September 22, 2024

TANGAN DI ATAS LEBIH BAIK DARIPADA TANGAN DI BAWAH

Ramai dalam kalangan kita beranggapan bahawa harta yang dimiliki adalah hak mutlak tuan empunya harta. Namun sebenarnya harta tersebut bukanlah seratus peratus hak milik seseorang. Hakikatnya dalam setiap harta yang dimiliki itu terdapat hak milik orang lain.

Hal yang demikian dirakamkan dalam firman Allah dalam surah Az-zariyat ayat 19: 
Maksudnya: “Dan pada harta benda mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak meminta.” 

Kita perlu yakin bahawa berinfaq atau bersedekah tidak akan menjadikan seseorang itu miskin malahan rezeki akan semakin bertambah dengan izin Allah SWT. 

Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: “Dari Rasulullah SAW bersabda: “Sedekah itu tidak akan mengurangi harta. Tidak ada orang yang memberi maaf kepada orang lain, melainkan Allah akan menambah kemuliaannya. Dan tidak ada orang yang merendahkan diri kerana Allah, melainkan Allah akan mengangkat darjatnya.” (Muslim: 4689)

Di samping itu, bersedekah akan melipatgandakan lagi harta yang dimiliki. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 261: Maksudnya: "Perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada seratus biji. Allah melipatgandakan bagi siapa yang Dia kehendaki, dan Allah Maha mengetahui."

Justeru Islam amat menyarankan umatnya agar terus menjadi sebahagian daripada golongan yang bersedekah atau berinfaq.

Hal yang demikian dinyatakan dengan jelas dalam sebuah hadis berikut: Maksudnya: “Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah, maka mulailah untuk orang-orang yang menjadi tanggunganmu dan sedekah yang paling baik adalah dari orang yang sudah cukup (untuk keperluan dirinya). Maka barangsiapa yang berusaha memelihara dirinya, Allah akan memeliharanya dan barangsiapa yang berusaha mencukupkan dirinya maka Allah akan mencukupkannya”. (Bukhari: 1338)

Hadis ini mengajak serta menyeru kita menghidupkan amalan bersedekah terutamanya kepada ahli keluarga yang menjadi tanggungan kita. Ia juga memberi suatu gambaran jelas tentang kelebihan orang yang memberi sedekah dengan ikhlas berbanding si penerima yang amat memerlukan. Secara tersiratnya si penerima memberikan ruang amal pahala kepada si pemberi.

Jika kita mempunyai lebihan daripada keperluan asas, hulurkanlah bantuan kepada mereka yang memerlukan. Semoga apa yang kita berikan itu menjadi bekalan kita di akhirat kelak.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Maksudnya: “Apabila mati seorang manusia, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya." (Muslim:1631, al-Nasa’i: 3651, al-Tirmizi: 1376 dan Abu Daud: 2880) 

Hadis ini menunjukkan bahawa amalan si mati akan terputus dengan sebab kematiannya. Pahala turut terhenti kecuali melalui tiga amalan tersebut. Sesungguhnya sedekah jariah bersifat kekal dan manfaat yang diperolehi daripada amalan bersedekah tersebut dapat digunakan secara berterusan walaupun penyumbangnya sudah meninggal dunia.

Islam amat menggalakkan sifat bantu membantu antara satu sama lain terutamanya kepada golongan yang memerlukan. Atas kesedaran itu, marilah kita membiasakan amalan bersedekah dalam kehidupan seharian. Walaupun sebesar zarah, amalan bersedekah ini cukup bermakna kepada si penerima yang hidup dalam serba kekurangan dan mendatangkan pahala yang besar kepada si pemberi yang benar-benar ikhlas. 

0 comments:

Catat Ulasan

Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!