Isteri Yang Membawa Kayu Api
1. Di dalam Surah al-Masad, Allah menyifatkan isteri Abu Lahab sebagai “pembawa kayu api.” Timbul persoalan di sini, mengapa Allah membayangkan isteri Abu Lahab, atau nama sebenarnya Ummu Jamil sebagai pembawa kayu api?
2. Menurut al-Imam al-Tabari dan al-Bayhaqi, sifat demikian diberikan kepada Ummu Jamil kerana dia sering mengutip duri-duri kayu lalu diletakkan di laluan Nabi untuk menyakiti Baginda.
Sifat membawa duri kayu ini disifatkan sebagai orang yang membawa kayu api kerana menimbulkan api kebencian dan menyemarakkan kesusahan bagi orang lain. (al-Tabari, Jami al-Bayan, 24/679)
3. al-Imam Mujahid pula mentafsirkan sifat “pembawa kayu api” ini sebagai sikap Ummu Jamil yang suka mengadu domba dan menimbulkan api pergaduhan. (Wahbah al-Zuhaili, Tafsir al-Wasit, Dar al-Fikr, 1422, 3/2955)
4. Manakala Ibn Atiyyah pula menjelaskan bahawa, kayu api tersebut adalah kiasan bagi dosa yang dipikul oleh Ummu Jamil sendiri. Ini membawa maksud bahawa, Ummu Jamil sedang memikul kayu api dosa iaitu dosa-dosanya sendiri yang akan menjadi bahan bakar buat dirinya sendiri di dalam neraka nanti! (Ibn Atiyya, al-Muharar al-Wajiz, 5/535).
5. Apa yang lebih menarik adalah huraian oleh al-Imam Ibn Kathir. Menurut beliau, perkataan “pembawa kayu api” ini bukan bermaksud apa yang telah berlaku, tetapi apa yang akan berlaku. Di neraka kelak, Ummu Jamil akan membawa kayu api, bukan sahaja untuk membakar dirinya, malah memberikan azab buat membakar suaminya sendiri nanti. (Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah)
6. Lihatlah betapa halusnya bahasa al-Quran. Sikap suami yang tidak berdaya menjaga isterinya mampu untuk memberikan azab ke atas dirinya sendiri kelak.
Sama-sama kita bermuhasabah. Moga Allah mengampunkan diri kita.
0 comments:
Catat Ulasan
Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!