Pages

Disember 21, 2019

Apa itu Lymphoma?

Image result for apa itu limfoma
ARTIKEL : PORTAL MYHEALTH
Apa itu Lymphoma?
Terminologi lymphoma merujuk kepada barah yang dihasilkan daripada sistem limfatik badan. Sistem limfatik termasuk noda limfa (juga dikenali sebagai kelenjar limfa), thymus, limpa, tonsil, adenoids dan sum-sum tulang serta saluran yang menghubungi dipanggil limfatik atau saluran limfa. Walaupun banyak jenis barah yang akhirnya merebak ke bahagian sistem limfa, lymphoma adalah yang paling ketara kerana ianya berasal daripada tempat tersebut.
Dalam lymphoma, sebahagian sel dalam sistem limfatik ini yang  dikenali sebagai limfosit, membiak tanpa kawalan. Lymphoma yang berlainan dikategori mengikut jenis sel yang merebak dan gejala yang ditunjukkan.
15% barah daripada kalangan kanak-kanak adalah lymphoma. Ianya jarang terdapat dikalangan kanak-kanak di bawah usia 3 tahun. Kanak-kanak lelaki lebih cenderung mendapat penyakit ini daripada kanak-kanak perempuan.
Apakah jenis Lymphoma?
Lymphoma dibahagikan kepada 2 kategori, bergantung kepada bentuk sel barah. Ianya dikenali sebagai Hodgkin’s Lymphoma (HL) atau  Hodgkin Disease (HD) dan non-Hodgkin Lymphoma (NHL).
Gabungan kedua-dua barah ini menjadikannya penyakit barah ke 3 dikalangan kanak-kanak.
  • Hodgkin’s Lymphoma, dinamakan sempena Thomas Hodgkin, seorang  Pakar Perubatan berbangsa Inggeris yang pertama menerangkan mengenai  penyakit tersebut pada tahun 1832. Jenis ini biasa terdapat pada kanak-kanak lebih tua atau remaja. Ianya jarang berlaku pada kanak-kanak kurang daripada 5 tahun. Lymphoma jenis ini di definisikan dengan kehadiran sel barah yang spesifik, yang dipanggil sel Reed-Sternberg, di dalam noda limfa atau organ yang terlibat.
  • Non-Hodgkin’s Lymphoma. Nama ini di gunakan untuk semua bentuk  limfoma lain. Insiden Non Hodgkin Lymphoma meningkat daripada umur kanak-kanak hingga remaja. Dalam non-Hodgkin’s Lymphoma terdapat pertumbuhan sel limfosit yang spesifik (iaitu sejenis sel darah putih yang terdapat di kelenjar limfa). Pertumbuhan sel limfosit malignant ini juga dilihat dalam barah darah  Leukemia ( ALL), yang  kadang-kala menyebabkan kesukaran membezakan antara Lymphoma dan Leukemia dikalangan kanak-kanak. Secara umumnya, bagi pesakit yang menghidap limfoma, tiada penglibatan sum-sum tulang atau penglibatan minima, sementara bagi  pesakit Leukemia penglibatan sum-sum tulang adalah secara meluas.
Kedua-dua jenis ini terjadi daripada sistem limfa,tetapi berbeza daripada segi kesan terhadap badan, cara penyebaran serta tindak balas terhadap rawatan.
Hodgkin dan limfoma bukan Hodgkin seterusnya dibahagikan kepada sub-jenis berdasarkan kepada jenis spesifik sel yang terjejas, tahap kematangan yang dicapai oleh sel-sel dan penampilan mereka di bawah mikroskop. Sub-jenis ini boleh membantu doktor menentukan rawatan yang paling berkesan.
Apakah faktor risiko Lymphoma di kalangan kanak-kanak?
Punca sebenar Lymphoma dikalangan kanak-kanak tidak diketahui. Walau bagaimanapun terdapat beberapa faktor yang boleh menyumbang kepada seseorang untuk mendapat Lymphoma. Kebanyakan kanak-kanak yang mendapat barah ini tidak diketahui faktor risikonya.
Kanak-kanak berisiko tinggi mendapat non-Hodgkins Lymphoma jika mereka mempunyai salah satu seperti di bawah:
  • Mempunyai kecacatan semula jadi di dalam sistem imuniti.
  • Mereka telah menjalani pemindahan organ dan bergantung kepada ubat-ubatan yang melemahkan sistem imuniti.
  • Mereka dijangkiti oleh Human Immunodeficiency Virus (HIV).
  • Mereka pernah terdedah kepada radiasi seperti kejadian kemalangan Reaktor Nuklear.
  • Mereka pernah mendapat penyakit barah yang lain di masa silam dan telah dirawat dengan radioterapi atau kemoterapi.
Dalam kebanyakan kes, tiada siapa yang dapat mengawal faktor yang menyebabkan Lymphoma terjadi. Kebanyakan Lymphoma terjadi daripada mutasi yang tidak diwarisi di dalam gen semasa pembentukan sel darah. Pemeriksaan secara berkala dikalangan kanak-kanak kadang-kala boleh mengesan simptom awal Lymphoma di dalam kes yang dikaitkan dengan masalah imuniti yang diwarisi, jangkitan HIV, kesan daripada rawatan barah atau rawatan pengubatan immuno suppressive untuk pemindahan organ.
Apakah tanda-tanda Lymphoma?
Tanda-tanda Lymphoma mungkin sama dengan penyakit lain yang bukan barah. Oleh itu ia sangat penting untuk anda berjumpa doktor jika anak anda mempunyai tanda-tanda yang membimbangkan.
Di bawah adalah tanda-tanda yang mungkin ada pada Lymphoma:
  • Noda limfa yang terletak di permukaan biasanya tidak sakit, oleh itu ia terus membesar tanpa disedari.
  • Pembesaran thymus atau noda limfa di dada boleh menekan saluran udara menyebabkan pernafasan berbunyi, berdengkur, sesak nafas atau kesukaran pernafasan.
  • Ianya juga boleh menyempitkan salur darah utama yang menyalurkan darah dari kepala dan leher menyebabkan pembengkakan muka, leher, bahagian atas lengan dan dada.
  • Kesukaran untuk menelan.
  • Pembengkakan nodus limfa di dalam abdomen boleh menyebabkan kembung dan ketidak selesaan. Ianya juga boleh menyekat saluran najis dan menyebabkan sembelit, loya dan muntah.
  • Demam, hilang berat badan atau berpeluh pada waktu malam, kadang-kala dipanggil simptom B.
  • Kegatalan kulit dalam kes-kes Hodgkin’s Lymphoma.
Tanda non-Hodgkin’s Lymphoma terjadi dengan cepat, kadang-kala dalam masa beberapa hari atau minggu sebelum ianya dikenal pasti. Sesetengah jenis non-Hodgkin’s Lymphoma terjadi secara perlahan dalam beberapa bulan.
Bagi Hodgkin’s Lymphoma, biasanya berlaku dalam jangka masa panjang, dan secara perlahan. Pembengkakan dan tanda boleh kelihatan sehingga setahun sebelum penyakit dapat dikesan dan kanak-kanak tersebut boleh kelihatan seperti normal. Walau bagaimanapun tanda B pada amnya merebak dengan cepat dan boleh dikesan dalam tempoh masa beberapa bulan penyakit dikenalpasti/disahkan.
Bagaimana untuk mengesahkan Lymphoma?
Doktor akan bertanya apa yang membimbangkan dan tanda-tanda yang ditunjukkan oleh anak anda, sejarah kesihatan yang lalu, sejarah kesihatan ahli keluarga, ubat yang diambil oleh anak anda, sebarang alahan, atau isu-isu lain yang dipanggil sejarah perubatan lalu. Doktor akan melakukan pemeriksaan fizikal untuk mengesan tanda-tanda Lymphoma.
Kadang-kala, apabila kanak-kanak dikesan mempunyai nodus limfa yang membengkak tanpa sebab, doktor akan memantau nodus tersebut secara teliti untuk memastikan sama ada ianya akan terus membesar.
Doktor juga akan memberi ubat antibiotik kerana pembesaran mungkin disebabkan oleh jangkitan bakteria. Jika nodus limfa terus membesar atau jika doktor mengesyaki ianya Lymphoma langkah seterusnya adalah melakukan biopsi. Ini akan melibatkan pengambilan sedikit tisu atau kadang-kala keseluruhan nodus limfa tersebut.
Bergantung kepada lokasi tisu yang akan disampel, biopsi mungkin dijalankan dengan menggunakan jarum halus berongga (dikenali sebagai jarum aspirasi) atau insisi pembedahan kecil yang dibuat di bawah bius setempat (kulit di sekitar tapak biopsi akan dibius). Kadang-kala biopsi mungkin perlu dilakukan dengan melalui pembedahan besar di bawah bius am. Keadaan ini dilakukan dalam kes biopsi “excisional” di mana keseluruhan nodus limfa yang besar atau nodus limfa yang berkaitan dibuang.
Tisu ini akan diperiksa oleh Pakar Patologi untuk menentukan jenis limfoma yang spesifik. Selain daripada ujian asas makmal, ujian yang lebih canggih juga dilakukan termasuk kajian genetik untuk menentukan jenis-jenis spesifik Lymphoma itu.
Anak anda juga perlu menjalani kajian imbasan seperti X-ray dada, CT scan, MRI, gallium scan untuk melihat gambaran di dalam tubuh. Setelah penyakit disahkan, doktor mungkin juga akan menjalankan ujian yang lain untuk mengesan sama ada Lymphoma ini telah merebak ke kawasan lain. Ini dapat membantu mengesan tahap barah tersebut di mana ianya sangat penting untuk merancang perawatan. Ujian sampingan termasuk:
  • Pengiraan darah secara menyeluruh.
  • Kimia darah, termasuk ujian hati dan fungsi buah pinggang.
  • Aspirasi/sedutan atau biopsi sum-sum tulang untuk melihat sekiranya Lymphoma telah merebak ke sum-sum tulang.
  • Pengambilan cecair dari saraf tunjang untuk mengesan sama ada barah telah merebak ke sistem ini. Ia cuma dilakukan dalam kes non Hodgkin’s Lymphoma sahaja.
Bagaimana untuk merawat Lymphoma?
Rawatan untuk Lymphoma dikalangan kanak-kanak bergantung kepada tahap barah tersebut.
Menentukan tahap barah adalah cara untuk mengklasifikasikan pesakit mengikut tahap keterukan penyakit tersebut semasa di diagnosis (diagnosis).
Terdapat empat tahap Lymphoma, bermula dari tahap I (kanser yang melibatkan hanya satu kawasan nodus limfa atau satu organ di luar nodus limfa) hingga  tahap IV (kanser telah merebak, atau metastasis, kepada satu atau lebih tisu atau organ di luar limfa sistem). Penentuan tahap pada waktu penyakit di diagnosis boleh membantu pakar profesional perubatan dalam membuat keputusan mengenai terapi dan membantu doktor meramal peluang seseorang yang mempunyai limfoma untuk pulih dalam jangka panjang.
Kemoterapi (penggunaan dadah perubatan yang sangat mujarab untuk membunuh sel barah) adalah rawatan utama yang digunakan. Ini adalah bentuk yang paling penting dalam rawatan limfoma bukan Hodgkin. Ia biasanya melibatkan penggunaan kombinasi beberapa ubat-ubatan dan rawatan boleh mengambil masa beberapa bulan. Limfoma Hodgkin dikalangan kanak-kanak biasanya dirawat dengan kemoterapi. Kadang-kala radioterapi (penggunaan sinaran bertenaga tinggi untuk mengecutkan tumor dan mencegah sel-sel kanser daripada berkembang) digunakan dalam situasi-situasi khas.
Adakah peluang untuk sembuh?
Kebanyakan kanak-kanak yang mengalami sama ada penyakit Hodgkin atau NHL boleh sembuh, bererti mereka bebas daripada barah selama lebih dari 5 tahun.
Lebih kurang 90% kanak-kanak yang mengalami penyakit Hodgkin akan sembuh sepenuhnya (di mana tiada lagi sel barah di dalam badan) setelah menjalani kemoterapi. Penyembuhan dalam masa yang panjang (bebas dari penyakit selama 5 tahun atau lebih) dapat dicapai pada semua pesakit tahap satu atau tahap 2 dan sehingga 90% pada pesakit tahap 3, dan lebih daripada 60% bagi mereka yang tahap 4.
Bagi kanak-kanak yang menhidap  NHL, peluang sembuh sepenuhnya  adalah kira-kira 90% bagi mereka yang mempunyai tahap I atau tahap II pada masa diagnosis, dan hampir 70% untuk  mereka yang berada pada tahap III atau IV.
Walaupun kebanyakan kanak-kanak bertindak balas dengan baik terhadap rawatan, sebahagian kecil daripada mereka akan  mengalami penyakit yang berulang (relapse) akibat alahan sel barah ini terhadap rawatan yang telah diberikan. Bagi kanak-kanak ini, dos ubat kemoterapi yang tinggi diikuti dengan pemindahan sum-sum tulang atau pemindahan sel stem merupakan satu pilihan rawatan.
Semakan akhir:26 April 2012
Penulis:Dr. Zulaiha bt. Muda
Penyemak:Dr. Eni Juraida bt. Abdul Rahman

1 comments:

Umi Nazrah berkata...

Alhamdulillah terima kasih sharing. Dapat ilmu baru 😁

Catat Ulasan

Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!