Ucapan Abu Bakar sebagai khalifah pertama selepas kewafatan Rasulullah SAW
Selepas kewafatan Rasulullah SAW, datang seorang khalifah yang pertama dan terbaik dalam memahami konsep ketaatan yang syar’ie iaitu Abu Bakar al-Siddiq RA. Beliau menyampaikan khutbah berkata:
أَيُّها النَّاسُ فَإِني قَدْ وُلِّيتُ عَلَيْكُم وَلَسْتُ بِخَيْرِكُمْ فإِنْ أَحْسَنْتُ فَأَعِينُونِي وإِنْ أَسَأْتُ فَقَوِّمُوني. الصِّدْقُ أَمَانةٌ وَالْكَذِبُ خِيَانَةٌ . والضَّعِيفُ فِيْكُمْ قَوِيٌّ عِنْدِي حَتَّى أُرْجِعَ إِلَيْهِ حَقَّهُ إِنْ شَاءَ اللّهُ، وَالْقَوِيُّ فِيْكُمْ ضَعِيفٌ عِنْدِي حَتَّى آخُذَ الحقَّ مِنْهُ إِنْ شَاءَ اللّهُ. لَا يَدَعُ قومٌ الجِهادَ فِي سَبِيْلِ اللّهِ إِلَّا خَذَلَهمُ اللَّهُ بِالذُلِّ وَلَا تَشِيعُ الفَاحِشَةُ فِي قَوْمٍ إِلَّا عَمَّهُمُ اللَّهُ بِالبَلَاءِ. أَطِيعُونِي مَا أَطَعْتُ اللَّهَ وَرَسُوْلَهُ فَإِذا عَصَيْتُ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَلَا طَاعَةَ لِي عَلَيْكُمْ. قُومُوا إلَى صَلَاتِكُمْ يَرْحَمْكُمُ اللّهُ.
Maksudnya: “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya aku telah dipilih untuk memimpin kamu semua, dan aku bukanlah yang terbaik dalam kalangan kamu semua. Jika sekiranya aku berbuat baik, maka bantulah ak, dan jika sekiranya aku melakukan kesalahan, maka perbetulkanlah aku. Kebenaran itu adalah satu amanah dan dusta itu adalah satu pengkhinatan.
Dan orang yang lemah dikalangan kamu semua adalah orang yang kuat pada pandanganku, sehingga aku berikan hak kepadanya, Insyaallah. Dan orang yang kuat dikalangan kamu semua adalah orang yang lemah pada pandanganku, sehingga aku mengambil kembali hak daripadanya, Insyaallah.
Janganlah ada sesuatu kaum yang meninggalkan jihad, kecuali Allah SWT akan menimpakan kehinaan kepadanya. Dan apabila keburukan sudah memenuhi sesuatu kaum, maka Allah SWT akan mendatangkan bala kepada kaum tersebut.
Taatlah kepadaku selagi mana aku taat kepada Allah SWT dan RasulNya. Jika sekiranya aku melakukan maksiat kepada Allah dan Rasulnya, maka tidak wajib kepada kamu semua untuk mentaatiku. Marilah semua mendirikan solat, semoga Allah SWT merahmati kamu semua.” (Lihat al-Muwatta,1/161, Sirah Ibn Hisyam,4/240 dan ‘Uyun al-Akhbar Ibn Qutaibah, 2/234)
Berdasarkan khutbah Abu Bakar, terdapat beberapa pengajaran yang boleh kita ambil iktibar daripadanya. Antaranya:
- Menjadi hak pemimpin dalam negara, bagi membantu setiap rakyat sekiranya keadaan memerlukan kepada perkara tersebut. Sekiranya dilihat pemerintah tersebut membuat perkara yang betul, maka menjadi kewajipan kepada rakyat untuk bersama-sama pemimpin dan membantu dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut.
- Sikap bertanggungjawab di antara pemimpin dan rakyat dalam mengislah masyrakat perlu sentiasa dipegang dalam menegakkan tanggungjawab tersebut.
- Setiap orang berhadapan dengan undang-undang, tidak kira pemimpin mahupun rakyat. Undang-undang dikenakan kepada orang yang berkuasa tanpa melihat kepada jawatan yang dimiliki dan turut dikenakan tindakan kepada orang lemah tanpa melihat kepada kelemahan mereka.
- Ketaatan kepada ulil amri itu adalah bagi membolehkan pemerintah menegakkan keadilan dalam berhukum sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah SWT. Maka arahan mentaati pemerintah yang disertai dengan arahan menegakkan keadilan ini menunjukkan bahawa ketaatan yang diwajibkan oleh Allah SWT ialah ketaatan pada perkara yang ma’ruf.
- Menjadi tanggungjawab bagi pemerintah untuk berhukum dengan adil dan menjalankan amanah yang diberi, begitu juga menjadi tanggungjawab rakyat untuk dengar dan patuh kepada mereka. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 5/96)
0 comments:
Catat Ulasan
Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!