Baru-baru ini saya dan isteri ke rumah kawan kami.
Sampai di rumahnya, kami berborak macam-macam cerita. Maklumlah lama tak berjumpa.
Dah lama lepas itu, isteri kawan saya cakap pada suaminya “Ha bang, bolehlah ambil makanan di dapur tu. Karang berborak sampai lupa pula nak ajak makan”,
Dia orang berdua pergilah ke dapur.
Bila dia pergi, baru saya perasan anak-anak dia ada 5 orang dan kecil belaka since anak dia jarak umur setahun dan dua tahun sahaja.
Anak dia elok je duduk mendengar kami berborak. Adalah yang main, tapi tidaklah terlalu bising dan tak mengganggu kami langsung.
Masa nak makan, kawan saya ajak semua anak-anak dia makan sekali dengan kami. Elok je anak-anak dia datang, cukup beradab.
Anak-anak dia bagi laluan pada kami tetamu dahulu untuk ambil makanan. Saya ada suruh anak dia ambil dulu, si abang dan kakak tersenyum, kemudian si abang berkata “Tak apa, pakcik ambil dulu”.
Mak dan ayah dia tersenyum.
Selepas itu kami pun makanlah bersama. Cukup meriah, suasana ceria dan sudah pasti kami ralit memandang kepada anak-anaknya yang sedang makan. Beradab sungguh.
Habis makan, saya cakap kepada kawan saya “Bagus betul anak-anak kau ni. Baik belaka”.
Dia senyum, kemudian berkata “Itulah Wan. Aku dan isteri didik dari kecil, ramai-ramai ni. Tetapi semua tu bermula dari kita jugak”.
Kemudian dia menyambung cerita bagaimana dia mendidik anak-anaknya. Antara yang dikongsikannya:
1. Katanya, anak dia dulu suka cakap kuat-kuat. Puas dia nasihat kepada anak dia, bila bercakap jangan bersuara kuat.
Anak dia membalas, katanya abah dan mama pun cakap kuat-kuat. Lepas pada itu, dia orang cakap tak kuat dah. Kalau anak cakap kuat lepas tu, kenalah tegurlah.
2. Anak dia bergaduh depan dia. Bila dileraikan dan minta mereka diam, pernahlah si abang membalas “Abah tu bergaduh dengan mama boleh pula? Siap jawab-jawab lagi”.
Terkedu juga dia kata bila kena begitu. Selepas itu bila ada perselisihan antara dia dan isteri, mereka selesaikan di tempat tertutup tanpa pengetahuan anak-anak dan tak tunjuk dah depan anak-anak.
Anak-anak yang bergaduh pula selepas tu, siaplah dendanya. Tetapi tidak menyakitkan badan mereka. Kena hafaz surah yang banyaknya.
3. Semasa makan, memang dulu huru hara dia kata. Ya lah, umur pun tak jauh jarak bezanya. Macam-macam ragam.
Jadi dia buat peraturan, selagi tak duduk sama-sama, selagi itulah semua tak dapat makan. Alhamdulillah katanya, anak-anak dia cukup berdisiplin semasa makan.
Bawa pergi tempat kenduri pun terikut-ikut cara di rumah.
4. Dia kata, cara dia dan isteri muhasabah diri dalam mendidik anak-anak adalah dengan cara melihat wajah anak-anak mereka ketika anak-anak sedang tidur.
Semasa mereka tidur katanya, wajah anak-anak kita comel sungguh dan menyentuh perasaan kita. Semasa itulah, dia dan isteri kenangkan kembali apa yang telah berlaku seharian.
Jika ada yang kena marah, kena tegur, dia orang semak kembali betul ke tak betul caranya.
Jika ada yang jarang berborak hari itu, esoknya akan mereka akan ajak berborak dengan anak-anak lebih dari hari semalam. Begitulah cara kawan saya dalam mendidik anak-anak mereka.
Waktu kami nak balik, anak-anaknya hantar kami sampai ke luar. Berdiri elok sama-sama dengan mak dan ayah dia orang. Siap lambai semua, sejuk hati saya tengok.
Kredit : WS Adli W Muhammad
0 comments:
Catat Ulasan
Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!