Pages

Oktober 19, 2020

Berkali-kali fikir pun rasa susah hati saya tu tetap tak hilang.

 Ibu dan anak kecil ni datang ke klinik kanak-kanak semalam untuk temujanji susulan selepas discaj dari wad minggu lepas.

Hari tu dia cirit birit dan muntah-muntah. Syukurnya, keadaan dia sekarang dah bertambah baik.
Mak dia duk cerita malam sebelum tu anaknya asyik berlari dalam rumah bergurau dengan atuknya. Tersenyum dia sambil dia bercerita. Nampak bahagia saja.
“Masa masuk wad, kaki kanan dia bengkak sebab ada masuk jarum kat situ. Doktor boleh tolong tengokkan?”
Terus saya melutut dan capai kaki kanan budak tu. Saya belek-belek dari atas sampai ke bawah kaki.
Bila saya nak buka seliparnya, timbul rasa pelik.
“Ketatnya selipar budak ni.”
Lepas berjaya cabut keluar selipar dia, memang sah kaki budak tu berbekas dengan tali selipar tu.
Bengkak tu dah surut. Kaki pun tak sakit.
Masa nak pakaikan selipar, terasa ketat sangat jadi saya lepaskan je selipar tu. Budak tu ambil dan dia cuba pakai sendiri. Siap senyum lagi.
Saya duduk dan diam sekejap. Selipar lusuh dan ketat macam ni, saya sendiri pun tak akan bagi anak saya pakai lagi.
Berkali-kali fikir pun rasa susah hati saya tu tetap tak hilang.
“Anak ada selipar lain?” tanya saya.
“Tak ada doktor.” Boleh pula dia senyum.
Teringat terus pada anak sendiri. Masing-masing ada 2-3 selipar. Satu untuk di rumah, satu di rumah pengasuh, satu pula standby dalam kereta.
“Doktor, boleh saya minta duit sikit? Anak saya tak makan lagi tengahari. Saya nak beli roti untuk dia.
Dia berbisik perlahan. Segan agaknya kalau-kalau orang lain dengar.
Saya jadi sesak nafas. Dalam hati ni menjerit-jerit cukup ke roti tu.
“Susu anak pun dah habis. Duit tak ada. Boleh ya?”
Segera saya keluarkan duit dari poket.
“Ni duit untuk roti dan susu. Ni pula duit untuk beli selipar baru untuk anak. Beli yang elok terus untuk dia.”
Maknya mengangguk laju.
Walaupun tak ada duit, diusaha juga supaya mereka anak beranak sampai ke hospital. Untuk anak, manusia sanggup berbuat segalanya.
Kita sebenarnya setiap hari berjalan tanpa beban.
Bersyukurlah nikmat apa yang ada pada kita hari ini sebab ada orang sekeping roti pun tak mampu nak beli dan makan apatah lagi tukar selipar elok untuk anak.
Saya duk fikir dia yang tak cukup duit pun boleh tersenyum. Kita yang ada duit, ada kereta, ada pangkat, hari-hari asyik pula mengeluh.
Lagi banyak mengeluh dari berzikir sampaikan muka jadi kelam, hati pun makin penuh dengan titik hitam.
Kalau kita fikir kita susah, ada lagi yang lebih susah.
Kawan-kawan, buanglah keluh. Jauhkanlah merungut.
Kita beriya nak banyak harta dunia sampai lupa pada harta yang dah kita ada.
Senyuman anak kecil dan keluarga itulah harta sebenar.
Rasa cukup dan syukur dengan apa yang kita ada, itulah titik mulanya rasa bahagia.
Mahu belajar dan belajar lagi.

Ibu dan anak kecil ni datang ke klinik kanak-kanak semalam untuk temujanji susulan selepas discaj dari wad minggu lepas....

Posted by Redza Zainol on Thursday, October 15, 2020

0 comments:

Catat Ulasan

Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!