Julai 27, 2023

Pencipta Lampu

Pencipta Lampu oleh Stefanie Kaso

Pada suatu petang, Tok Ketua Harjo menziarahi Saparwi.

“Hai, Pawi. Sejak bekerja sebagai jaga sekolah, kau dah jarang melepak bersama Tok.”

“Ala, Tok. Aku sibuk. Baru aku tahu kerja jaga ini bukan boleh buat main-main. Besar tanggungjawabnya, Tok.”

“Amboi, makin bijak kau Pawi. Syukur dapat jadi cerdik sedikit,” Tok Ketua ketawa mengekeh. 

“Boleh Tok tanya soalan?” Dia menyoal pula. Saparwi menatap wajah Tok Ketua. Sangsi. 

“Soalan atau mahu menguji?”

“Alah, samalah tu. Bolehlah, ya?” Tok Ketua memujuk. 

“Satu soalan sahaja. Please, Pawi.”

Saparwi berfikir sejenak. 

“Baik. Satu sahaja.”

Tok Ketua tersengih dan mula menyoal. 

“Baik. Kalau kau betul-betul jadi cerdik sekarang ni, Tok mahu tahu siapa yang mencipta lampu?”

Lama Saparwi membisu. Tok Ketua tertawa kecil. 

“Ha, tadi macam cerdik sangat. Soalan senang pun tak tahu.”

“Kalau begitu, apa jawapan Tok?”

“Thomas Edison lah….”

“Kalau begitu jawapan Tok kurang tepat.”

“Aik, pulak? Habis tu siapa?”

“Lampu itu cahaya kan?” Saparwi tanya. Tok Ketua mengiyakan. 

“Kenapa kita perlu cahaya?” Saparwi tanya lagi.

“Sebab gelaplah, Pawi.”

“Jadi, cahaya dicipta sebab kita tidak suka gelap. Kegelapan adalah pencipta cahaya. Cahaya itu lampu!”
Tok Ketua menggeleng.

“Kau bukannya cerdik, tetapi pintar memutar belit!”
Saparwi tersengih. 

“Kalau aku pemutar belit, Tok mangsa yang tidak pernah serik.”

Saparwi ketawa terbahak-bahak. Tok Ketua terperangkap dalam soalan yang dia timbulkan. Tok Ketua berjanji tidak mahu menguji lagi, untuk hari itu.

0 comments:

Catat Ulasan

Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!