Pages

Pengakuan

April 07, 2019

BENARKAH WANITA MEMPUNYAI 9 NAFSU DAN SATU AKAL?

Benarkah terdapat hadith yang menyatakan wanita mempunyai 9 nafsu dan hanya satu akal?
 Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Wanita 9 Nafsu, 1 Akal?
Sering sekali kita mendengar di kalangan masyarakat kita kata-kata bahawa wanita itu mempunyai sembilan nafsu dan satu akal. Apakah kenyataan ini benar?
Terdapat riwayat daripada Abi Muslim al, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لشهوة عشرة أجزاءٍ: التسعة للنساء والعاشر للرجال
MaksudnyaSyahwat itu mempunyai sepuluh bahagian: Sembilan bahagian diberi kepada wanita, dan satu bahagian diberi kepada lelaki.
Dicatat oleh Abu Marwan Abdul Malik al-Salmi dalam Adab al-Nisaa’, 1/183
Diriwayatkan juga bahawa Baginda SAW bersabda:
وَجُعِلَتِ الشَّهْوَةُ عَلَى عَشَرَةِ أَجْزَاءٍ، وَجُعِلَتْ تِسْعَةُ أَجْزَاءٍ مِنْهَا فِي النِّسَاءِ، وَوَاحِدَةٌ فِي الرِّجَالِ
MaksudnyaDijadikan syahwat itu sebanyak sepuluh bahagian, sembilan darinya untuk wanita, satu untuk lelaki.
Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsat (567), dan disebut juga oleh al-Haithami dalam Majma’ al-Zawa’id (10/30)
Hadith ini bertaraf dhaif jiddan (tersangat lemah), kerana salah seorang perawinya iaitu Suwaid ibn Abd al-Aziz berstatus matruk (periwayatannya ditinggalkan dan tidak diriwayatkan) dan bukan daripada kalangan tsiqah. (Rujuk Irsyad al-Sari fi Takhrij Ahadith Fath al-Bari 1/665) Bahkan riwayat ini juga turut ditemui dalam kitab-kitab Syiah, dan ia diriwayatkan oleh Al-Kulaini dan Al-Majlisi (Rujuk Usul al-Kafi, 5/338 dan Bihar al-Anwar, 100/244)
Terdapat juga satu riwayat tentang dialog yang berlaku antara Imam al-Hasan al-Basri dengan seorang tokoh Sufi yang amat terkenal, Rabiatul Adawiyah. Dikisahkan bahawa semasa al-Hasan pergi meminangnya setelah kematian suaminya, beliau telah disoal beberapa perkara oleh Rabiah dan tidak dapat menjawabnya. Tetapi apabila ditanya tentang akal, dikatakan bahawa al-Hasan telah menjawab bahawa wanita mempunyai sembilan nafsu dan satu akal. Tapi lantas Rabiah menjawab kembali “jika aku mempunyai sembilan nafsu, mengapa aku mampu menahannya dengan satu akal, sedangkan kamu yang mahu meminang aku ini tidak mampu menahan nafsu kamu sedangkan kamu mempunyai sembilan akal dan satu nafsu?” Maka al-Hasan pun malu apabila mendengar jawapan itu dan terus pulang.
Kisah ini telah dinukilkan oleh Uthman al-Khaubawi dalam kitabnya Durrah an-Nasihin dan juga Abu al-Fidaa’ al-Istanbuli al-Hanafi (Rujuk Tafsir Ruh al-Bayan, 6/179). Cerita ini boleh dipertikaikan dari sudut penisbahannya kepada al-Hasan al-Basri. Hal ini kerana, al-Hasan al-Basri dilahirkan pada tahun 21H dan meninggal dunia pada 110H. Manakala Rabiatul Adawiyah pula -berdasarkan pandangan yang paling tepat- dilahirkan pada tahun 100H dan meninggal dunia pada 180H. Ini bermakna ketika al-Hasan meninggal dunia, Rabiatul Adawiyah baru berumur 10 tahun, maka adalah tidak munasabah berlakunya dialog sebegini antara mereka berdua.
Memandangkan kata-kata ini tidak mempunyai sandaran yang sahih dalam al-Quran mahupun al-Sunnah, bukan juga kata-kata ulama’ yang mu’tabar, dan bukan juga satu fakta yang disahihkan dari sudut saintifik, bahkan kisah yang dinukilkan di atas juga dipertikaikan kesahihannya; maka kami berpandangan ianya tidak wajar sama sekali diterima, disebarkan dan disandarkan kepada agama.

Wanita Kurang Dari Sudut Agama dan Akal?
Meskipun begitu, terdapat juga satu hadith yang tsabit daripada Nabi SAW bahawa Baginda pernah bersabda:
يَا مَعْشَرَ النِّسَاءِ تَصَدَّقْنَ وَأَكْثِرْنَ الاِسْتِغْفَارَ فَإِنِّي رَأَيْتُكُنَّ أَكْثَرَ أَهْلِ النَّارِ‏‏.‏ فَقَالَتِ امْرَأَةٌ مِنْهُنَّ جَزْلَةٌ وَمَا لَنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَكْثَرَ أَهْلِ النَّارِ ‏.‏ قَالَ ‏ تُكْثِرْنَ اللَّعْنَ وَتَكْفُرْنَ الْعَشِيرَ وَمَا رَأَيْتُ مِنْ نَاقِصَاتِ عَقْلٍ وَدِينٍ أَغْلَبَ لِذِي لُبٍّ مِنْكُنَّ ‏‏.‏ قَالَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا نُقْصَانُ الْعَقْلِ وَالدِّينِ قَالَ أَمَّا نُقْصَانُ الْعَقْلِ فَشَهَادَةُ امْرَأَتَيْنِ تَعْدِلُ شَهَادَةَ رَجُلٍ فَهَذَا نُقْصَانُ الْعَقْلِ وَتَمْكُثُ اللَّيَالِيَ مَا تُصَلِّي وَتُفْطِرُ فِي رَمَضَانَ فَهَذَا نُقْصَانُ الدِّينِ
MaksudnyaWahai sekalian wanita, banyakkanlah bersedeqah dan istighfar, kerana aku melihat wanita banyak yang menjadi penghuni neraka. Seorang wanita yang bijak berkata: “Mengapa demikian wahai Rasulullah?” Nabi SAW menjawab “Kerana kalian banyak berkata yang buruk dan tidak berterima kasih kepada suami kalian. Aku juga melihat kalian kurang dari sudut dan agama, tapi pada sama aku belum pernah melihat orang yang kurang akal dan agamanya yang lebih mampu mengalahkan laki-laki yang berakal dibandingkan kalian.
Wanita itu bertanya lagi “Apa maksud kurang sudut aqal dan agama itu?” Nabi menjawab “Kurang dari sudut aqal boleh dilihat dari sudut kesaksian dua orang wanita sama dengan kesaksian seorang lelaki, manakala kurang dari sudut agama ialah ada hari-hari tertentu kalian tidak solat dan berpuasa”.
                                                                                    Sahih al-Bukhari (304), Sahih Muslim (79) dan Sunan Ibn Majah (4003)
Imam al-Qasthalani sewaktu menjelaskan frasa kekurangan agama tidaklah semestinya disebabkan oleh dosa, tapi boleh juga disebabkan oleh perkara yang sudah menjadi lumrah manusiawi seperti halnya wanita. (Rujuk Irsyad al-Sari, 1/347)
Adapun berkenaan kekurangan akal pula, Muhammad al-Amin al-‘Alawi al-Harari telah meriwayatkan pandangan Al-Maziri, bahawa ia adalah kerana wanita kurang terpercaya dari sudut ketepatan atau kecekapan. Hadith ini juga menjadi penguat kepada ayat al-Qur’an yang berbunyi:
فَتُذَكِّرَ إِحْدَاهُمَا الْأُخْرَى
Maksudnya: ...supaya jika yang seorang lupa dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi.
Surah al-Baqarah (282)
                                                                        (Rujuk Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 2/67 dan Al-Kaukab al-Wahhaj, 2/573).
Dapat difahami juga daripada hadith di atas, kekurangan agama hanya terbatas dari sudut kuantiti ibadah dan bukan kualiti, serta sedikit keterbatasan dari sudut tempoh masa untuk melakukan ibadat. Namun wanita hanya ditegah dari melakukan sebahagian ibadat sahaja sewaktu haid, iaitu solat, tawaf dan membaca al-Qur’an. Adapun ibadat lain seperti zikrullah, selawat dan manasik haji selain tawaf, mereka dibenarkan melaksanakannya. Bahkan puasa yang ditinggalkan sewaktu haid boleh digantikan semula semasa dalam keadaan suci.
Kekurangan tersebut juga bersifat sementara, bukan sepanjang hidup kaum wanita. Haid hanya berlaku selama beberapa hari dalam sebulan, tiada haid sewaktu tempoh kehamilan dan haid akan terhenti sama sekali setelah mereka monopaus, iaitu setelah berhentinya kitaran haid.
Manakala kekurangan dari sudut akal pula adalah dalam erti kata penglibatan mereka dalam urusan-urusan awam secara umumnya adalah agak terbatas berbanding lelaki, maka pengetahuan dan pengalaman mereka dalam bidang-bidang tertentu seperti politik, ekonomi dan ketenteraan adalah kurang berbanding lelaki.
Syeikh Mustafa al-Maraghi berpandangan bahawa keperluan kepada dua orang saksi perempuan adalah disebabkan faktor setempat dan semasa, di mana wanita jarang melibatkan diri, ataupun dilibatkan dalam aktiviti di ruang awam seperti politik dan ekonomi. Oleh karena itu kesaksian mereka dalam hal ini memerlukan kepada lebih penelitian sebelum dapat diterima. (Rujuk Tafsir al-Maraghi 3/75)
Maka dapat difahami disini, kesaksian dua orang wanita bersamaan dengan kesaksian seorang lelaki adalah disebabkan kurangnya penglibatan mereka dalam urusan muamalat, pentadbiran dan perundangan, bukan disebabkan kaum wanita itu lemah dari sudut akal dan ingatan secara azali. Jika benar wanita itu kekurangan akal sejak azali, maka pastilah periwayatan hadith oleh wanita boleh diragui. Namun demikian, para ulama tidak pernah meletakkan jantina sebagai kayu ukur dalam menilai kekuatan dan kebolehpercayaan seorang rawi.
Bahkan Imam al-Zahabi, seorang pakar dalam bidang ilmu rijal dan perawi, pernah menyebut bahawa beliau tidak mengetahui adanya walau seorang perawi wanita yang dituduh sebagai pemalsu hadith (muttaham) atau yang ditolak kerana tidak diyakini kebolehpercayaannya (matruk). (Rujuk Mizan al-I’tidal, 4/604) Hal ini menunjukkan bahawa wanita juga mampu menggapai kedudukan yang tinggi dalam apa jua bidang yang diceburi, sekiranya diberi peluang dan ruang yang saksama.
Terbatasnya penglibatan wanita dalam urusan awam juga bukanlah suatu yang menjadi ketetapan syarak, namun ia hanya sekadar kebiasaan setempat dan bergantung kepada zaman. Saidina Umar RA sewaktu menjadi khalifah pernah melantik seorang wanita sebagai pegawai hisbah yang menyelia urusan jual beli di pasar di Madinah. Saidatina ‘Aisyah R.’Anha sendiri pernah mengetuai umat Islam pergi menghadap Khalifah Ali bin Abi Thalib sebelum tercetusnya Perang Jamal.
Pada zaman sekarang juga kita menyaksikan peningkatan penyertaan dan penglibatan wanita dalam urusan-urusan awam. Malaysia menyaksikan dua orang wanita telah menjawat jawatan sebagai Gabenor Bank Negara setakat ini. Kita juga menyaksikan peningkatan bilangan wanita yang dilantik sebagai Hakim Mahkamah Syarie di pelbagai negeri.
Inilah keadilan Islam yang memberi ruang dan peluang kepada wanita dan lelaki untuk sama-sama menyumbang, dan mereka dijanjikan ganjaran yang setimpal. Firman Allah SWT:
لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا اكْتَسَبُوا ۖ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا اكْتَسَبْنَ ۚ
Maksudnya: Bagi lelaki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan; dan bagi wanita ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan.
Surah al-Nisaa' (32)

Kesimpulan
Secara tuntasnya, kami berpandangan bahawa pernyataan wanita mempunyai hanya satu akal dan sembilan nafsu adalah kata-kata yang tidak ada sumbernya dalam agama ini dan tidak wajar sama-sekali disebarkan.
Adapun hadith yang menyatakan bahawa wanita itu kurang dari sudut agama, kekurangan mereka hanya terbatas dari sudut kuantiti ibadah dan bukan kualiti, serta sedikit keterbatasan dari sudut tempoh masa untuk melakukan ibadat.
Manakala kekurangan dari sudut akal pula adalah dalam erti kata penglibatan mereka dalam urusan-urusan awam secara umumnya adalah agak terbatas berbanding lelaki, maka pengetahuan dan pengalaman mereka dalam bidang-bidang tertentu seperti politik, ekonomi dan ketenteraan adalah kurang berbanding lelaki.
Namun demikian dalam konteks zaman sekarang, peningkatan penglibatan wanita dalam pelbagai bidang dan peluang pendidikan yang sama rata telah meningkatkan keupayaan dan kebolehan wanita. Banyak jawatan penting disandang oleh wanita dan mereka membuktikan kemampuan bersaing secara kompetitif dengan lelaki meskipun terpaksa berhadapan dengan banyak cabaran dan kekangan, bahkan melebihi kaum lelaki dalam banyak keadaan.
Wallahu a’lam.

0 comments:

Catat Ulasan

Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!