GV7 tetap 'on', tapi tanpa penonton

 


Program realiti Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) akan diteruskan penyiarannya seperti dijadualkan tetapi tanpa kehadiran penonton susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mulai hari ini hingga 27 Oktober ini.

Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal berkata, selain tanpa kehadiran penonton, konsert minggu kedua GV7, Ahad ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) diadakan mengikut syarat Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

"Pihak Astro mengambil keputusan untuk meneruskan GV7 seperti yang dijadualkan tetapi tanpa kehadiran penonton. Dengan keputusan itu, penganjuran dua konsert mingguan yang kebetulan jatuh ketika tempoh PKPB sedang berlangsung iaitu konsert minggu kedua Ahad ini dan minggu ketiga pada 25 Oktober ini akan tetap bersiaran secara langsung dari PICC seperti biasa.

"Namun, hanya kru produksi dan tenaga kerja yang berdaftar sahaja akan dibenarkan berada di lokasi untuk mengawal jumlah bilangan kehadiran pada satu-satu masa," katanya kepada Harian Metro.

Emarina berkata, pihaknya akan membuat makluman sekiranya ada sebarang perubahan.

"Sebarang perubahan mengenai penganjuran untuk konsert minggu keempat dan seterusnya akan diumumkan dari masa ke semasa.

"Ia tertakluk kepada perkembangan situasi semasa pandemik Covid-19 serta kelonggaran yang diberikan oleh pihak berkuasa, sekiranya ada," katanya. _MyMetro



Cari monolog, puisi jiwa dan catatan hati di sini.

1 ulasan:

“Untuk anda yang singgah… tinggalkanlah jejak, tinggalkanlah yang baik-baik, walau sekecil rasa, walau sependek kata.
Kerana setiap kehadiran itu, ada makna yang tak selalu terlihat oleh mata. Dan setiap kata yang kita tinggalkan, akan kembali kepada kita dalam bentuk yang sama.”