*100 Hari Dibawah Air* _oleh Khairunnisaq_
Hari ini adalah hari ke-86 Jeremy di bawah air. Apa yang dibuat di sini? Tiada apa. Dia dihantar oleh sekumpulan saintis untuk menguji reaksi badan manusia jika tinggal di dalam laut yang bertekanan untuk suatu tempoh yang lama. Dia berada di kedalaman 10 meter bawah paras air. Di sini dia tinggal di sebuah kapal selam kecil. Menjalani hari-harinya seperti mereka yang di atas darat.
Bangun; makan sarapan; bersenam; menguji tekanan darah, denyutan nadi, kandungan gula dalam badan serta tahap stres; menaip laporan serta menghantarnya. Ya, ada talian internet di sini. Dia juga dapat buat panggilan video dan berbual dengan keluarganya di atas sana. Bekalan makanannya akan dihantar oleh para penyelam. Senang kata hidupnya di sini lebih kurang sama sahaja ketika dia di darat.
Tujuan mereka menghantar Jeremy ke sini adalah untuk melihat adakah mereka berpotensi untuk membina populasi manusia yang tinggal di bawah laut. Bayangkan suatu hari nanti, ada rumah-rumah dalam laut yang dihuni manusia sama seperti di darat.
Semua baik-baik sahaja sehinggalah… hari terakhir Jeremy di sini. Hari ke-100. Dia seharusnya dijemput naik satu jam yang lalu. Namun, tiada seorang pun kru datang menjemputnya. Dia juga tidak menerima apa-apa berita tentang kelewatan ini daripada mereka yang di atas. Jeremy cuba menghubungi pusat kawalan namun tiada yang menjawab.
Satu persoalan bermain di fikirannya. Adakah dia ditinggalkan? Jeremy ambil keputusan untuk keluar dari situ sendirian melalui escape trunk. Dan dia berjaya berenang ke atas dengan kelengkapan skubanya. Alangkah terkejutnya dia melihat pusat kawalan sudah terbakar.
BOOM!
Letupan di sana sini. Langit dipenuhi dengan pesawat tentera. Tiba-tiba dia melihat gelombang air bergerak laju ke arahnya. Jeremy terkaku. Seekor makhluk hijau berlendir, bergigi ceracak, bermata hitam muncul dari dalam air. Mendekat dan dekat.
“Krittt!”
Setelah itu, semuanya gelap. Segelap malam tanpa taburan bintang.
0 comments:
Catat Ulasan
Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.