September 25, 2024

SAYANG-SAYANG SAHABAT KU SAYANG

Salam kasih sayang buat sahabat-sahabatku....Renung-renung dan fikir-fikirkanlah ~

Semakin lama kita bersahabat semakin sayang, janganlah semakin renggang.Semakin jauh sahabat kita, semakin terkenang, janganlah semakin kurang.Semakin dekat sahabat kita, semakin ditandang, janganlah semakin terlepas pandang.Semakin rindu sahabat semakin terbayang, janganlah semakin menghilang.Amat malang jika sahabat kita terus melayang.Bahagianya menjalinkan ikatan persahabatan dengan jujur, ikhlas dan setia.Biar tidak ada wang, jangan tidak ada sahabat. Biar kehabisan wang, jangan kehabisan sahabat. Biar putus wang, jangan putus sahabat.

Amat mudah mendapat beribu kenalan tetapi amat payah mencari sahabat yang sanggup mendamba kasih sayang untuk sahabatnya apabila diperlukan.Sababat ketawa senang dicari namun sahabat menangis sukar didapat..Ketika bersalaman hendaklah berjabat tangan dengan erat agar lebih terasa sentuhan kasih dan renunglah mata dan muka sahabat serta lemparkan senyuman manis agar perasaan kasih mesra meresap pantas ke dalam hati.Elakkan berpaling muka semasa bersalam kerana perbuatan ini tidak menunjukkan sikap kemesraan dan tidak nampak ikhlas sehingga membuat kasih sayang sedikit terhalang dari menyusup laju ke dalam hati.

Kasih tumbuh melata, bermesra seiya sekata, jangan ada benci di mata, di hati selalu tetap bertakhta.Tali persahabatan biarlah indah, kebahgiaan usah disanggah, bermusuhan jangan ditempah, sayang menyayang membawa berkah.Kasih mu sahabat laksana setianya mentari bertandang setiap hari, sayang mu seperti embun yang sentiasa menyirami pepohon setiap pagi, begitu jua rinduku pada mu umpama ombak yang tidak pernah jemu berlari menuju pantai putih berseri.Jambatan diibaratkan penghubung dua tanah daratan terpisah dik sungai, tasik dan selat.Jika dilanda gempa atau petaka boleh saja meruntuh dan meranapkannya. 

Begitulah hubungan persahabatan adalah diibaratkan sebatang jambatan penyambung dan penghubung kasih antara rakan, kawan, taulan, sahabat dan keluarga. Jika tidak pandai menjaga hubungan tersebut dengan sebaiknya maka ia akan bergegar, retak, putus dan memusnahkan sebuah perhubungan itu.

Tokwan Matarun

0 comments:

Catat Ulasan

Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!