Pages

Ogos 15, 2024

Qalam: Sifatnya, dan Adakah Ia Merupakan Ciptaan Allah SWT yang Pertama

Sesungguhnya pertama kali yang diciptakan Allah adalah al-Qalam (pena). Kemudian Allah berfirman: “Tulislah!” Pena tersebut bertanya, “Apa yang perlu saya tulis?” Allah menjawab: “Tulislah takdir (semua makhluk); Apa yang telah terjadi dan akan terjadi sehingga akhir zaman (hari Kiamat).

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana sifat Qalam dan adakah ia yang pertama dicipta oleh Allah SWT?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Hadith daripada ‘Ubadah bin al-Samit R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ أَوَّلَ مَا خَلَقَ اللَّهُ الْقَلَمُ، فَقَالَ: اكْتُبْ. فَقَالَ: مَا أَكْتُبُ؟ قَالَ: اكْتُبِ الْقَدَرَ مَا كَانَ وَمَا هُوَ كَائِنٌ إِلَى الْأَبَدِ

Maksudnya: “Sesungguhnya pertama kali yang diciptakan Allah adalah al-Qalam (pena). Kemudian Allah berfirman: “Tulislah!” Pena tersebut bertanya, “Apa yang perlu saya tulis?” Allah menjawab: “Tulislah takdir (semua makhluk); Apa yang telah terjadi dan akan terjadi sehingga akhir zaman (hari Kiamat).”

Riwayat Abu Daud (4700) al-Tirmizi (2144, 3319) dan Ahmad (5/317).

Al-Qalam adalah daripada nur (cahaya), seperti dalam riwayat daripada Ibn Abbas R.A, katanya:

لَوَدِدْتُ أَنَّ عِنْدِي رَجُلًا مِنْ أَهْلِ الْقَدَرِ فَوَجَأْتُ رَأْسَهُ، قَالُوا: وَلِمَ ذَاكَ؟ قَالَ: لِأَنَّ اللهَ خَلَقَ لَوْحًا مَحْفُوظًا مِنْ دُرَّةٍ بَيْضَاءَ، دَفَّتَاهُ يَاقُوتَةٌ حَمْرَاءُ، قَلَمُهُ نُورٌ، وَكِتَابُهُ نُورٌ.

Maksudnya: “Aku berkehendak dan bercita-cita bahawa di sisiku terdapat seorang lelaki dari puak ahli qadar[1] lantas aku pukul kepalanya. Mereka bertanya: “Kenapa berbuat demikian?” Jawabnya: “Kerana Allah telah menciptakan Lauh Mahfuz dari permata putih, kedua-dua tepinya daripada yaqut merah, sedangkan qalam-Nya adalah cahaya, dan kitab-Nya adalah cahaya…”

Riwayat al-Tabarani (10605). Al-Haithami menyebut dalam Majma‘ al-Zawa’id (7/393): Al-Tabarani meriwayatkannya daripada dua jalur, dan para perawi ini adalah thiqah.

Allah SWT telah menciptakan al-Qalam dengan tangan-Nya, seperti yang riwayat Ibn Umar R.Anhuma, katanya:

خَلَقَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ أَرْبَعَةَ أَشْيَاءَ بِيَدِهِ: آدَمَ عَلَيْهِ السَّلَامُ , وَالْعَرْشَ , وَالْقَلَمَ , وَجَنَّاتِ عَدْنٍ , ثُمَّ قَالَ لِسَائِرِ الْخَلْقِ: كُنْ فَكَانَ

Maksudnya: “Allah Azza wa Jalla telah ciptakan empat perkara dengan tangan-Nya; Adam AS, Arasy, Qalam dan Syurga ‘Adn. Kemudian Firman Allah kepada sekalian makhluk: “Jadilah.” Maka, terjadilah semua makhluk mengikut kehendak dan ilmu-Nya.”

Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (3244) dan al-Ajuri dalam al-Syari’ah (750). Dan telah disahihkan oleh al-Albani dalam Mukhtasar al-‘Uluw (75)

Syeikh Yusuf al-Ghafis berkata: Adapun secara tafsir dan perinci berkenaan zat Lauh dan Qalam, maka ini tidak diterangkan oleh mana-mana nas. (Lihat Syarh al-‘Aqidah al-Tahawiyyah, hlm. 136)

Berkenaan dengan apakah ia adalah makhluk pertama ciptaan Allah, maka persoalan ini telah menjadi khilaf dalam kalangan ulama seperti berikut:

Pendapat Pertama: Ciptaan pertama adalah air. Ini kerana, dikatakan Arasy berada di atas air.  Pendapat ini diriwayatkan daripada Ibn Mas’ud dan sebahagian salaf, serta ditarjihkan oleh Badr al-Din al-‘Aini.

Pendapat Kedua. Ciptaan pertama adalah Arasy. Inilah pendapat jumhur. Pendapat ini juga telah ditarjihkan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim. Adapun hujah bahawa Arasy makhluk yang pertama berdasarkan hadith Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As R.Anhuma, katanya: Aku dengar Rasulullah SAW bersabda:

كَتَبَ اللَّهُ مَقَادِيرَ الْخَلَائِقِ قَبْلَ أَنْ يَخْلُقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ بِخَمْسِينَ أَلْفَ سَنَةٍ ، قَالَ: وَعَرْشُهُ عَلَى الْمَاءِ

Maksudnya: “Allah telah menulis segala takdir makhluk-Nya sebelum penciptaan langit dan bumi sejak lima puluh ribu tahun. Baginda bersabda: ‘Sedangkan Arasy-Nya di atas air.’”

Riwayat Muslim (2653)

Pendapat Ketiga: Sebahagian ulama berpendapat Qalam. Pendapat yang menyatakan Qalam telah ditarjihkan oleh Ibn Jarir al-Tabari dan Ibn al-Jauzi. Pendapat Qalam ini didalilkan oleh hadith riwayat ‘Ubadah bin al-Samit katanya: Aku dengar Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ أَوَّلَ مَا خَلَقَ اللَّهُ الْقَلَمَ فَقَالَ لَهُ : اكْتُبْ ، قَالَ : رَبِّ وَمَاذَا أَكْتُبُ ؟ قَالَ : اكْتُبْ مَقَادِيرَ كُلِّ شَيْءٍ حَتَّى تَقُومَ السَّاعَةُ

Maksudnya: “Sesungguhnya awal ciptaan Allah adalah Qalam. Lantas firman Allah kepadanya: ‘Tulislah.’ Qalam menjawab: ‘Wahai Tuhanku, apa yang perlu aku tulis.’ Allah berfirman: ‘Tulislah segala taqdir setiap sesuatu sehingga berlaku kiamat.’”

Riwayat al-Tirmizi (255) Abu Dawud (4700) dan ia disahihkan oleh al-Albani dalam Sahih al-Tirmizi.

Walaubagaimanapun, banyak hadith yang menunjukkan bahawa disebut tentang Arasy (sebagai ciptaan pertama) seperti pendapat jumhur ulama.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”

Buku Dr Zulkifli


0 comments:

Catat Ulasan

Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!