Monolog Jiwa – Tentang Aku Yang Suka Menyendiri
Seseorang pernah bertanya kepadaku, “Kenapa kau suka duduk sorang-sorang?” Aku tersenyum kecil, lalu menjawab perlahan, “Just suka.”
Dari kecil, aku memang begini —
lebih senang diam, memerhati, dan menyimpan cerita dalam hati. Bukan tak suka berkawan, cuma aku tak pandai berpura-pura untuk kekal dalam bising dunia yang tak semua faham rasa.
Kawan pun tak ramai. Yang ada pun cuma seorang dua, tapi mereka itulah tempat aku menumpang tenang, berbagi kisah dan tawa.
Namun satu demi satu, mereka pergi — meninggalkan dunia ini dengan Al‑Fatihah sebagai salam terakhir. Dan sejak itu, sepi tak lagi terasa asing.
Yang masih mengenali aku tahu, bila aku diam dan menjauh, itu tandanya aku sedang berperang dengan sesuatu yang tak mampu aku ceritakan. Aku bukan tak mahu berkongsi, cuma tak tahu bagaimana mahu mula.
Jadi, kalau kau lihat aku duduk sendirian, jangan cepat simpati. Kadang, tenangku itu bukan tanda bahagia, tapi cara aku menjaga waras — agar hati yang pernah kehilangan, masih mampu terus hidup dengan damai.
Untuk yang suka menyendiri, bukan kerana benci dunia — tapi kerana sedang belajar berdamai dengan diri.
0 Comments:
Catat Ulasan
“Untuk anda yang singgah… tinggalkanlah jejak, tinggalkanlah yang baik-baik, walau sekecil rasa, walau sependek kata.
Kerana setiap kehadiran itu, ada makna yang tak selalu terlihat oleh mata. Dan setiap kata yang kita tinggalkan, akan kembali kepada kita dalam bentuk yang sama.”