hari. Saya faham isteri yang sebelum ini tidak pernah bersusah payah berkerja kini terpaksa melakukan semua itu, jadi tugas saya meringankan kerjanya," katanya.
Menurut Johan, dia terharu dengan kerelaan isteri yang sanggup berkerja demi keluarga mereka selain ketulusan isteri yang terus setia bersamanya.
"Saya anggap semua yang berlaku mempunyai hikmah tersendiri. Biarpun sekarang perbelanjaan kami sudah tidak sama seperti saya berniaga dulu tetapi ia masih cukup dan yang penting sentiasa bersyukur," katanya.
0 comments:
Catat Ulasan
Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!