Ramai dalam kalangan kita beranggapan bahawa harta yang dimiliki adalah hak mutlak tuan empunya
harta. Namun sebenarnya harta tersebut bukanlah seratus peratus hak milik seseorang. Hakikatnya
dalam setiap harta yang dimiliki itu terdapat hak milik orang lain.
Hal yang demikian dirakamkan dalam
firman Allah dalam surah Az-zariyat ayat 19:
Maksudnya: “Dan pada harta benda mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang
miskin yang tidak meminta.”
Kita perlu yakin bahawa berinfaq atau bersedekah tidak akan menjadikan seseorang itu miskin malahan
rezeki akan semakin bertambah dengan izin Allah SWT.
Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Dari Rasulullah SAW bersabda: “Sedekah itu tidak akan mengurangi harta. Tidak ada
orang yang memberi maaf kepada orang lain, melainkan Allah akan menambah kemuliaannya. Dan
tidak ada orang yang merendahkan diri kerana Allah, melainkan Allah akan mengangkat darjatnya.”
(Muslim: 4689)
Di samping itu, bersedekah akan melipatgandakan lagi harta yang dimiliki.
Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 261:
Maksudnya: "Perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah seperti sebutir biji yang
menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada seratus biji. Allah melipatgandakan bagi siapa
yang Dia kehendaki, dan Allah Maha mengetahui."
Justeru Islam amat menyarankan umatnya agar terus menjadi sebahagian daripada golongan yang
bersedekah atau berinfaq.
Hal yang demikian dinyatakan dengan jelas dalam sebuah hadis berikut:
Maksudnya: “Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah, maka mulailah untuk
orang-orang yang menjadi tanggunganmu dan sedekah yang paling baik adalah dari orang yang
sudah cukup (untuk keperluan dirinya). Maka barangsiapa yang berusaha memelihara dirinya, Allah
akan memeliharanya dan barangsiapa yang berusaha mencukupkan dirinya maka Allah akan
mencukupkannya”.
(Bukhari: 1338)
Hadis ini mengajak serta menyeru kita menghidupkan amalan bersedekah terutamanya kepada ahli
keluarga yang menjadi tanggungan kita. Ia juga memberi suatu gambaran jelas tentang kelebihan orang
yang memberi sedekah dengan ikhlas berbanding si penerima yang amat memerlukan. Secara tersiratnya
si penerima memberikan ruang amal pahala kepada si pemberi.
Jika kita mempunyai lebihan daripada
keperluan asas, hulurkanlah bantuan kepada mereka yang memerlukan. Semoga apa yang kita berikan itu
menjadi bekalan kita di akhirat kelak.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
Maksudnya: “Apabila mati seorang manusia, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah
jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya."
(Muslim:1631, al-Nasa’i: 3651, al-Tirmizi: 1376 dan Abu Daud: 2880)
Hadis ini menunjukkan bahawa amalan si mati
akan terputus dengan sebab kematiannya. Pahala
turut terhenti kecuali melalui tiga amalan tersebut.
Sesungguhnya sedekah jariah bersifat kekal
dan manfaat yang diperolehi daripada amalan
bersedekah tersebut dapat digunakan secara
berterusan walaupun penyumbangnya sudah
meninggal dunia.
Islam amat menggalakkan sifat bantu membantu
antara satu sama lain terutamanya kepada
golongan yang memerlukan. Atas kesedaran itu,
marilah kita membiasakan amalan bersedekah
dalam kehidupan seharian. Walaupun sebesar zarah,
amalan bersedekah ini cukup bermakna kepada
si penerima yang hidup dalam serba kekurangan
dan mendatangkan pahala yang besar kepada si
pemberi yang benar-benar ikhlas.
0 comments:
Catat Ulasan
Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!