Pages

September 07, 2018

One, Two, Jaga bogelkan amalan rasuah

One, Two, Jaga bogelkan amalan rasuah
Dua dalam satu - hiburan dan mendidik masyarakat - menjadi matlamat Zahiril Adzim hasil daripada lakonannya dalam filem One, Two, Jaga.
Ia bukan sebuah kisah biasa-biasa sebaliknya sebuah filem yang berani menyelongkar 'kotoran' yang kadang-kadang sengaja disembunyikan 'di bawah tikar'.
Ia adalah tentang gejala rasuah dan salah guna kuasa di kalangan pihak berkuasa, termasuk polis.
“Kadang-kadang orang tidak menyedari daripada sekecil-kecil hadiah yang diberikan pun boleh dianggap sebagai rasuah.
“Ia berlaku tidak kira sama ada dalam institusi politik, polis ataupun di peringkat jawatankuasa kampung," katanya.
Zahiril atau nama penuhnya Mohd Zahiril Adzim Mohd Mokhtar, 35, ditemui pada sidang media sempena Festival Filem Malaysia di Kuala Lumpur kelmarin.
Untuk rekod, dua tahun lalu iklan acah One, Two, Jaga pernah memenangi tajaan kelengkapan kamera berteknologi tinggi bernilai S$25,000 (RM77,870) di Southeast Asian Film Financing (SAFF) Singapura.
Filem itu mengalahkan 140 filem dari 23 negara yang turut bertanding.
Harap dapat jentik mata
Selain Zahiril, filem aksi itu turut menampilkan gandingan pelakon dari Malaysia dan Indonesia seperti Beto Kusyairi, Sofia Jane, Zaidi Omar, Amerul Affendi, Ario Bayu dan Asmara Abigail.
Filem arahan Nam Ron itu mengisahkan bagaimana aktiviti rasuah semakin menjadi barah dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sesuai dengan kedudukan PDRM sebagai pasukan yang berkuasa, kisah mengenai rasuah membabitkan jabatan itu memang sangat jarang diketengahkan dalam sesebuah filem tempatan.
Justeru, Zahiril boleh berbangga apabila ditawarkan untuk menjayakan naskhah berkenaan.
"Saya amat teruja dapat terbabit dalam filem seperti ini. Memang payah nak nampak karya yang menceritakan keburukan anggota PDRM, tetapi kali ini Bront Palarae - selaku penerbit - berjaya melakukannya.
"Namun, PDRM tetap meletakkan syarat iaitu penceritaan harus mengandungi mesej yang dapat memberi pengajaran dan teladan kepada anggota polis supaya menjauhi rasuah," katanya.
Zahiril yang pernah menulis buku berjudul Bogel Menuju Tuhan turut mengulas amalan rasuah yang dikatakan semakin menjadi-jadi di kalangan penggiat industri hiburan tempatan.
Zahiril meluahkan kekesalannya terhadap isu itu apabila ada pegawai kanan sesebuah stesen televisyen diketahui mengamalkan ‘duit tepi.’
“Pihak menerima dan memberi rasuah sila berhenti daripada melakukan kerja haram itu.
“Kepada penggiat seni lain, bangun dan laporkan sekiranya anda menjadi mangsa atau menyedari terdapat aktiviti rasuah kerana ia dapat menyelamatkan industri daripada terus tercemar.
"Semoga One, Two, Jaga dapat menjentik setiap mata umum bahawa hakikatnya kita sedang berhadapan rasuah setiap hari," katanya.

Amalan 'duit tepi'

Dilema tidak berkesudahan mengenai ‘duit tepi’ tidak wajar dipandang ringan kerana isu berkenaan dianggap membebankan golongan penerbit drama tempatan.

Menurut Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PVTM), Datuk Jurey Latiff Rosli, sudah sampai masanya semua stesen televisyen menyiasat isu berbangkit.
Katanya, terdapat orang kanan stesen televisyen meminta ‘duit tepi’ atau rasuah daripada penerbit sebelum drama mereka dapat diluluskan untuk ditayangkan.
“Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia berharap ada pihak akan tampil memberikan maklumat mengenai orang kuat stesen televisyen minta duit agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat mengambil tindakan sewajarnya.
“Kami memandang serius perkara ini kerana kos penerbitan semakin meningkat, ditambah pula dengan ‘duit tepi’ yang penerbit perlu bayar.
“Ini akan menjejaskan kualiti penerbitan program televisyen,” katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.
Kata Jurey, masalah ini bukanlah perkara baru malah beberapa tahun lalu, PVTM telah membuat laporan kepada sebuah stesen televisyen untuk diambil tindakan.
Stesen berkenaan kemudian melakukan rombakan dan siasatan dalaman.
Jejas industri
Jurey mengulas demikian selepas ruangan pojok dalam sebuah akhbar baru-baru ini mendedahkan terdapat orang penting dalam sebuah stesen televisyen meminta rasuah.
Katanya, sekiranya tidak dipantau, amalan ‘duit tepi’ mampu menjejaskan imej industri tanah air kerana kualiti drama yang bagus diperlekehkan berbanding wang untuk lulus projek.
“Kita mahu penerbit menghasilkan program berkualiti serta dapat mewujudkan peluang yang adil dan industri yang sihat serta berdaya saing.
“Penerbit digalakkan berusaha menghasilkan produk berkualiti dalam memastikan produk mereka diterima, bukannya dengan membayar duit tepi bagi mendapatkan projek,” katanya.
Sehubungan itu, perkara berkenaan akan dibawa ke Mesyuarat Agung Tahunan PVTM pada 15 Ogos depan untuk dibincangkan dan bagi mencari jalan penyelesaian.
“Isu ini akan terus dipantau oleh persatuan demi menjaga ahli yang ditindas serta menghadapi apa jua masalah,” katanya.

0 comments:

Catat Ulasan

Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!