Oktober 23, 2020

PPj terima Anugerah AIM - Future City Awards

 

PUTRAJAYA: Perbadanan Putrajaya (PPj) melakar nama di pentas dunia apabila menerima Anugerah Annual Investment Meeting (AIM) - 'Future City Awards' di bawah kategori 'Future Government Award' bagi Sistem Pemantauan OSC 3.0 PPj.

Sistem itu berkebolehan untuk menerima, memproses, meluluskan dan memantau semua projek perancangan, pembangunan, landskap, infrastruktur, serta ubahsuai sehingga ke pengeluaran Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).

Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat, Tengku Aina Tengku Ismail Shah, berkata sistem itu dilihat sebagai cerminan ketelusan PPj dalam berurusan dengan pemegang taruh yang terbabit serta dapat mempercepatkan proses kelulusan.

Menurutnya, penganugerahan itu adalah yang pertama di peringkat antarabangsa diterima PPj bagi Sistem Pemantauan OSC 3.0.

"Beliau berkata, anugerah ini diterima atas pencapaian markah tertinggi PPj dalam penyertaan Pertandingan Inovasi Antarabangsa AIM Future Cities Award Dubai 2020.

"AIM Digital 2020 adalah ekspo digital yang dianjurkan oleh AIM, satu inisiatif daripada Kementerian Ekonomi Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk menghimpunkan komuniti pakar pelaburan global di bawah satu platform virtual.

"Anugerah diterima melalui Majlis Future Cities Award Ceremony secara maya bersempena penganjuran AIM Digital 2020 yang berlangsung dari 20 hingga 22 Oktober 2020 di Dubai," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tengku Aina berkata, Sistem Pemantauan OSC 3.0 mudah dan boleh diakses secara pangkalan web dan telefon.

Katanya, sistem itu menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan di arena tempatan seperti Anugerah Presiden di Malaysia Institute of Planners (MIP) for Planning Excellence 2018, Anugerah Emas di Regional Team Excellence 2019 oleh Malaysia Productivity Corporation, Anugerah 5 Bintang Emas di The Annual Productivity and Innovation Conference (APIC) Exposition 2019 dan Pemenang Kategori Sektor Awam di APIC 2019.

Tengku Aina berkata, sistem itu juga dapat dilihat sebagai kayu ukur kepada pembangunan Sistem OSC 3 Plus oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang diguna pakai oleh pihak berkuasa tempatan di Malaysia.

Katanya, anugerah yang diterima itu adalah satu pengiktirafan kepada usaha PPj dalam usaha memajukan Putrajaya sebagai Smart City menjelang 2025.

"Blueprint Smart City Putrajaya menggariskan 93 inisiatif pintar yang bermula sejak 2018," katanya.

Sumber : BHOnline


0 comments:

Catat Ulasan

Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!