Anda mungkin pernah mendengar nama vibranium, iaitu satu bahan yang dikatakan lebih kuat dari logam. Bagaimanapun, bahan ini hanya wujud dalam negara fantasi Wakanda, dalam dunia Marvel sahaja.
Namun begitu, Malaysia bakal menjadi negara pertama di dunia yang berjaya menghasilkan bahan tersebut, namun dengan nama berbeza. Percaya atau tidak, Malaysia kini berada dalam landasan untuk muncul sebagai negara pertama yang berjaya menghasilkan Graphene, iaitu satu bahan yang dikatakan 200 kali ganda lebih kuat daripada logam.
Lebih menarik, produk ini dikatakan akan dihasilkan menggunakan sisa isirong kelapa sawit, iaitu komoditi perladangan yang amat dekat dengan hati rakyat Malaysia. Untungnya kita, negara ini mempunyai begitu banyak ladang kelapa sawit yang berguna dalam penghasilan Graphene ini.
Menurut laman web Graphene.info, Graphene adalah satu karbon setebal satu atom yang tersusun dalam bentuk hexagon. Ia adalah blok binaan grafit (yang mempunyai pelbagai kegunaan, salah satunya ditemui dalam mata pensel), tetapi Graphene adalah satu bahan yang secara tersendiri sangat menakjubkan. Graphene dianggap sebagai ‘bahan ajaib’ kerana pelbagai ciri menarik yang mempersonakan yang dimilikinya.
Graphene juga adalah bahan paling nipis yang diketahui oleh manusia setakat ini, tetapi ia juga mempunyai kekuatan yang sangat mengejutkan, iaitu lebih 200 kali ganda lebih kuat daripada logam.
Kelebihan lain Graphene adalah ia mempunyai tahap ketahanan yang tinggi kepada api. Graphene juga ringan dan pengalir yang efektif yang boleh digunakan dalam pelbagai bidang insdutri.
Pada tahun 2004, penyelidik Universiti Manchester, Andre Geim dan Kostya Novoselov melakukan satu penyelidikan meluas berkaitan penghasilan Graphene dan mereka menemui cara mudah menghasilkan Graphene tersebut.
Mereka berdua mendapat Hadiah Nobel atas sumbangan kajian mengenai bahan ini.
Berbalik kepada Malaysia, memandangkan Graphene ini boleh dihasilkan oleh manusia, sebuah syarikat tempatan, Graphjet Technology Sdn Bhd berjaya mencipta teknologi yang dalam proses pempatenan untuk menghasilkan Graphene daripada sisa isirong kelapa sawit. Graphjet Technology ditubuhkan pada 2019 dan loji pertamanya terletak di Kuantan, Pahang.
Setakat ini, 30,000 tan sisa isirong sawit kering boleh menghasilkan 60 tan Graphene setiap tahun. Sekiranya semua proses berjalan lancar, Malaysia bukan sahaja bakal menjadi negara pertama yang menghasilkan bahan ini, malah berupaya untuk mengeluarkan Graphene dalam skala besar.
Harga purata untuk Graphen ialah dari RM 1,300 hingga RM 1,700 setiap gram. Tetapi Graphene yang dihasilkan oleh Graphjet Technology dijangka akan dijual pada harga diantara RM 90 hingga RM 112 setiap gram. Penurunan harga ini membolehkan Graphene diguna pakai secara besar-besaran untuk pelbagai aplikasi.
Pelbagai pengaplikasian Graphene dalam teknologi sedang dibangunkan buat masa ini dan antara yang terawal penggunaannya adalah dijangka dalam penghasilan skrin telefon bimbit, bateri, kereta elektrik, dakwat, bahan komposit dan penapisan.
Graphjet Technology baru-baru ini juga menandatangani perjanjian penggabungan dengan Energem Corp dan penggabungan itu menjadikan nilai syarikat meningkat kepada RM 6.6 bilion. Mereka juga merancang untuk disenaraikan di Nasdaq tidak lama lagi bagi mendapatkan modal pengembangan operasi.
Toyota Trike yang berpangkalan di Jepun juga bekerjasama dengan Graphjet Technology untuk mendapatkan bahan ini untuk penghasilan basikal EV keluaran syarikat itu.
Siapa sangka, pokok sawit bakal meletakkan nama Malaysia di peta dunia sekali lagi dan akan memberikan pulangan lumayan buat semua.
0 comments:
Catat Ulasan
Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!