September 22, 2023

Ranking FIFA: Harimau Malaya Masih No.4 ASEAN


Skuad bola sepak lelaki kebangsaan atau nama julukannya Harimau Malaya masih menjadi pasukan keempat dalam kalangan negara-negara asia tenggara (ASEAN).

Kemaskini oleh Persekutuan Persatuan Bola Sepak Dunia (FIFA) pada hari ini menyaksikan skuad negara bimbingan Kim Pan-gon meningkat dua anak tangga dan secara rasminya menghuni ranking ke-134 dunia.

Peningkatan itu disumbang oleh kejayaan Harimau Malaya mengikat dua pasukan yang menghuni ranking ‘Top 100’ iaitu Syria (2-2) dan China (1-1) dalam perlawanan persahabatan antarabangsa ketika Jendela Antarabangsa FIFA, awal September baru-baru ini.

Untuk makluman, kemaskini itu turut menampilkan kedudukan China masih kekal di tangga ke-80 manakala Syria pula meraih peningkatan sebanyak satu anak tangga dan berada di kedudukan ke-93.

Bagaimanapun, peningkatan itu tidak mampu meletakkan Harimau Malaya sebagai pasukan No.3 ASEAN apabila Filipina turut sama mencatatkan peningkatan iaitu sebanyak tiga anak tangga pada kemaskini hari ini sekaligus menghuni ranking ke-132 dunia.

Peningkatan skuad The Azkals itu didorong oleh keputusan seri 1-1 bertemu Chinese Taipei serta kemenangan 2-1 ke atas Afghanistan yang mereka hadapi pada 8 dan 12 September lalu.

Sebagai tambahan, Vietnam mengekalkan statusnya sebagai pasukan No.1 ASEAN apabila kekal tidak berganjak di ranking ke-95 diikuti Thailand selaku pasukan No.2 yang merekodkan peningkatan satu anak tangga dan menghuni ranking ke-112.

Sukanz

0 comments:

Catat Ulasan

Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!