Aku Mudah Memberi, Tapi Sukar Menerima...
Orang yang benar-benar kenal tahu aku macam mana.
Aku mudah memberi, walau kadang-kadang aku sendiri tak punya banyak.
Aku sanggup mendengar, walau hati aku sendiri sedang bising.
Aku pandai menyembunyikan penat, sebab aku tak mahu jadi beban pada sesiapa.
Tapi dalam banyak-banyak perkara tentang diri aku, ada satu yang orang jarang faham.
Aku sukar menerima.
Bukan sebab aku sombong. Bukan sebab aku rasa diri terlalu kuat. Aku cuma terlalu biasa menguatkan diri sendiri. Terlalu biasa memendam. Terlalu biasa berkata “aku okay” walaupun hakikatnya, tidak.
Aku juga tak suka meminta.
Sebab aku takut menyusahkan. Takut mengganggu. Takut nampak terlalu berharap pada orang lain.
Sampai benda sekecil makanan pun, aku jadi serba salah.
Bila orang pelawa makan, aku akan senyum dan cakap, “Tak apa…” walaupun sebenarnya aku mahu. Bukan sebab aku tak lapar. Bukan sebab aku tak suka. Tapi sebab hati aku terlalu biasa menahan diri.
Aku akan tunggu.
Tunggu kalau-kalau orang itu betul-betul maksudkan pelawaan itu. Tunggu sampai makanan itu diletakkan depan mata aku. Baru aku berani ambil.
Pelik kan?
Tapi itulah aku.
Hati aku terlalu lama diajar supaya jangan meminta, jangan mengambil lebih daripada yang patut, jangan menyusahkan sesiapa.
Jadi bila ada orang yang hulur sesuatu dengan ikhlas, aku masih juga bertanya dalam diam:
“Betul ke ini untuk aku?”
Dan mungkin sebab itu, orang yang benar-benar kenal aku akan tahu — aku bukan tak mahu menerima.
Aku cuma perlukan sedikit keyakinan bahawa aku juga layak.
Layang menerima tanpa rasa bersalah.
Layak dipelawa tanpa perlu meminta.
Layak disayangi walaupun aku tidak pandai meluahkannya.
Kerana kadang-kadang, orang yang paling banyak memberi itulah sebenarnya orang yang paling lama menahan diri daripada menerima.
“Aku tidak meminta banyak. Cukuplah ada seseorang yang memahami bahawa diam aku bukan bermakna aku tidak mahu, cuma aku terlalu takut untuk menyusahkan.”
0 Comments:
Catat Ulasan