Susu Baik Untuk Tulang Adalah Mitos? Kena Tahu Risiko Minum Terlebih Susu Ini!

Susu merupakan sejenis minuman yang baik untuk kesihatan. Walau bagaimanapun, semua itu merupakan sesuatu yang selalu kita dengar menerusi iklan yang ditayangkan di kaca televisyen. Hakikatnya, sejauh manakah kebenaran tentang faedah minum susu? Adakah ia boleh mengelakkan penyakit osteoporosis atau tulang rapuh?

Semua orang tahu, susu mengandungi kalsium yang dapat mengekalkan kekuatan tulang. Oleh sebab itu, secara logiknya, minum susu sudah pastilah dapat mengelakkan penyakit osteoporosis.

Walau bagaimanapun, menurut sebuah kajian pada tahun 2014 oleh Michaƫlsson, et al., minum terlalu banyak susu sebenarnya boleh membawa mudarat kepada kesihatan!

Berapa banyak susu yang boleh saya minum?

Menurut kajian tersebut, terlalu banyak minum susu (lebih daripada 3 gelas sehari) bukan sahaja dapat meningkatkan risiko kematian, ia juga membuatkan tulang anda lebih mudah untuk mengalami keretakan.

Malah, wanita yang dilaporkan minum lebih daripada 3 gelas susu sehari juga mempunyai risiko kematian sebanyak 2 kali ganda berbanding wanita yang hanya minum segelas susu.

Walau bagaimanapun, kaum Adam tidak terkesan dengan perkara ini seperti kaum Hawa. Namun, lelaki yang gemar minum susu yang banyak juga menunjukkan peningkatan dalam kes kematian.

Tapi, bukankah minum susu baik untuk kesihatan tulang?

Perkara ini mungkin tidak benar jika anda mengambil terlalu banyak susu. Malah, faedahnya juga akan hilang dan ia tidak mampu lagi untuk melindungi pengamalnya daripada menghidap tulang rapuh ataupun keretakan tulang.

Susu merupakan sumber utama sejenis gula yang dikenali dengan nama D-galactose. Menurut beberapa eksperimen yang dijalankan terhadap haiwan, pendedahan terhadap terlalu banyak D-galactose adalah berbahaya kepada kesihatan.

Malah, dos D-galactose yang rendah juga menunjukkan kesan yang seakan-akan penuaan di dalam kalangan haiwan, termasuklah jangka hayat yang lebih pendek, inflamasi kronik dan juga degenerasi neuron.

Bersederhana ketika minum susu

Menurut sebuah kajian yang diterbitkan di dalam British Medical Journal, keretakan tulang pinggul paling banyak berlaku di negara yang mempunyai pengambilan kalsium yang tertinggi.

Malah, wanita yang minum 3 gelas susu ke atas setiap hari mempunyai penambahan risiko sebanyak 60% untuk menghidap keretakan tulang pada masa hadapan.

Oleh sebab itu, mengapa kita diberitahu sejak kecil untuk minum susu sebagai sesuatu yang sihat?

Sebenarnya, jika diambil secara sederhana, susu dapat melindungi kita daripada penyakit kronik. Malah, pengambilan secawan susu sehari sudah cukup untuk memenuhi rekomendasi nutrisi harian.

Menurut Cleaveland Clinic, jika anda inginkan tulang yang sihat, elakkan minum susu lebih daripada 1 gelas sehari.

Jika anda seorang penggemar susu, sudah tentulah anda akan rasa risau tentang penemuan ini. Walau bagaimanapun, kajian yang dilakukan oleh Michaƫlsson, et al. masih mempunyai beberapa kelemahannya yang tersendiri.

Disebabkan kajian ini memerlukan pesertanya untuk melakukan anggaran jumlah susu yang diminum dalam masa setahun, dapatannya mungkin tidaklah setepat yang disangka. Malah, bukti yang sedia ada juga belum cukup untuk melakukan sebarang kesimpulan.

Kepentingan vitamin D dalam diet seharian

Untuk mendapatkan tulang yang sihat, anda perlulah mengambil diet yang kaya dengan vitamin D dan kalsium.

Kalsium sudah lama dikaitkan dengan kesihatan tulang. Namun, mungkin ramai yang tidak tahu mengenai kebaikan vitamin D yang dapat menggalakkan penyerapan kalsium.

Vitamin D – yang turut dikenali sebagai sunshine vitamin dihasilkan selepas badan terdedah kepada pancaran matahari. Vitamin ini penting untuk pembinaan tulang yang kuat dan sihat serta meningkatkan penyerapan kalsium dan fosforus di dalam badan.

Tanpa vitamin D yang mencukupi, tulang boleh menjadi rapuh dan halus. Malah, pembentukan tulang baharu juga akan terhenti. Vitamin D juga dapat melindungi warga emas daripada penyakit osteoporosis atau tulang rapuh.

Selain minum susu, ada banyak lagi makanan yang kaya dengan kalsium.

Sebagai contoh, keju, yogurt, soya, brokoli, buah oren, sardin dan salmon. Semua makanan ini boleh menjadi pengganti susu jika anda risau mengenai pengambilan susu yang berlebihan.

Kesimpulan

Berdasarkan penjelasan di atas, tidak ada masalah jika anda ingin meneruskan pengambilan susu. Walau bagaimanapun, mungkin faedah minum susu tidaklah sebesar yang anda harapkan.

Selain susu, ada banyak lagi cara yang anda boleh lakukan untuk mengelakkan osteoporosis dan menguatkan tulang.

Sebagai contoh, bersenam, mengambil vitamin D yang mencukupi dan makan secara sihat dapat membantu pembentukan tulang yang kuat.

Ingin mengambil suplemen vitamin D? Tidak ada masalah. Walau bagaimanapun, pastikan anda melakukan konsultasi bersama doktor atau ahli farmasi yang bertugas jika anda ingin mencuba suplemen baharu.


hellodoktor

Monumen bersejarah di negara kita yang menjadi tarikan pelancongan.

Siri penjajahan di bumi Tanah Melayu selama lebih 500 tahun oleh Portugis, Belanda, British dan Jepun meninggalkan banyak monumen bersejarah yang akhirnya menjadi tarikan pelancongan.

Keunikan binaan bangunan asli Melayu dan berunsurkan kolonial ini bukan sahaja dikunjungi oleh masyarakat setempat malahan turut menggamit kunjungan pelancong luar ke kota-kota warisan berkenaan.

1. Kellie’s Castle, Perak

No Image Caption

Kellie’s Castle yang terletak di Batu Gajah ini adalah bangunan bersejarah yang dibina oleh peladang getah terkemuka dari Britain, William Kellie Smith pada 1910. Beliau telah membeli sebidang tanah seluas 960 ekar untuk dijadikan ladang getah dan tapak untuk membina rumah.

Namun, pembinaan istana ini terpaksa dihentikan serta-merta kerana Kellie meninggal dunia secara mengejut pada tahun 1926. Walaupun tidak siap 100%, istana ini dikatakan memiliki banyak ruang rahsia termasuklah terowong-terowong bawah tanah.

Bangunan tiga tingkat ini diilhamkan mengikut reka-bentuk istana Moghul di Agra, India dan jubin dindingnya diimport dari Itali. Batu-bata dilekat menggunakan bancuhan campuran putih telur itik, pasir, kapur, gula merah dan madu, tiada besi atau paku digunakan.

2. Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur

    No Image Caption

    Bangunan Sultan Abdul Samad yang tersergam indah di hadapan Dataran Merdeka ini dibina pada abad ke-19 iaitu pada tahun 1893. Bangunan ini memiliki reka bentuk Moghul dan Moorish dengan pengaruh Islam berdasarkan tiga buah kubahnya.

    Bangunan ini dikenali sebagai Pejabat Baru Kerajaan, namun setelah Persekutuan Tanah Melayu terbentuk pada 1948, Bangunan Sultan Abdul Samad dinamakan sebagai Sekretariat Persekutuan.

    Pada tahun 1974 pula, pejabat-pejabat Kerajaan Negeri Selangor telah dipindahkan ke Shah Alam, dan bangunan ini telah diberikan nama baru bersempena nama Sultan Selangor yang memerintah dari tahun 1857 ke 1898 iaitu Sultan Abdul Samad.

    Bangunan ini menjadi latar belakang Perarakan Kemerdekaan setiap 31 Ogos dan sambutan malam Tahun Baru setiap 1 Januari.



    3. The Stadthuys, Melaka

    No Image Caption

    Mercu tanda yang berada di Bandar Hilir ini amat sinonim dengan Melaka. Binaan bersejarah ini adalah bangunan kerajaan belanda yang tertua di Asia Tenggara. Bangunan ini dibina pada tahun 1650 sebagai penempatan rasmi Gabenor Belanda.

    The Stadthuys menjadi titik tumpuan beberapa kerajaan seperti Belanda, Portugis, Inggeris dan lain-lain selama lebih dari 300 tahun. Pada tahun 1982, Stadthuys diubah menjadi muzium.

    Bangunan berwarna merah yang menjadi lokasi tumpuan di Melaka ini turut dipenuhi barisan beca yang penuh warna-warni dan berbunga-bunga sekitar luar bangunan.

    4. Fort Cornwallis, Pulau Pinang

    No Image Caption

    Fort Cornwallis yang terletak bersebelahan Padang Kota Lama ini merupakan kubu bersejarah yang berusia lebih 200 tahun. Kubu ini telah dibina pada 1786 oleh Francis Light ketika menawan Pulau Pinang.

    Kubu asal dibina dengan menggunakan batang nibung namun pada 1793 ia dibina semua menggunakan batu bata sebagai kubu pertahanan. Walaupun berusia ratusan tahun, kota ini masih utuh dan merupakan kota lama di Malaysia yang masih dipelihara dengan baik.

    Di dalam kota ini terdapat binaan bangunan, meriam, stor simpanan bahan letupan dan sebuah gereja kecil. Terdapat juga tugu peringatan Francis Light yang menjadi ikon kubu ini.

    5. Istana Seri Menanti, Negeri Sembilan

    No Image Caption

    Istana Seri Menanti di Kuala Pilah ini dibina pada 1902 dan mempunyai ciri-ciri seni bina Minangkabau yang unik. Warna hitam bangunan ini menjadikan ia kelihatan tersergam indah dari jauh. Bangunan setinggi empat tingkat ini mempunyai 99 batang tiang termasuk empat batang tiang seri yang panjangnya 67 kaki.

    Yang menariknya, istana indah ini telah dibina tanpa menggunakan sebarang paku besi. Mereka hanya menggunakan sambungan kayu yang dinamakan pasak.

    Pada 14 Julai 1992, Istana Menanti telah diwartakan menjadi Muzium Diraja dan telah menjadi tumpuan pelancongan untuk menyaksikan pameran koleksi-koleksi keluarga Diraja Negeri Sembilan. Setiap ruang telah diisi tanpa mengubah bentuk asal istana bagi menerangkan fungsi ruang-ruang tersebut.

    6. Bangunan Sultan Ibrahim, Johor


    No Image Caption

    Bangunan Sultan Ibrahim yang terletak di atas Bukit Timbalan, Johor Bahru ini dibina pada tahun 1938 dan dijadikan sebagai pusat pentadbiran kerajaan negeri Johor. Pelan Bangunan Sultan Ibrahim telah direka oleh firma seni bina terkenal British iaitu Palmer dan Turner pada tahun 1937.

    Bangunan setinggi 11 tingkat itu siap sepenuhnya pada tahun 1942 dan dikatakan sebagai lambang keagungan Johor yang pada ketika itu sedang membangun dan makmur sejahtera.

    Seni bina bangunan ini menggabungkan reka bentuk kolonial dan Melayu manakala menara bangunan ini dijadikan mercu tanda di Johor Bahru.

    7. Kota A Famosa, Melaka


    No Image Caption

    Kota A Famosa dibina pada tahun 1511 dan mercu tanda paling popular di Melaka. Mengikut sejarah ia didirikan oleh penjajah Portugis sebagai kubu pertahanan mereka di Melaka.

    Bangunan yang berusia lebih 500 tahun ini mempunyai pintu gerbang yang turut dikenali sebagai pintu gerbang Santiago. Pintu gerbang ini merupakan struktur seni bina Eropah yang paling tua dan masih kekal di Asia.

    Kota A Famosa yang terletak di Bandar Hilir ini wajib dilawati jika anda bercuti ke Melaka kerana ia merupakan sebahagian daripada sejarah negara dan mercu tanda pelancongan negeri berkenaan.

    8. Rumah Api Bukit Malawati, Selangor

    No Image Caption



    Rumah api yang terletak di atas Bukit Malawati, Kuala Selangor ini juga dikenali sebagai Rumah Api Altingsburg bersempena dengan nama Gabenor Jeneral Belanda yang memerintah semasa penawanan Kota Malawati.

    Rumah Api ini dibina pada tahun 1907 dan mula beroperasi pada tahun 1910. Menariknya, rumah api itu masih berfungsi sehingga hari ini sebagai panduan perjalanan kapal laut di Selat Melaka dan diuruskan Jabatan Laut Malaysia (JLM) Selangor.

    Selain daripada lokasi dan monumen bersejarah Bukit Malawati juga menjanjikan pemandangan yang menarik untuk bergambar.

    9. Istana Balai Besar, Kelantan

    No Image Caption

    Istana Balai Besar yang terletak di Kota Bharu ini adalah sebuah bangunan lama yang telah dibina pada tahun 1840 oleh Sultan Muhammad II bagi menggantikan pusat pentadbiran dari Kota Saba ke Kota Bharu.

    Istana yang telah terbina ini telah dijadikan tempat bersemayam beberapa Sultan lain dan sehingga kini, bangunan ini masih kekal digunakan untuk menjalankan sebarang majlis rasmi kerajaan.

    Istana dua tingkat ini menjadi tempat berlangsungnya segala upacara seperti pertabalan, kemahkotaan dan lain-lain. Ia juga merupakan salah satu ikon pelancongan bagi negeri Kelantan.

    10. Kubu Margherita, Sarawak

    No Image Caption

    Kubu berwarna putih yang terletak di Kuching, Sarawak ini telah siap dibina dengan reka bentuk istana lama Inggeris pada tahun 1879 oleh Sir Charles Brooke dan diberikan nama sempena nama isterinya, Margaret Brooke.

    Kubu ini dibina untuk menjadi lambang kestabilan kerajaan dan kekuatannya. Terletak di atas bukit, kubu ini menyajikan pemandangan yang luas ke semua arah di kawasan sekitarnya.

    Kubu ini merupakan monumen paling signifikan kepada bandaraya Kuching dari sudut sejarah, reka bentuk dan pelancongan.

    sh

    Maksud warna tag roti Gardenia:


    Maksud warna tag roti gardenia: Warna tag roti gardenia berbeza-beza sebenarnya menunjukkan bila hari roti tersebut dihasilkan. Sebagai contoh, jika tag warna kuning bermakna roti tersebut dihasilkan pada hari Rabu

    Warna tag roti Gardenia:

    • Isnin – warna tan
    • Selasa – warna oren
    • Rabu – warna kuning
    • Khamis – warna biru
    • Jumaat – warna hijau
    • Sabtu – warna merah
    • Ahad – warna putih



    HALIA MUDA @ HALIA TUA: PERBEZAANNYA DALAM MASAKAN

    HALIA MUDA @ HALIA TUA:  PERBEZAANNYA DALAM MASAKAN





    Halia Muda

    Halia muda mempunyai kulit yang lebih licin dan berwarna kuning coklat.

    Dari segi lain pula, halia muda memiliki bau dan rasa yang lebih lembut berbanding halia tua.

    Halia muda biasanya digunakan dalam masakan stim atau kukus kerana aromanya yang lembut dan kurang pedas.


    Halia Tua

    Halia tua pula mempunyai warna kulit yang sedikit gelap dan kulitnya sedikit kasar. Bau dan rasanya juga lebih kuat dan tajam berbanding balia muda.

    Halia tua ini sesuai digunakan dalam masakan tradisional seperti rendang, gulai, kari, masakan berkuah kerana kerana ia mempunyai aroma yang kuat dan sedikit pedas.

    @NurulShima_3 | MyResepi

    Wadah Terkini