Secawan Mi Segera, Sebuah Impian Kecil Anak-Anak
Lepas Maghrib tadi, aku singgah di sebuah 7-Eleven untuk membeli beberapa barang.
Sebaik masuk, aku perasan dua orang budak lelaki sekitar darjah 4 atau 5 sedang berbisik sambil menunjuk ke arah mi segera Samyang yang berharga RM8.70.
Mereka nampak seperti ingin membeli, tetapi hanya berdiri dan memerhati. Aku hanya perhatikan gelagat mereka.
Tidak lama kemudian, datang seorang budak bersama mak ayahnya. Mereka membeli mi dalam cawan biasa. Budak itu pergi ke tempat air panas, membuka penutup cawan, menuang air panas dan kemudian membayar di kaunter.
Dua budak tadi melihat dengan penuh perhatian. Wajah mereka nampak ceria seolah-olah baru belajar sesuatu.
Kemudian, tanpa berlengah, mereka mengambil satu cup mi Samyang, pergi ke tempat air panas, menuang air dan terus membuat bayaran.
Barulah aku faham. Rupanya mereka mungkin pertama kali membeli mi cawan di 7-Eleven. Mereka tidak tahu caranya, jadi mereka hanya memerhati orang lain terlebih dahulu. Hendak bertanya mungkin malu. Biasalah, budak kampung kadang-kadang lebih pemalu.
Aku terfikir, mungkin duit yang mereka gunakan itu adalah duit raya yang baru diterima.
Mungkin sudah lama mereka menyimpan keinginan untuk merasa makanan itu. Selama ini mungkin hanya melihat kawan-kawan makan dan mendengar cerita mereka.
Namun hendak meminta duit daripada ibu bapa mungkin bukan sesuatu yang mudah. Ada keluarga yang setiap ringgitnya perlu dikira untuk keperluan harian.
Jadi mereka menunggu sehingga ada duit sendiri. Dan hari raya menjadi saat yang mereka nantikan. Saat menerima duit raya, akhirnya impian kecil mereka tercapai.
Sebab itu aku kurang bersetuju dengan pandangan yang mengatakan tidak perlu beri duit raya kepada anak-anak.
Ramai beranggapan lebih baik beri buku, makanan, pakaian atau barang keperluan. Semua itu memang baik, tetapi kita tidak pernah tahu apa yang tersimpan dalam hati seorang kanak-kanak.
Mungkin mereka sudah lama mengidam mahu makan aiskrim, membeli pakaian yang mereka suka, mendapatkan kasut idaman atau merasai sesuatu yang kawan-kawan mereka pernah nikmati.
Bagi sesetengah keluarga, perkara kecil seperti itu mungkin sukar dicapai. Duit raya memberi mereka peluang untuk merasai kegembiraan memiliki sesuatu dengan hasil sendiri.
Kita mungkin pernah berada di tempat mereka suatu ketika dahulu.
Bagi yang membesar dalam kesenangan, mungkin sukar memahami kisah sebegini. Tetapi apabila tiba hari raya, hulurkanlah duit raya kepada anak-anak yang datang berkunjung.
Kadang-kadang duit itu bukan sahaja untuk mereka. Ada ibu bapa di rumah yang mengharapkan anak pulang membawa sedikit rezeki untuk membantu keluarga.
Ini adalah cerita kehidupan golongan biasa. Cerita yang tidak semua orang nampak.
Begitulah kisah kecil yang mengajar kita tentang syukur, sabar dan makna sebenar sebuah pemberian.
Kredit: Mohd Fadli Salleh