Memaparkan catatan dengan label TANGGUNGJAWAB. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label TANGGUNGJAWAB. Papar semua catatan

Bukan Tak Nak Senyum, Tapi Kesakitan Mengatasi Segalanya

Bukan Tak Nak Senyum, Tapi Kesakitan Mengatasi Segalanya | #JMBELOG

Bukan Tak Nak Senyum, Tapi Kesakitan Mengatasi Segalanya

#JMBELOG

Bukan tak senyum... cuma ada ketika kesakitan yang dirasakan terlalu berat sehingga senyuman pun terasa begitu sukar untuk diberikan.

Orang nampak kita masih mampu berjalan. Masih mampu bekerja. Masih mampu bercakap dan bergurau seperti biasa.

Tapi mereka tidak tahu, berapa banyak perkara yang sedang kita simpan jauh di dalam hati.

Ada malam kita termenung sendirian. Cuba mencari sedikit kekuatan untuk menghadapi hari esok. Ada ketika air mata jatuh tanpa sesiapa tahu.

Bukan kerana kita lemah... tetapi kerana kita sudah terlalu lama berpura-pura kuat.

"Terpaksa kuat demi kelangsungan hidup."

Hakikatnya, ada hari kita rasa mahu mengalah. Mahu berhenti seketika. Mahu melepaskan segala-galanya dan berkata, "Aku dah tak mampu."

Tetapi hidup tidak pernah berhenti hanya kerana kita penat.

Komitmen masih meninggi. Bil masih perlu dibayar. Tanggungjawab masih perlu dipikul. Ada perkara yang masih perlu diselesaikan. Ada orang yang masih mengharapkan kita.

Sebab itulah kita bangun juga.

Walaupun hati berat, kita terus melangkah.

Walaupun jiwa terluka, kita cuba tersenyum.

Walaupun tubuh dan fikiran sudah meminta untuk berehat, kita tetap gagahkan diri.

Kadang-kadang orang bertanya, "Kenapa masih boleh senyum?"

Mereka tidak tahu... senyuman itu mungkin satu-satunya cara untuk kita menyembunyikan betapa penatnya diri ini.

Bukan aku tidak pernah rasa mahu mengalah. Aku juga manusia. Aku juga ada batas. Aku juga ada hari di mana hati terasa terlalu berat.

Cuma aku belum boleh berhenti.

Masih ada tanggungjawab yang perlu diselesaikan. Masih ada komitmen yang perlu ditunaikan. Masih ada kehidupan yang perlu diteruskan.

Jadi untuk hari ini, aku pilih untuk bertahan.

Bukan kerana aku kuat sangat... tetapi kerana aku tidak mempunyai banyak pilihan.

Dan kalau suatu hari nanti aku kelihatan diam, tidak banyak bercakap, atau senyumku tidak seperti biasa, jangan terus anggap aku berubah.

Mungkin ketika itu aku sedang berperang dengan sesuatu yang tidak mampu aku ceritakan.

Mungkin aku cuma sedang mengumpul sedikit kekuatan untuk terus menjalani hidup.

Bukan tak senyum,
tapi kesakitan mengatasi segalanya.

Bukan tak mahu mengalah,
cuma komitmen masih meninggi.

Dan selagi masih ada tanggungjawab yang perlu ditunaikan,
aku akan cuba kuat walaupun hati sudah hampir rebah.

Semoga suatu hari nanti, segala penat ini digantikan dengan ketenangan.

Semoga segala air mata yang jatuh dalam diam menjadi saksi bahawa aku pernah berjuang sehabis daya.

Dan semoga aku tidak lupa... bahawa bertahan juga merupakan satu bentuk keberanian.

Catatan: Untuk mereka yang sedang bertahan dalam diam. Semoga dipermudahkan segala urusan dan diberikan kekuatan untuk melalui setiap ujian kehidupan.

© #JMBELOG

Erti Kerjasama Yang Sebenar Dalam Sebuah Organisasi

Erti Kerjasama Yang Sebenar Dalam Sebuah Organisasi

Dalam sesebuah organisasi, perkataan kerjasama sering dianggap sebagai kunci kepada kejayaan. Namun, tidak semua perkara yang dilakukan atas nama kerjasama benar-benar membawa maksud yang sebenar.

Kerjasama bukan sekadar meminta seseorang membantu apabila sesuatu tugasan tidak dapat diselesaikan. Ia juga bukan alasan untuk memindahkan tanggungjawab daripada satu pihak kepada pihak yang lain.

Kerjasama yang baik sepatutnya menjadikan sesuatu pekerjaan lebih ringan, bukannya menyebabkan sebahagian individu terpaksa menanggung beban yang sepatutnya dipikul bersama.

Setiap Bahagian Ada Peranannya

Cuba kita lihat sebuah bangunan. Ia dapat berdiri dengan kukuh kerana setiap bahagiannya mempunyai fungsi tersendiri.

Asas memastikan bangunan itu stabil. Tiang membantu menanggung beban, dinding membentuk ruang, manakala bumbung memberikan perlindungan daripada panas dan hujan.

Setiap satu mempunyai tugas yang berbeza, tetapi semuanya saling melengkapi.

Jika satu bahagian dipaksa mengambil alih tugas yang bukan tanggungjawabnya secara berterusan, keseimbangan keseluruhan struktur boleh terganggu.

Begitu juga dalam kehidupan berorganisasi. Setiap individu mempunyai peranan, amanah dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan sebaiknya.

Jangan Jadikan Kerjasama Sebagai Beban

Membantu antara satu sama lain sememangnya sesuatu yang baik. Namun, bantuan tidak seharusnya menjadi alasan untuk seseorang mengabaikan tugas yang telah diamanahkan kepadanya.

Jika perkara ini berlaku terlalu kerap, mereka yang sentiasa membantu mungkin akan berasa terbeban, kecewa dan akhirnya hilang semangat.

Sebuah organisasi yang sihat bukanlah organisasi yang mempunyai individu yang sanggup melakukan segala-galanya, tetapi organisasi yang setiap anggotanya memahami tugas masing-masing dan bersedia membantu apabila keadaan memerlukan.

Tanggungjawab perlu dipikul bersama mengikut kemampuan dan peranan. Jangan sampai istilah "kerjasama" digunakan untuk menutup kelemahan dalam pengurusan tugas atau meletakkan beban yang sama berulang kali kepada orang yang sama.

```

Kerjasama yang sebenar bukan tentang siapa yang paling banyak berkorban.

Ia tentang bagaimana setiap orang menjalankan peranan masing-masing,
saling membantu apabila diperlukan,
dan memastikan tiada siapa yang dipaksa menanggung semuanya seorang diri.

```

Kerana organisasi yang kuat dibina melalui tanggungjawab yang seimbang,
bukan melalui beban yang dipindahkan.

Bila Kita Terpaksa Kelihatan Keras

Bila Kita Terpaksa Kelihatan Keras

“Kadang-kadang kita bukan tidak peduli. Kita cuma terperangkap di antara tanggungjawab dan rasa kasihan.”

Petang tadi, seorang pakcik dihantar Grab  depan pos aku. Tapi rupanya, dia tersalah lokasi (mungkin pakcik tersalah tekan lokasi).

Waktu itu pos sudah nak tutup. Aku hanya berdiri dengan rasa serba salah yang perlahan-lahan memenuhi dada.

Bukan sebab aku marah. Bukan sebab aku tidak peduli. Tapi sebab aku sedang bekerja.

Aku suruh dia tunggu di bawah bumbung tepi jalan. Sekurang-kurangnya ada tempat berteduh sementara menunggu anaknya datang ambil. Dalam hati, rasa bersalah itu tetap ada. Sebab aku tahu, kalau keadaan berbeza, mungkin aku mahu bantu lebih daripada itu.

Tapi kadang-kadang, kerja memaksa kita untuk ikut batas. Ada perkara yang memang di luar kuasa kita.

Orang selalu nampak kita diam, nampak kita tegas, nampak macam kita tidak kisah. Sedangkan dalam hati, kita bawa rasa itu pulang sekali.

Kita fikir berkali-kali: “Betul ke apa yang aku buat?” “Patut ke aku bantu lebih?” “Kesian dia...”

Tapi hakikatnya, kita sudah buat apa yang termampu. Kita tidak biarkan dia berdiri di tengah hujan. Kita tidak abaikan dia begitu sahaja. Kita cuba cari jalan yang paling selamat, walaupun tidak sempurna.

Kadang-kadang, menjadi orang yang bekerja bukan bererti hati kita sudah keras. Kadang-kadang, kita cuma terpaksa kelihatan kuat, walaupun di dalam, hati kita masih lembut dan mudah rasa bersalah.

Dan mungkin, orang yang benar-benar baik, bukan orang yang mampu membantu semua orang. Tapi orang yang masih ada rasa, walaupun tidak mampu mengubah semuanya.

Bukan Kerana Kuat, Tapi Kerana Komitmen

Bukan Kerana Kuat, Tapi Kerana Komitmen

Bukan kerana kuat, tetapi kerana komitmen.


Ada hari badan terasa berat.
Bukan letih biasa, tetapi letih yang membuatkan nafas jadi pendek dan langkah jadi perlahan.

Doktor beri MC.
Kertas putih itu ada dalam genggaman.

Namun pagi tetap aku sambut dengan pakaian kerja.
Bukan kerana aku tak sakit.
Bukan juga kerana aku mahu dilihat kuat.

Aku tetap pergi kerja
kerana komitmen.

Aku lihat sekeliling —
ada yang sakit sedikit, sudah memilih untuk berehat.
Itu hak mereka.
Itu pilihan yang wajar.

Aku pula memilih jalan yang berbeza.
Bukan untuk membandingkan,
bukan untuk meninggikan diri,
tetapi kerana aku tahu…

Jika aku berhenti,
ada tanggungjawab yang akan terbiar,
ada amanah yang akan tertangguh,
dan ada rezeki yang mungkin tidak menunggu aku sembuh sepenuhnya.

Komitmen itu bukan heroik.
Ia senyap.
Ia jarang dipuji.
Kadang-kadang tidak difahami.

Orang hanya nampak aku hadir.
Mereka tidak nampak
kepala yang berdenyut,
tulang yang mencengkam sakit,
dan hati yang sedang memujuk diri sendiri
supaya terus bertahan.

Aku belajar satu perkara:
tidak semua yang terus bekerja itu kuat,
dan tidak semua yang berehat itu lemah.

Ada yang hadir kerana terpaksa.
Ada yang hadir kerana sedar.

Dan aku hadir
kerana aku tahu,
meninggalkan tanggungjawab tanpa pilihan
lebih menyakitkan daripada sakit yang sedang aku tanggung.

Jika suatu hari aku memilih untuk berhenti dan berehat,
itu juga bukan tanda kalah.
Itu tanda aku sedang menjaga diri.

Hari ini, aku bekerja.
Esok, mungkin aku berehat.

Apa pun pilihanku,
biarlah ia lahir dari kesedaran,
bukan dari penilaian orang.

Kerana akhirnya,
yang menanggung sakit ini bukan mereka.
Aku.

Aku Marah Sebab Aku Jaga Amanah

Aku Marah Sebab Aku Jaga Amanah

Orang selalu salah faham marah aku. Mereka fikir aku cuba tunjuk hebat. Mereka fikir aku sengaja nak meninggikan suara. Sedangkan hakikatnya… aku cuma jaga amanah yang banyak orang anggap ringan.

Dalam kerja, aku belajar satu benda: kalau kita terlalu baik, orang pijak. Kalau kita terlalu diam, orang ambil kesempatan. Kalau kita terlalu bertahan, orang ingat kita tak ada hati.

Itu sebabnya bila aku marah, suara aku tegas. Bukan sebab aku suka marah— tapi sebab aku dah terlalu lama jadi orang yang tanggung semua benda tanpa sesiapa pun peduli.

Orang tak nampak malam aku tidur dengan fikiran yang berat. Orang tak tahu pagi aku bangun dengan kepala penuh beban tugas orang lain. Orang tak rasa penatnya buat kerja dua tiga orang sedangkan gaji tetap satu.

Bila aku tegur, orang kata aku cerewet. Bila aku perbetulkan, orang kata aku berkira. Bila aku meluruskan kerja, orang kata aku garang. Tapi bila aku buat diam… mereka buat lagi, dan akhirnya aku juga yang kena tanggung akibatnya.

Itulah sebabnya aku marah. Sebab aku jaga kerja aku. Sebab aku tak nak benda kecil jadi besar. Sebab aku bukan jenis lepas tangan dan biarkan keadaan rosak begitu saja.

Sebenarnya… marah aku bukan tentang orang. Marah aku tentang tanggungjawab. Tentang disiplin. Tentang maruah kerja. Tentang usaha aku untuk pastikan semuanya berjalan seperti sepatutnya.

Aku marah sebab aku peduli. Dan kadang-kadang, orang yang paling peduli itulah yang paling disalahfahamkan.

Dalam Kerja, Marah Aku Ada Sebabnya

Dalam Kerja, Marah Aku Ada Sebabnya

Dalam kerja… aku bukan marah saja-saja. Aku bukan jenis cari gaduh, bukan jenis cari salah. Kalau aku marah, mesti ada sebab— dan sebab itu selalunya aku simpan lama sebelum aku lepaskan.

Aku marah bila kerja tak dibuat. Aku marah bila amanah dipermainkan. Aku marah bila aku pikul lebih daripada bahu aku mampu. Aku marah bila orang buat remeh hal yang sepatutnya diselesaikan dengan disiplin.

Orang nampak suara aku naik, tapi orang tak nampak betapa ramai yang hilang tanggungjawab sampai aku terpaksa betulkan semuanya seorang diri.

Dalam kerja, aku tak ada masa nak marah tanpa sebab. Aku bukan hidup untuk marah. Aku marah sebab aku jaga benda yang orang lain buat main.

Ada orang boleh buat bodoh, tapi aku… aku tak boleh. Aku jenis yang bila kerja, aku buat sungguh. Aku jaga amanah, aku jaga masa, aku jaga maruah kerja.

Sebab itu bila aku marah, jangan tanya kenapa. Tanyalah apa yang tak kena sebelum itu— dan siapa yang tak buat kerja sampai aku terpaksa jadi keras.

Aku bukan marah untuk tunjuk kuat. Aku marah sebab aku terlalu banyak bertahan.

Tanggungjawab Yang Belum Selesai

Tanggungjawab Yang Belum Selesai

Tanggungjawab Yang Belum Selesai

Penat atau tak, cukup tidur atau tidak, sihat ataupun tidak… selagi mampu bangun, selagi kaki belum lumpuh untuk melangkah, kita tetap akan keluar. Tetap akan kerja. Tetap akan hadap hari baru.

"Bukan sebab terpaksa. Tapi sebab masih ada yang perlu ditanggung."

Tiada siapa tahu berat mana beban atas bahu kita. Tapi kita tahu, hidup tak boleh berhenti hanya kerana letih. Tanggungjawab bukan menunggu kita cukup kuat. Ia hanya menunggu disempurnakan.

Bukan semua orang kejar duit. Ada yang kejar tenang. Ada yang kejar keberkatan. Ada yang cuma nak pastikan orang yang dia sayang tak susah.

Dan itu… sudah cukup jadi sebab kenapa kita terus bertahan. Walau luka dalam diam. Walau jiwa tak lagi sekuat dulu. Kita masih jalan.

"Kerana tak semua perjuangan perlu bersuara lantang. Ada yang hanya berbunyi deruman enjin di jalan sunyi."

Kita cuma mahu satu – agar bila semua ini selesai nanti, kita boleh duduk, tarik nafas dalam-dalam dan bisik pada diri: “Aku dah cuba. Aku dah buat setakat mampu. Dan aku tak pernah lari.”

Kalau hari ini terasa berat, tak mengapa. Rehat sekejap. Tapi jangan putus. Sebab tanggungjawab itu… masih belum selesai.

DALAM PEKERJAAN, DAHULUKAN ORANG YANG SOLAT

DALAM PEKERJAAN, DAHULUKAN ORANG YANG SOLAT

Assalamualaikum...

Ada orang berkata,
“Dalam pekerjaan, dahulukan orang yang solat.”
Kedengaran seperti diskriminasi bagi sesetengah,
tapi cuba kita renung perlahan-lahan,
dengan hati yang tidak prejudis…
dengan jiwa yang mahu mencari makna.

🌿 Solat bukan sekadar rukuk dan sujud

Solat itu tanda disiplin.
Tanda seseorang tahu masa itu amanah.
Bila dia menjaga waktu solat,
dia mungkin juga menjaga waktu mesyuarat,
menepati janji, menghormati arahan,
dan memahami apa itu komitmen.

Orang yang menjaga solatnya,
bererti dia meletakkan Tuhan sebagai pusat kehidupannya.
Bila dia tahu dirinya diperhatikan Yang Maha Melihat,
besar harapan dia akan bekerja dengan jujur dan telus.

🕌 Orang yang jaga solat bukan maksum

Mereka tetap manusia biasa.
Kadang terlepas, kadang terleka,
tapi mereka sentiasa berusaha kembali.

Dan orang yang belum solat pula,
bukanlah hina —
mungkin belum tiba hidayah,
atau pernah kecewa dalam pencarian Tuhan.

Tapi jika ada dua pilihan di hadapan kita,
sama dari segi kebolehan dan kemahiran,
maka dahulukanlah yang menjaga hubungan dengan Tuhan —
kerana kita mahu rezeki yang hadir dari tangan yang tak lupa sujud.

💼 Dalam pekerjaan, bukan sekadar ‘siapa boleh buat kerja’

Tapi siapa yang boleh bawa keberkatan.
Siapa yang tak khianat bila tiada orang nampak.
Siapa yang tak ambil yang bukan haknya walau boleh sembunyi.
Siapa yang tahu, rezeki ini bukan dari bos atau gaji —
tapi dari Allah yang Maha Pemberi.

🌸 Akhirnya,

"Jika dia mampu menunaikan hak Tuhan,
besar harapan dia akan lebih sungguh menunaikan hak manusia."

Dan itu asas kepada pekerjaan yang jujur, amanah dan membahagiakan.

🌙 Semoga kita semua, termasuk dalam kalangan yang menjaga solat, menjaga amanah, dan menjaga hati dalam bekerja.
Kerana hidup ini bukan hanya tentang apa yang kita buat —
tapi untuk siapa kita lakukan segalanya.

Tanggungjawab Dalam Pekerjaan: Amanah Yang Mencerminkan Integriti Diri

Tanggungjawab Dalam Pekerjaan: Amanah Yang Mencerminkan Integriti Diri

Setiap pekerjaan yang dilakukan merupakan satu bentuk amanah. Sama ada seseorang itu bekerja sebagai guru, jururawat, pekerja kilang, pemandu, kakitangan pejabat atau usahawan, setiap tugas mempunyai tanggungjawab yang perlu dipikul dengan penuh kejujuran dan dedikasi.

Tanggungjawab dalam pekerjaan bukan sekadar hadir tepat pada waktunya, tetapi juga melaksanakan tugas dengan ikhlas, mematuhi peraturan, menjaga disiplin serta memberikan hasil kerja yang terbaik. Pekerja yang bertanggungjawab sentiasa berusaha menyelesaikan tugas tanpa perlu dipaksa atau diawasi.

Selain itu, sikap amanah juga memainkan peranan penting. Menjaga kerahsiaan syarikat, tidak menyalahgunakan harta organisasi, menghormati rakan sekerja serta melayan pelanggan dengan baik adalah sebahagian daripada tanggungjawab yang mencerminkan integriti seseorang pekerja.

Dalam Islam, bekerja juga dianggap sebagai satu ibadah apabila dilakukan dengan niat yang baik dan cara yang halal. Rezeki yang diperoleh melalui usaha yang jujur bukan sahaja membawa keberkatan, malah memberi ketenangan kepada diri dan keluarga.

Sesungguhnya, pekerja yang bertanggungjawab bukan diukur melalui pangkat atau gaji semata-mata, tetapi melalui keikhlasan, komitmen dan kesungguhan dalam melaksanakan amanah yang diberikan. Apabila setiap individu menjalankan tanggungjawab dengan sebaiknya, organisasi akan berkembang, masyarakat akan mendapat manfaat dan negara turut menikmati kemajuan.

"Kerja yang dilakukan dengan penuh tanggungjawab bukan sekadar memenuhi kewajipan, tetapi menjadi cerminan akhlak dan nilai diri seseorang."

Maksud Tanggungjawab Dalam Kehidupan?

Maksud Tanggungjawab Dalam Kehidupan

Tanggungjawab adalah satu amanah dan kewajipan yang perlu dipikul oleh setiap individu. Ia bukan sekadar melakukan sesuatu tugas, tetapi kesediaan menerima akibat daripada tindakan dan keputusan yang dibuat.

Apa Itu Tanggungjawab?

Secara mudahnya, tanggungjawab bermaksud sesuatu perkara yang wajib dilaksanakan dengan penuh kesungguhan, kejujuran dan amanah.

Jenis-Jenis Tanggungjawab

  • Tanggungjawab kepada Allah – Melaksanakan perintah agama dan menjaga hubungan dengan Tuhan.
  • Tanggungjawab kepada diri sendiri – Menjaga masa, kesihatan, akhlak dan masa depan.
  • Tanggungjawab kepada keluarga – Menghormati, menjaga dan membantu ahli keluarga.
  • Tanggungjawab kepada masyarakat – Menjadi individu yang prihatin dan memberi manfaat kepada orang lain.

Mengapa Tanggungjawab Penting?

Tanpa tanggungjawab, seseorang mudah mengabaikan amanah dan menyalahkan orang lain. Sikap bertanggungjawab membentuk kepercayaan, disiplin dan kejayaan dalam kehidupan.

Kesimpulan

Setiap manusia mempunyai tanggungjawab masing-masing. Besar atau kecil sesuatu amanah itu, ia tetap perlu dilaksanakan dengan ikhlas kerana setiap tindakan mencerminkan nilai diri seseorang.

“Orang yang benar-benar bekerja keras tidak akan sibuk menghitung kerja orang lain, sebaliknya dia memilih untuk fokus menyelesaikan tanggungjawabnya sendiri.”

Sumber Rujukan

Maksud perkataan tanggungjawab dirujuk daripada Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) .

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, tanggungjawab bermaksud "kewajiban yang dipikul oleh seseorang" serta sesuatu kerja atau tugas yang mesti dilakukan.

URL Sumber:
https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?d=175768&keyword=tanggungjawab