Oktober 14, 2020

Empat Perkara yang Membahagiakan Orang Mukmin.

Empat Perkara yang Membahagiakan Orang Mukmin.

by Abu Basyer on Friday, December 24, 2010 at 6:14pm

 

Sahabat yang dirahmati Allah,

Sabda Rasulullah S.A.W.  yang bermaksud : "Empat perkara yang membawa kebahagiaan rumah tangga iaitu wanita yang baik, tempat tinggal yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang baik." (Hadis Riwayat Baihaqi)

 

Setiap manusia inginkan kebahagiaan dalam kehidupan. Tanpa kebahagiaan hidup manusia seolah-olah hilang keselesaan dan kesempurnaan. Nabi S.A.W.  menjelaskan bahawa ada empat perkara yang boleh membawa  kebahagiaan untuk orang mukmin iaitu 

1. wanita yang baik . 

2. tempat tinggal yang luas  

3. jiran yang baik dan 

4. kenderaan yang baik. 


Huraiannya adalah seperti berikut :

 

Pertama : Wanita yang baik. 

 

Wanita yang baik adalah wanita solehah yang memiliki ciri-ciri isteri dan ibu yang solehah.

Wanita solehah sentiasa menghiasi diri dengan akhlak Islam dan sifat-sifat terpuji yang boleh melindungi dirinya dari kemurkaan Allah S.W.T., bersedia menjadi isteri yang taat kepada suami, berfikiran positif  dan sentiasa menjaga kehormatan diri, menjaga harta suami dan meneruskan proses tarbiyyah keatas anak-anak ketika ketiadaan suami di rumah.

 

Wanita solehah juga pandai mengemas dan menghias rumah. Pandai menguruskan perbelanjaan keluarga dengan berjimat cermat dan tidak boros. Pandai mengambil hati suami dan anak-anak dan tahu menyediakan menu makanan yang berhasiat untuk keluarga dan berkemahiran menjahit pakaian.

 

Wanita solehah bersedia menjadi ibu misali mendidik anak-anak hingga menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. Sentiasa meniupkan semangat jihad, menanamkan asas-asas Islam dan akidah Islam dalam jiwa anak-anaknya.

 

Bersabar menghadapi keranah anak-anak dan sentiasa mengujudkan biah solehah di dalam rumah hingga menjadikan  "rumahku, syurgaku". Dari sinilah akan melahirkan Baitul Muslim dan seterusnya masyarakat Islam dan Daulah Islamiyyah.

 

 

Sabda Rasullah s.a.w: “Dunia itu adalah kenikmatan dan sebaik-baik kenikmatan dunia ialah wanita yang solehah.”

(Hadis Riwayat Muslim)

 

Agama merupakan faktor terpenting dalam mendapatkan kebahagiaan rumah tangga. Namun, tidak ramai di kalangan umat manusia pada zaman ini yang meneliti dan mengambil faedah daripada panduan agama dalam memilih calon isteri. Ramai di kalangan kita yang masih tidak menyedari bahawa faktor ini berupaya memberikan kebahagiaan dan keuntungan dunia dan akhirat.

 

Wanita yang beragama sentiasa mentaati Allah dan Rasul-Nya. Menjaga maruah diri dan ibu bapa, menundukkan pandangan di hadapan lelaki yang bukan mahram, berusaha menuntut ilmu, memahami dan mengamalkan apa yang difahaminya. Sentiasa bertaubat dan mendekatkan diri kepada Allah dengan melakukan pelbagai amalan wajib dan sunat.

 

Wanita yang terdidik dengan agama akan sentiasa memastikan dirinya bersih, kemas dan cantik. Ini kerana agama memerintahkan dia melakukan demikian. Semua itu dilakukan ikhlas kerana Allah berserta keyakinan bahawa dia akan dibalas dengan pahala di sisi Tuhannya. 

 

Dia sentiasa memelihara diri dan menutup aurat dari pandangan lelaki yang bukan mahram. Percakapan yang lembut dan tepat seringkali menjadikan dirinya disukai dan disayangi oleh sesiapa sahaja yang mengenalinya. Masa yang terluang sentiasa dipenuhi dengan aktiviti yang berfaedah dan demi kebaikan diri serta agama.

 

Isteri solehah adalah idaman setiap suami yang soleh. Bila suami memandangnya terasa sejuk hati suami dan terbina rasa kasih dan sayang. Bila suaminya diluar rumah teringat akan kebaikan akhlak isterinya dan layanan istimewa yang diterima dari isteri yang tercinta.

 

Isteri  yang solehah adalah wanita yang beriman kepada Allah s.w.t. dan rukun-rukun Iman yang lain. Mempunyai akhlak yang mulia, hati yang bersih daripada sifat-sifat mazmumah dan sentiasa melaksanakan tanggungjawabnya untuk memastikan rumahtangga yang terbina adalah rumahtangga Islam (baitul Muslim). Semua masa dan waktunya dipergunakan dengan sebaik-baiknya untuk mencari keredhaan Allah s.w.t.

 

 Kedua : Tempat tinggal yang luas.

 

Tempat tinggal yang luas adalah rumah yang lapang dan selesa.

Pertama perlu diambil perhatian bahawa pembelian rumah hendaklah mengikut syariat Islam iaitu pembeliaan mengunakan pinjaman cara Islam samaada BBA atau murabahah.

Rumah yang dibeli dengan cara riba' akan mendapat kemurkaan Allah S.W.T. kerana sistem riba' telah diharamkan oleh Allah S.W.T.

 

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :

“ Selagi akan terjadi dan nyata pada akhir zaman empat macam di kerjakan manusia :

Pertama : orang-orang (mudah sahaja mengerjakan riba’ dan) memakan harta riba’.

Kedua : orang-orang (dengan tak merasa takut-takut) mengerjakan zina.

Ketiga : orang-orang (sering) bersumpah (walau pun palsu , tak ambil peduli)

Keempat : orang-orang (suka) mengurangkan sukatan atau timbangan (pada jual beli)

Maka apabila berlaku dan telah nyata (di lakukan orang-orang seperti di lakukan itu) akan bertebaranlah penyakit dan bala yang akan di turunkan Allah dengan perang setengah akan setengahnya.”

 

Rumah merupakan tempat pertama sesi pendidikan bermula sebelum masuknya kita ke alam persekolahan. Guru yang pertama adalah isteri kita sendiri sebab itulah wanita yang solehah merupakan asas dan tunjang utama dalam kebahagiaan anak adam kerana merekalah yang akan menjadi pendidik pertama kepada bakal-bakal da'i yang akan datang selepas kita. Kelahiran rumah yang lapang dan selesa ini akan memberi kemudahan dan ketenangan semasa proses didikan berjalan di rumah. Pendidikan kepada anak-anak khususnya, perlu kepada suasana yang tenteram dan harmoni. Dari suasana inilah yang akan membentuk jiwa dan akhlak mereka.

 

Bukan ini sahaja malahan suasana begini akan dapat mengisi ketenteraman jiwa kepada para suami setelah penat bekerja seharian suntuk mencari nafkah . Rumah yang lapang adalah rumah yang sempurna dari segi kedudukannya, kebersihannya dan kemudahan-kemudahan asas. Sebaik-baiknya eloklah seseorang itu membuat pelan rumah itu sendiri bagi menyusun sendiri struktur rumah antara ruang tamu, bilik dan sebagainya. Bilik-bilik yang asas adalah untuk ibu bapa sendiri, bilik untuk anak perempuan, bilik untuk anak lelaki, bilik pembantu rumah, bilik tetamu, bilik perpustakaan kecil dan bilik solat.

 

Untuk bilik perpustakaan kecil yang dipenuhi dengan buku-buku dan majalah-majalah Islam untuk meningkatkan ilmu syara dan ilmu waqei (realiti). Dari segi kebersihan pula sentiasa diuruskan dengan sempurna. Tidak dibiarkan kotoran dan abuk-abuk begitu saja. Dari pandangan luarnya sudah cukup menerangkan sifat dan akhlak penghuninya. Di keliling rumah ditanami sedikit bunga sebagai perhiasan, dipotong mana-mana rumput yang

panjang dan dicat sekadarnya untuk memberi pandangan luar yang lebih elok.

 

Perhiasan yang mahal-mahal dan perabut yang mewah jika boleh dikurangkan kerana sifat seorang mukmin ia tidak suka kepada kemegahan dan pembaziran. Lebih baik wang yang berlebihan disimpan untuk pendidikan anak-anak. Segala alat-alat moden yang boleh menjimatkan masa dan memudahkan kerja-kerja rumah adalah perlu digunakan sepenuhnya bergantung kepada kemampuan masing-masing, kerana dengan ini akan lebih memberi kemudahan dan keselesaan. Janganlah jadikan patung-patung manusia atau binatang menjadi perhiasan rumah. Jangan gantung gambar keluarga di dinding-dinding rumah. Malaikat rahmat tidak masuk di dalam rumah yang ada patung-patung makhluk yang bernyawa. Rumah yang lapang juga sentiasa bersedia untuk digunakan dalam rangka menjalankan aktiviti-aktiviti pengajian dan pendidikan Islam.

 

Rumah yang lapang dan selesa adalah penghuninya sentiasa membaca al-Quran, berzikir, mendirikan solat-solat  sunat dan jika berkemampuan panggil guru datang kerumah untuk mengajar anak-anak membaca al-Quran dan membuat pengajian ilmu Islam. Rumah seperti ini akan menjadikan penghuninya sentiasa tenteram dan tenang hatinya kerana malaikat rahmat akan sentiasa mengunjungi rumah tersebut.

 

Rumah yang baik juga sentiasa di datangi tetamu kerana tetamu yang hadir membawa rezeki dan bila tetamu balik dosa penghuni rumah itu akan di ampunkan oleh Allah S.W.T.

Nabi S.A.W. berwasiat kepada Sayyidina Ali k.w maksudnya :  "Wahai Ali ! Anjurkanlah berbuat baik kepada mereka yang sedang ceria wajahnya. Dan hormatilah tetamu sebab rezeki tetamu yang singgah kerumah sesaorang pun ikut singgah di situ. Dan kalau ia meninggalkan rumah itu, dosa penghuni rumah itu lenyap bersama kepergian tetamu tersebut. Lalu terhapuslah dosa-dosa itu jauh ditengah lautan."

 

"Wahai Ali ! Malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang ada lukisannya atau patung atau orang yang menyakiti kedua orang tuanya atau rumah yang tidak pernah dikunjungi tetamu."

 

Ketiga : Jiran yang baik.

 

Islam menggariskan dengan jelas mengenai tatacara hidup dengan meletakkan akhlak dan adab sebagai panduan. Tanpa akhlak yang baik, kehidupan manusia menjadi kucar-kacir. Allah Swt telah mengutuskan Nabi Muhammad Saw sebagai model terbaik dan contoh akhlak yang terpuji kepada seluruh umat Islam.

 

Orang yang beriman kepada Allah S.W.T. dan hari kiamat ialah mereka yang memuliakan jiran tetangganya. Sesiapa yang tidak menjaga hak jiran dan tidak pula berbuat baik kepada jiran mereka, maka ia sebenarnya bukanlah orang yang benar-benar beriman.

 

Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda maksudnya : "Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau dia diam. Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan jiran tetangganya. Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya."

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.)

 

Berdasarkan hadis di atas salah satu kewajipan seorang mukmin adalah menghormati jiran tetangganya. Jiran tetangga mendapat penghormatan yang besar di sisi Islam sehingga Nabi S.A.W. menyatakan bahawa sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah menghormati jira tetanggannya. Hormat menghormati, tolong menolong dan hidup berjiran yang mufakat adalah asas keimanan, kemajuan dan keharmonian sesebuah masyarakat.

 

Islam memandang berat perihal menjaga hak jiran sehingga jiran itu boleh di anggap sebagai orang yang boleh mewarisi harta. Memuliakan jiran merupakan budi pekerti yang mulia dan terpuji. Menurut Imam Nawawi, jiran ialah mereka yang tinggal berdekatan dengan rumah kita dalam lingkungan jarak 40 buah rumah, samada dari kiri atau sebelah kanan, depan mahupun dari sebelah belakang. Dalam menghayati hak-hak jiran, Islam membahagikan jiran itu kepada tiga bahagian berdasarkan hadis Nabi Saw yang bermaksud :

 

" Jiran itu ada tiga macam. Jiran yang mempunyai satu hak, jiran yang mempunyai dua hak dan jiran yang mempunyai tiga hak. Jiran yang mempunyai tiga hak ialah jiran yang muslim yang berkerabat, maka baginya hak jiran, hak muslim dan hak kerabatnya. Adapun jiran yang mempunyai dua hak ialah jiran muslim, di mana haknya ialah hak jiran dan sebagai orang muslim. Manakala jiran yang mempunyai satu hak ialah jiran dikalangan bukan Islam ".

 

 Keempat : Kenderaan yang baik.

 

Hidup di dalam dunia penuh cabaran dan cangih memiliki kenderaan adalah satu keperluan bukannya kemewahan. Kenderaan yang baik adalah kenderaan yang dibeli secara tunai, jika tidak berkemampuan hendaklah dibeli dengan mengunakan sistem pinjaman cara Islam iaitu bebas daripada sistem riba'. Jenis dan kualiti kenderaan adalah bergantung kepada kemampuan kewangan kita. Carilah kenderaan yang berkualiti dan murah penyelengaraannya.

 

Firman Allah s.w.t yang bermaksud :

“Hai orang-orang yang beriman , bertakwalah kepada Allah dan tinggalkanlah riba’ (yang belum di pungut) jika kamu orang-orang yang beriman. Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba’) maka ketahuilah , bahawa Allah dan RasulNya akan memerangimu . Dan jika kamu bertaubat (dari mengambil riba’), maka bagimu pokok hartamu, kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya.”

(Surah Al- Baqarah ayat 278-279)

 

Kenderaan yang baik adalah kenderaan yang sentiasa dijaga dengan baik dan di servis setiap kali habis tempuh perjalanan yang ditetapkan. Dipereksa tayar, bateri, lampu, brek, minyak hitam dan injen supaya kenderaan tersebut tidak membahayakan pemandu dan penumpangnya bila digunakan dijalan raya. Kita sering dengar kemalangan berlaku disebabkan kerosakkan brek atau tayar botak dan ianya akan membahayakan keselamatan terutama bila waktu hujan.

 

Selain pembelian pinjaman secara Islam , insuran untuk kenderaan juga perlulah diambil takaful (insuran Islam) supaya kita tidak terikat dengan riba' yang diharamkan oleh Allah S.W.T.

 

Kenderaan yang baik adalah kenderaan yang akan digunakan untuk mencari rezeki halal, untuk solat berjemaah dimasjid dan kuliah agama dan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti dakwah dan kerja-kerja kebajikan. Kenderaan ini juga akan menjadi saksi dihadapan Allah bahawa kita gunakan kenderaan ini untuk jalan kebaikan dan ia tidak digunakan untuk melakukan maksiat kepada Allah S.W.T.

 

 

Sahabat yang dimuliakan,

Marilah sama-sama kita memiliki dan mencari empat kebahagiaan di dunia ini  seperti yang dinyatakan hadis di atas supaya dengan kebahagiaan yang kita perolehi di dunia sebenarnya ada kaitan dengan keimanan dan kebahagiaan kita dihari akhirat, kerana dunia adalah jambatan menuju ke hari akhirat. 

 

Wanita yang baik,  rumah yang luas , jiran yang baik dan kenderaan yang baik adalah wasilah menuju ke hari akhirat. Jika ianya baik maka ianya memudahkan proses kita bertemu Allah S.W.T. Di dalam empat perkara ini yang paling penting sekali adalah perkara pertama iaitu wanita yang baik lagi solehah dan bersedia menjadi isteri dan ibu solehah. Para suami akan berada di dalam keadaan yang paling bahagia apabila memiliki isteri solehah yang bersedia bersama-sama susah hidup di dunia ini iaitu bersifat reda dan qanaah untuk mencapai kebahagiaan di hari akhirat.

0 comments:

Catat Ulasan

Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!