PYANHABIB -- KISAH SEPOTONG TELUR DADAR DAN GULAI NANGKA BULAN RAMADAN
Saya cuba mengingati sebanyak mungkin momen mengenai lelaki hebat ini; Pyanhabib Rahman.
Pertama kali saya jumpa dan bertegur-sapa dengan Pyanhabib -- di rumah Anak Alam, Padang Merbok, KL sekitar 1987.
Saya tahu lokasi ini kerana dibawa Ladin Nuawi menyertai Perhimpunan Penyair Muda (PPM) 1987.
Ladin Nuawi jumpa saya merayau belakang Bangunan Sultan Abdul Samad. Saya baru bangun tidur di celah bangunan Dayabumi.
Ladin Nuawi selalu nampak saya duduk melengung melihat Baca Puisi Tiang Lampu di tepi Pasar Budaya.
"Kau nak ke mana?" Tanya Ladin Nuawi.
Mata saya masih bakup dan fikiran masih mayau kerana tidur tak nyenyak di tepi bangunan serta keletihan kerana beban cuaca malam yang sejuk.
"Jom.. ikut aku ke PPM," kata Ladin Nuawi.
"Saya tak ada duit, bang?"
Peserta PPM dikenakan yuran RM20. Bagi kutu-rayau tahun 1987 -- jumlah ini setara macam RM500 sekarang.
PERTAMA KALI JUMPA PYANHABIB
Saya sertai PPM sebagai kru; kemaskan tempat tidur peserta dan bantu apa saja yang boleh. Program diadakan di KBN lama. (Sekarang Aswara).
Jadi, malam hari -- saya merayau sampai Rumah Anak Alam yang bersebelahan dengan KBN.
Di situ saya nampak kelibat Pyanhabib; rambut panjang dan berdenim lusuh serta kemeja flannel saiz besar.
Ada lebih 300 peserta dengan majoriti anak muda turun berkampung di PPM. Mood memang 'ala woodstock'. Cuma, sebab tak kenal orang -- saya jadi kera sumbang.
Tetapi, peluang ini penting kerana minat saya pada sastera.
1994
Puas jadi kutu hippie -- tahun 1992 saya masuk USM.
1994 saya sertai Kumpulan Utusan sebagai wartawan kadetsyip. Pyanhabib sudah lama di situ -- jadi bermulalah hubungan kami yang lebih akrab.
Ketika era Puisi Jalanan Bawah Tiang Lampu sekitar 1986 sampai 1991 -- saya kerap melepak berkumpulan dengan penyair senior/rebel.
Satu hari -- pada bulan Ramadan 1988 -- saya kelaparan dan tak punya wang untuk berbuka.
Pyanhabib ajak saya ke Benteng Lama, Jalan Masjid India.
Dia belanja berbuka -- makan nasi campur murah; berlauk sepotong telur dadar dan kuah lemak gulai nangka.
Itu kali pertama, saya berbual panjang dengan Pyanhabib.
BERPISAH DI UTUSAN MELAYU
Saya keluar Utusan Melayu pada 1996 menyertai 'batch' pertama Astro.
Sejak itu -- jarang jumpa Pyanhabib.
Kami akrab semula tahun 2020. Saya mula strim dan teringat nak menjual buku puisi Pyanhabib. Sekaligus, menjemputnya baca sajak dalam strim.
Saya yakin; pesona baca sajak Pyanhabib dari era jalanan ke media sosial -- satu potensi unik.
Sejak itu kami kembali akrab; saya kekal memanggilnya 'abang'. Jarak usia kami pun -- saya 9 tahun lebih muda.
Keraplah Pyanhabib datang ke studio; kerana seperti saya -- dia juga sudah mengecilkan lingkaran berkawan. Usia tua jadikan kita lebih selektif.
GUA MAHU KE MEKAH
Satu kali -- di studio saya sekitar 2023 -- Pyanhabib bercerita mengenai impiannya.
"Sudah tua," katanya: "Sudah tidak mahu apa-apa. Gua mau pergi Mekah saja."
Itu ucapan yang melekat di hati saya; terasa sangat tersentuh.
Dia macam 'abang' dan kawan baik. Saya selalu teringat -- masa susah, Pyanhabib belanja buka puasa makan telur dadar -- berkuah gulai lemak nangka.
Saya tawarkan pakej ke Mekah. Pyanhabib tak mahu. Saya pujuk melalui isterinya. Dua minggu kemudian, selepas banyak kali pujuk -- baru Pyanhabib setuju.
SAYA TAK PERNAH BANTAH CAKAP PYANHABIB
Dari zaman kutu-rayau, ada 5 orang yang saya takkan bantah cakap mereka.
Nasir Jani, Sani Sudin, Khalid Salleh, Ladin Nuawi dan Pyanhabib.
Kalau mereka bual guna "lu gua", saya tetap berbahasa memanggil mereka abang.
Atas apa pun isu -- saya memilih sikap hormat dan mendengar. Kalau berbeza pandangan; saya pilih mendiamkan diri. Sebab proses intelek takkan mengatasi sikap hormat.
Saya pilih diam dan mendengar; sebab ini senarai orang yang mendidik saya waktu remaja -- ketika usia masih bengap.
Maka, saya kekal bengap; sebab bersikap bengap itulah -- memori terindah selama mengenali mereka akan terus hidup.
Masa jadi kutu -- sikap bengap jadikan saya banyak belajar dari mereka. Soal sastera, filem dan teater. Sekolahnya hanya di jalanan KL.
RINDU JALAN TAR & COLISEUM
Pagi ini -- saya jadi rindu pada Pyanhabib. Puncanya kerana saya teringat nak bersarapan di Jalan TAR.
Jalan TAR dan tapak bekas Pawagam Coliseum -- kalau muncul dalam ingatan; pasti menyeret wajah kenangan Pyanhabib.
Sebabnya -- tiap kali Pasar Malam Jalan TAR (lewat tahun 80an -- lokasinya di jalan utama) -- Pyanhabib akan baca sajak dan jual buku di seberang Pawagam Colesium.
Itu menjadikan saya selalu rindukan suasana Jalan TAR pada malam hari. Laluannya memutarkan memori.
PADA USIA TUA
Masa tua dan sebelum Pyanhabib pergi (4 Jun 2024), kalau berjumpa -- kami hanya berbual soal keluarga. Pyanhabib akan bercerita kisah cucunya.
"Sabarlah...," katanya: "Nanti lu akan dapat cucu juga."
Saya tersengih: "Abang rehatlah cukup-cukup... kalau sunyi datang sini."
Saya selalu pelawa Pyanhabib datang ngeteh di studio. Dia antara 'circle' akhir kawan-kawan lama yang masih kekal akrab.
KASUT FUNG KEONG
Tiap kali kalau hujan turun dan kebetulan saya mengelamun di jendela -- atau kalau nampak sepatu FK ZRA Strim... saya pasti teringatkan Pyanhabib.
Suasana hujan turun terasa paling romansa -- sebab sajaknya yang paling saya suka ialah 'Hujan'.
Sepatu pula -- kerana dia yang pertama gayakan; setelah Izzat Amir Rabak-Lit tunjukkan edisi ZRA Strim di rumahnya.
Berehatlah sahabatku. Sudah kau lalui hidupmu yang marhaen; indah dan berliku. Moga Allah merahmatiMu dengan segala kebaikan.
Al Fatihah....
0 comments:
Catat Ulasan
Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.