Terima Kasih



Assalamualaikum dan salam sejahtera sahabat2 semua.

Hari ini saya nak menceritakan satu pengalaman yang pernah saya lalui dahulu.

Dulu saya adalah pekerja kilang. Tetapi disebabkan minat berniaga dan mempunyai semangat yang kuat untuk "berjaya" alias ada duit yang banyak alias kayalah katakan, jadi berbagai jenis perniagaan saya buat. Tapi semuanya terlingkup.

Bila masuk umur 40-an, waktu tu, rumah sendiri tak ada, kereta pun tak ada. Sebelum tu ada la kereta, tapi last2 kena tarik pasal tak mampu nak bayar. Yang ada hanyalah hutang yang bertambun.

Hidup memang menderita waktu tu, apa taknya, asyik kena kejar dengan bank, surat mahkamah dan sewaktu dengannya.

Waktu tu, saya tak tahu kenapa saya sering gagal, sedangkan saya ni boleh dikatakan bijak jugak, kerana saya pelajar terbaik sains mathematik di universiti, dan ilmu pengurusan agak banyak kerana berjawatan tinggi di kilang, tetapi gagal dalam bisnes.

Dengan ilmu dan kepandaian yang ada, sepatutnya kalau buat bisnes tu, logik akalnya tentulah berjayakan. Ini tidak, tujuannya nak dapat duit yg banyak, tapi last2 hutang yang bertimbun. Umur pulak dah makin tua ni.

Akhirnya saya berhenti kerja. Dan keadaan semakin teruk. Kalau dulu sewaktu kerja, masih ada jugaklah gaji nak bayar hutang, nak makan, nak bayar duit sewa, tapi bila berhenti, rakan2 pun boleh bayangkan apa akan berlaku.

Waktu itulah saya terlalu kuat berfikir, manaaaa salahnya saya ni.

Saya teringat dalam Quran ada beritahu, yang saya faham, kalau kita bersyukur, Allah akan tambahkan nikmat. Saya rasa saya dah bersyukur dah. Saya dah solat dah, doa, doa dah, tapi kenapa nikmat tak tambah2 pun, lagi menderita ada.

Itulah kali pertama, saya tanya diri saya, eh aku ni dah bersyukur ke belum? atau aku ni sebenarnya termasuk orang2 yang tak pernah bersyukur pun? kalau tak, tak kan jadi macam ni.

Jadi macamana nak tahu saya ni beryukur atau tidak, kalau orang demam boleh jugak guna jangka suhu, untuk sukat suhu, kalau bersyukur nak guna apa untuk sukat syukur ni.

Jumpa pulak hadis nabi, yg lebih kurang saya faham, saya tidak dikira bersyukur kepada Allah kalau saya tak berterima kasih kepada sesama manusia.

oooo ini cara nak sukat bersyukur rupanya. Maknanya kalau saya 100% cakap terima kasih kepada orang lain, maknanya saya 100% bersyukur pada Allah la, itu yg saya faham.

Jadi saya pun buat pengiraan untuk satu hari.

1. Kawan bagi rokok sebatang pada saya, saya ucapkan terima kasih.
2. Kawan tumpangkan kereta kepada saya, saya ucapkan terima kasih.
3. Isteri masakkan nasi kepada saya, eh baru perasan, saya tak pernah ucapkan terima kasih kerana masakkan utk saya.
3. Isteri basuhkan baju saya, eh tak perasan lagi, saya tak ucapkan terima kasih pun.
5. Isteri cuci pingan kita selepas makan, oh ya, saya tak ucap pun terima kasih.
6. Isteri temankan kita tidur bersama, tak pernah saya ucapkan terima kasih.
7. Isteri strekakan baju saya hari tu, eeee rasanya saya tak ucapkan terima kasih pun.
8. Isteri kemaskan tempat tidur saya, eeee rasanya saya tak ucapkan terima kasih pun.
9. Isteri pergi pasar belikan lauk, eeee rasanya saya tak ucapkan terima kasih pun.
10. Isteri jaga anak2 saya seharian dirumah, eeee rasanya saya tak ucapkan terima kasih pun.
11. Isteri lipatkan baju saya, eeee rasanya saya tak ucapkan terima kasih pun.
12. Isteri seharian duduk rumah, elakkan pencuri masuk dan curi barang2 kita, eeee rasanya saya tak ucapkan terima kasih pun.
13. Kadang2 isteri semata-mata temankan kita makan kat rumah, dia pulak tak makan kerana kurang sihat, rasanya saya tak ucapkan terima kasih pun.
14. Isteri ambilkan ubat waktu kita demam....., eeee, rasanya saya tak ucapkan terima kasih pun.
.
.
70. Anak kecil kita buat lawak, buat saya tersenyum dan gembira, eeee rasanya saya tak ucapkan terima kasih jugak.

71. Anak temankan saya bersembang, entah apa2 cerita dia buat, eeee rasanya saya tak ucapkan terima kasih pun.

72. Anak telefon kita waktu kerja kerana nak ceriakan kita, saya tak ucap terima kasih pun, kena marah lagi ada, kerana ganggu waktu kerja.

73. Anak selalu buat perkara untuk tunjukkan dia dah makin pandai, tapi banyak yg tak kena dimata kita, semata2 utk mengembirakan bapak dia, saya tak ucap pun terima kasih, kena marah lagi ada.
.
.
.
98. Waktu bawa kereta, orang bagi laluan kita untuk keluar simpang atau nak bertukar lane, tak pernah pun kita ucapkan terima kasih. Kita kata, kalau aku ucapkan pun, bukan dia nak dengar. Tapi Nabi tak beritahu pulak salah satu syaratnya, mesti orang tu dengar. Apatah lagi nak turunkan cermin nak keluarkan tangan nak ucapkan terima kasih. Tapi kalau orang tu tak bagi peluang kita nak tukar lane, berkoyan2 kita maki dia, sama jugak, bukan dia nak dengar pun, tapi maki tetap maki.

99. Bangla ambil sampah depan rumah saya, saya tak cakap pun terima kasih pada dia. Dalam hati kata, dah memang kerja dia.

100. Grab hantar saya balik rumah. Dia ada cakap terima kasih, dah saya ada cakap sama2, tapi saya tidak pula cakap terima kasih pada dia.

101. Saya pergi kedai beli rokok, pekedai tu bagi duit baki dan ucapkan terima kasih pada saya. Saya cakap sama2, tapi saya tak ucapkan terima kasih kembali kepada dia kerana berikan saya rokok.

102. Saya makan di kedai makan, dan makanannya sangat sedap, tapi saya tak pernah pun ucapkan terima kasih kepada mereka kerana masak yg sedap utk saya.

103. Saya naik kapal terbang, pilot tu bawa dengan cermat sehingga saya sampai destinasi, saya tak pernah pun cakap terima kasih atau minta pramugari sampaikan terima kasih saya pada pilot tersebut.
.
.
299. Emak telefon kerana dia memang sayang saya, saya tak ucap pun terima kasih kerana dia sentiasa sayang, tapi saya kata, "Emak kejap lagi saya call balik mak ya, tengah ada mesyuarat sekarang ni, maaf mak ya".

300. Belum cerita berapa juta kali yang kita terlupa untuk ucapkan terima kasih pada mak dan ayah atas segala perbuatan baiknya pada kita.

oooop... 2/300 < 1%, oh, itulah tahap saya bersyukur kepada Allah. <1% sahaja, lebih baik saya letakkan kosong terus.

Sah lah sudah, saya adalah hamba yang tidak tahu berterima kasih kepada Allah. Saya adalah orang yang tidak tahu bersyukur.

Ia ada dua saje, syurga neraka, panas sejuk, tinggi rendah, besar kecil, syukur sombong.

Aaaaa ini yang berat ni untuk menerima hakikat bahawa "aku ini seorang yang sombong". Aku ni tiada beza ngan iblis rupanya. Sombong.

Barulah saya sedar, patutlah hidup saya susah selama ini. Patutlah bisnes saya semuanya tak menjadi. Patutlah semua usaha saya tidak berhasil. Patutlah gaji yang saya dapat tak berkat. Patutla hutang saya tak pernah nak habis2.

Hari itu saya seperti dihantuk dengan batu yang besar.

Itulah hari bermula mulut saya tidak lekang dari ucapan terima kasih, terutama kepada ibubapa (walau pun mereka dah tiada lagi), saya sering luangkan masa cakap2 sorang, macam orang tak berapa sihat la... Terima kasih, emak ayah, kerana ....

Saya sering ucapkan terima kasih pada arwah bapa mertua saya...

Setiap hari saya ucapkan berpuluh2 kali terima kasih pada emak mertua saya, isteri saya, pada anak2 saya, pada keluarga saya, pada rakan2, pada siapa saja yang berbuat baik kepada saya.

Hasilnya.........

Mana boleh terfikir, hutang saya yang hampir RM400,000, yang saya cipta berpuluh tahun, boleh saya clearkan dalam masa beberapa bulan sahaja.

Mana boleh terfikir, saya ada rumah, saya ada kereta, saya ada tanah, semuanya saya beli cash.

Mana boleh terfikir, yang saya hidup sekarang ini dengan bebas hutang, tiada hutang.

Mana boleh terfikir, sebahagian besar daripada komisyen saya, saya berikan kepada orang lain.

Mana boleh terfikir, saya boleh dapat untung yang banyak hanya dengan bisnes menjual simkad yang hanya bermodalkan seratus dua ratus ringgit sahaja.

Mana boleh terfikir, yang dulu kehidupan saya dok asyik meminta minta kepada Allah, mintak rezeki lah, minta kelapangan lah, minta dipermudahkan lah. minta itu dan ini lah, tapi terlupa yang Allah sentiasa beri rezeki, kelapangan dan kemudahan semenjak dari dalam perut mak saya lagi, hinggalah sekarang. Hanya disebabkan tak nak bersyukur dan sombong, semuanya itu jadi tertutup. Itulah sebabnya sekarang langsung tak mahu meminta apa2 lagi, malu pada Allah.

Dia dah bagi banyak dan sentiasa bagi banyak pun, tapi duk komplain kepada benda yang tak dapat je.

Mana boleh terfikir, yang sekarang ini kehidupan saya tiada lagi rasa takut atau pun susah hati.

Semuanya hanya bermula dengan membasahkan mulut saya dengan ucapan terima kasih sebanyak mungkin setiap hari, dan...

Hasilnya, Allah berikan syurga kepada saya semasa saya hidup.

Rupanya tak susah nak dapat syurga dunia ni ya..... Terima kasih ya Allah.

Terima kasih kepada yang sudi membacanya.

Cara Sujud Sahwi Bila Terlupa Rakaat Dan Doa Qunut

Cara Sujud Sahwi Bila Terlupa Rakaat Dan Doa Qunut

HUKUM SUJUD SAHWI

Sahwi bererti lupa. Menurut Imam merangkap Penolong Pengarah Pembinaan Sakhsiah Masjid Negara, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Mohd Zuhairee Mohd Yatim, sesuai dengan namanya, sujud sahwi ini dilakukan adalah untuk menampung beberapa jenis kesalahan yang dibuat ketika solat akibat lalai atau terlupa. Antara kesalahannya adalah terlupa melakukan salah satu sunat ab’adh, iaitu tahiyat awal dan doa qunut.

Hal ini adalah berdasarkan hadis daripada al-Mughirah bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila salah seorang kamu berdiri sesudah dua rakaat tetapi ia belum sampai sempurna berdiri, maka hendaklah ia duduk kembali (untuk tasyahud pertama) tetapi jika ia sudah berdiri dengan sempurna, maka jangan ia duduk kembali dan hendaklah ia sujud dua kali (Sujud Sahwi)”. (Riwayat Ahmad)

Selain itu, ia juga dianjurkan sekiranya kita berasa ragu-ragu terhadap bilangan rakaat

Dari Abu Sa’id al-Khudri RA, di mana Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا شَكَّ أَحَدُكُمْ فِـيْ صَلاَتِهِ فَلَمْ يَدْرِ كَمْ صَلَّى؟ ثَلاَثًا أَوْ أَرْبَعًـا؟ فَلْيَطْرَحِ الشَّكَّ وَلْيَبْنِ عَلَى مَـا اسْتَيْقَنَ ثُمَّ يَسْجُدُ سَجْدَتَيْنِ قَبْلَ أَنْ يُسَلِّمَ. فَإِنْ كَـانَ صَلَّى خَمْسًا شَفِعْنَ لَهُ صَلاَتُهُ، وَإِنْ كَانَ صَلَّى إِتْمَامًا ِلأَرْبَعٍ كَانَتَا تَرْغِيْمًا لِلشَّيْطَانِ.

“Jika salah seorang di antara kamu ragu dalam solatnya sehingga dia tidak tahu berapa rakaat yang telah dia lakukan, tiga rakaat atau empat rakaat. Maka hendaklah ia tepis keraguan itu dan ikutilah yang dia yakini. Setelah itu, hendaklah dia sujud dua kali sebelum salam. Jika ternyata dia mengerjakan lima rakaat, maka dia telah melengkapkan solatnya. Namun, jika dia mengerjakan empat rakaat, maka dua sujud tadi adalah penghinaan bagi syaitan.” (Hadis Riwayat Muslim, Abu Dawud, An-Nasa’i RA)

Sujud sahwi hukumnya adalah sunat. Ini bermakna, tidaklah batal solat seseorang jika tidak dilakukan.

CARA SUJUD SAHWI YANG LENGKAP

Walaupun hukumnya sunat, eloklah kita melakukannya apabila perlu. Ini kerana, cara sujud sahwi sebenarnya amat mudah, iaitu seperti berikut:

1. NIAT
Sujud sahwi perlu diniat terlebih dahulu pada penghujung rakaat terakhir. Sesudah tahiyat akhir, sebelum memberi salam, takbir dan sujud dengan lafaz sujud sahwi.

2. SUJUD
Lafaz ini dibacakan 3 kali dalam sujud sahwi:

سُبْحَانَ مَنْ لاَ يَنَامُ وَلاَيَسْهُوْ
Subhana Man Laa Yanaamu Walaa YasHuu

Maksudnya: Maha suci Allah, zat yang tidak pernah tidur dan tidak pernah lupa

3. DUDUK ANTARA DUA SUJUD
Selepas membaca lafaz tersebut, bangun daripada sujud dan duduk dalam posisi di antara dua sujud, sama seperti yang biasa kita lakukan dalam solat. Bacaan juga sama seperti duduk antara dua sujud.

4. SUJUD SEKALI LAGI
Sesudah itu duduk kembali pada posisi duduk di antara dua sujud dan lakukan sujud sahwi sekali lagi. Kemudian duduk dalam keadaan tahiyat akhir dan beri salam seperti biasa (tak perlu mengulang bacaan tahiyat akhir sekali lagi).

BAGAIMANA KALAU TERTINGGAL PERBUATAN YANG TERMASUK DALAM RUKUN SOLAT?

Setakat ini, kita dijelaskan bahawa kita digalakkan melakukan sujud sahwi apabila kita terlupa sesuatu perbuatan sunat ab’adh, iaitu doa qunut atau tahiyat awal yang tidak termasuk dalam 13 rukun solat.

Jadi, apakah yang sepatutnya kita lakukan jika kita terlupa melakukan perkara yang termasuk dalam rukun (contohnya membaca al-fatihah atau rukuk)?

Menurut kuliah ini, kita tidak boleh menggantikan perkara yang tertinggal tadi dengan sujud sahwi semata-mata. Contohnya, kita terlupa membaca al-fatihah pada rakaat ketiga dalam solat maghrib. Maka, kita perlu membaca al-fatihah yang tertinggal tadi dengan cara mengulang rakaat ketiga secara keseluruhannya (kerana rakaat ketiga tadi tidak dikira sempurna). Sebelum mengakhiri solat, barulah kita melakukan sujud sahwi.

HIKMAH SUJUD SAHWI

Sujud sahwi sangat dituntut untuk membaiki solat kita yang cela. Allah yang Maha Penyayang masih boleh menerima ibadah kita walaupun ada cacat celanya.

Segala amalan yang dituntut dalam Islam pasti ada hikmahnya. Dalam perihal sujud sahwi, kita sebagai hamba banyak kekurangannya. Maka, Rasulullah SAW mengajar kita cara sujud sahwi sebagai salah satu cara menutup kekurangan kita.

Kita sebagai hamba perlu segera memohon keampunan kepada Allah jika khilaf. Hanya kepada Allah tempat kita bersujud dan memohon keampunan atas kealpaan kita.

Semoga amal ibadat kita diterima oleh Allah.

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN YANG KE 65



Pelbagai bangsa pelbagai budaya
Perpaduan rakyat teras utama
Rakyat Bersatu negara Berjaya
Malaysia Prihatin aman sejahtera.

Ayuh! Sama-sama kita rayakan semangat kemerdekaan. Semoga hari kemerdekaan ini memenuhi hidup kita semua dengan penuh kesyukuran, kegembiraan dan kemakmuran.

Salam Kemerdekaan Buat Seluruh Rakyat Malaysia! Marilah kita sama-sama berganding bahu menyemarakkan ikatan perpaduan sesama kita.

31 Ogos Tarikh keramat
Bersama kita menyambut merdeka
Bersatu berazam penuh semangat
Mari pertahankan kemerdekaan kita

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

Buat apa minta maaf?

Buat apa minta maaf?

Kalau buat salah memanglah kena minta maaf. Aku tengok kat group whatsapp ke kat mana-mana ke orang selalu sebut maafkanlah.. Memaafkan itu lebih baik.



Aku tak nafikan memang memaafkan lebih baik tapi memaafkan itu pilihan. Meminta maaf itu wajib. Mana boleh paksa orang yang dizalimi untuk memaafkan orang yang menzalimi dia?

Orang yang zalim tu sepatutnya dipaksa minta maaf. Barulah adil, bukannya keluar segala hujah untuk untuk suruh/paksa orang teraniaya memaafkan macam tu je. Terpulanglah kepada orang yang dianiaya untuk memaafkan atau tidak.

Bila kita dah buat salah, kita wajib minta maaf. Kalau orang tu tak nak maafkan selepas kita minta maaf? Insha Allah nanti Allah uruskan dia.

Sekurang-kurangnya dah terlepas tanggungjawab kita minta maaf. Tak kiralah apa jenis kesalahan pun. Lambat bayar hutang, terlepas cakap kasar, mengumpat, buat fitnah, jadi batu api dan sebagainya.

Kalau masalah hutang lambat bayar ni maaf memanglah maaf tapi kena bayar jugaklah sampai habis walaupun ambil masa yang lama. Jangan pula ambil kesempatan lepas minta maaf tak nak bayar hutang. Lainlah kalau orang tu sendiri yang memaafkan sekaligus menghalalkan hutang barulah tak payah bayar.

Bila seseorang datang minta maaf dengan kita maknanya orang tu merendah diri depan kita. Allah yang bersifat kesempurnaan pun mengampunkan dosa-dosa hambanya yang memohon keampunan. Inikan pula kita manusia yang berasal dari air mani, takkan tak boleh maafkan orang yang minta maaf?

Aku buat post ni untuk menegaskan kewajipan meminta maaf. Bukannya nak menafikan kebaikan memaafkan tapi mungkin ada di antara kita yang terlupa minta maaf tu wajib. Selagi tak minta maaf kat orang yang kita sakiti selagi itulah dosa kita terhadap orang itu tidak diampunkan.

Kesimpulannya, minta maaf dan memaafkan itu dua perkara yang baik.

Sumber 

Wadah Terkini