Bila Aku Memilih Untuk Berdiam
Sebuah refleksi tentang diam, sedar, dan memilih ketenangan.
Antara nikmat yang aku rasakan sekarang ialah hilangnya rasa ingin ambil tahu tentang hidup orang lain. Aku tak lagi rasa perlu mengikuti setiap cerita, tak tertarik dengan gosip atau rahsia yang bukan urusanku.
Bukan kerana sombong, tapi kerana aku semakin sedar bahawa tidak semua perkara layak memenuhi ruang fikiranku.
Dulu mungkin aku mudah terganggu dengan hal luar. Mudah terbanding. Mudah terpengaruh.
Tapi kini aku memilih untuk alihkan tenaga itu kepada diri sendiri. Fokus memperbaiki kekurangan. Mencari ketenangan dalam diam. Dan membina hidup tanpa terlalu sibuk memerhati kehidupan orang lain.
Rupanya bila kita berhenti peduli yang tak perlu, hati jadi jauh lebih ringan.
Mungkin sebab itu sekarang aku lebih banyak berdiam.
Diam bukan kerana aku tidak tahu berkata-kata. Dan bukan juga kerana aku ingin menjauhkan diri dari semua orang.
Diam ini hanyalah cara aku menjaga hati dan fikiran.
Kadang dalam hidup, kita sampai ke satu tahap di mana kita sedar bahawa tidak semua perkara perlu kita respon. Tidak semua cerita perlu kita dengar. Dan tidak semua suara perlu kita balas.
Ada waktunya kita berubah.
Dari yang dulu suka bercerita, menjadi yang lebih suka mendengar.
Dari yang dulu mudah bereaksi, menjadi yang lebih memilih tenang.
Kerana semakin kita dewasa dalam pengalaman hidup, kita mula faham bahawa ketenangan itu mahal.
Dan kadang-kadang… ketenangan itu hanya datang bila kita belajar untuk berdiam.
0 Comments:
Catat Ulasan