Pages

Pengakuan

Jun 03, 2019

13 Jenis Kod Kecemasan Hospital Di Malaysia

13 Jenis Kod Kecemasan Hospital Di Malaysia

“Code blue! Code blue!” teriak jururawat. Maka berpusu-pusulah segala anggota kesihatan meluru segera kearah jururawat tersebut sambil menolak troli kecemasan. Ada yang terus memulakan CPR, ada yang sedang menarik keluar IV Adrenaline, ada yang mengaktifkan monitor kecemasan.

Hanya dengan satu laungan sahaja, setiap anggota kesihatan disitu sudah tahu apa yang perlu dilakukan.

Emergency codes, atau kod-kod kecemasan adalah suatu sistem pengkelasan kecemasan yang dipraktikkan di setiap institusi kesihatan diseluruh dunia. Kod ini digunakan untuk memberi notifikasi kepada semua warga kesihatan berkenaan kes-kes kecemasan yang dialami.

Kod ini lazimnya diklasifikasi menggunakan spektrum warna yang pelbagai sebagai penanda bagi kes-kes kecemasan yang dinyatakan.

Artikel ini menerangkan tentang kod-kod yang lazim digunakan kakitangan kesihatan di hospital dan perlu diingatkan, setiap hospital mempunyai polisi dan warna kod kecemasan yang berbeza.

Thread ini adalah sebagai satu garis panduan ringkas dan hanya melibatkan hospital sahaja. Perbezaan kod antara hospital dan negara perlu dikenalpasti terlebih dahulu.

1. KOD MERAH (CODE RED)

Kod merah lazimnya digunakan untuk kes kecemasan yang melibatkan kebakaran, sama ada kebakaran harta, bangunan, kenderaan, alatan atau lain-lain perkara didalam kawasan institusi (hospital) terbabit.

Pemindahan pesakit, wargakerja dan alatan penting akan dilakukan mengikut latihan kebakaran yang telah ditetapkan. Notifikasi kepada pihak bomba dan penyelamat akan dilakukan serentak.

2. KOD BIRU (CODE BLUE)

Kod biru adalah kod yang diaktifkan apabila terdapat kecemasan pada individu yang melibatkan bidang perubatan (medical emergency), lazimnya berkenaan dengan cardiac arrest dan respiratory arrest.

Algorithm BLS dan ALS (cardiopulmonary resuscitation, defibrillation, dsb) akan dimulakan serta merta terhadap pesakit yang terlibat mengikut keperluan dan keadaan pesakit.

Setiap hospital telahpun mempunyai kumpulan tersendiri (mengikut tempat) yang bertanggungjawab menguruskan kod biru seandainya ianya terjadi diluar kawasan wad.

3. KOD JINGGA (CODE ORANGE)

Kod jingga pulang adalah kod yang digunakan untuk keselamatan orang awam tatkala berlaku bencana diluar atau didalam kawasan hospital, contohnya gempa bumi, banjir, kapal terbang terhempas, kemalangan besar jalan raya, dan sebagainya.

4. KOD PERANG (CODE BROWN)

Kod perang adalah kod yang dikeluarkan apabila terdapat sebarang tumpahan atau pendedahan bahan-bahan berhazad, tercemar dan radioaktif seperti gas, racun, merkuri dan lain-lain yang boleh menyebabkan jangkitan, keracunan, kecacatan malah kematian jika terdedah.

Kod ini juga barangkali melibatkan risiko bioterrorism dan hazmat.

5. KOD GREEN (CODE HIJAU)

Kod hijau digunakan sewaktu berlakunya kecemasan yang melibatkan keselamatan banyak nyawa dan memerlukan pemindahan semua wargakerja serta pesakit di kawasan hospital ke tempat yang lebih selamat.

6. KOD HITAM (CODE BLACK)

Kod hitam diaktifkan apabila terdapat sebarang tanda, amaran atau risiko yang melibatkan bahan letupan dan keganasan teroris, objek dikhuatiri bahaya atau lebih mudah, “bomb, terrorism and suspicious package threat”.

7. KOD PUTIH (CODE WHITE)

Kod putih pula adalah kod untuk kes kecemasan kekasaran yang melibatkan tebusan dihospital, sama ada melibatkan satu individu atau beberapa orang.

8. KOD PERAK (CODE SILVER)

Kod perak adalah kod untuk kes yang melibatkan kekasaran seseorang terhadap orang lain, lazimnya terhadap wargakerja hospital, yang kadangkala melibatkan senjata merbahaya seperti pisau, parang, pistol.

Kod ini diaktifkan untuk memberi perlindungan keselamatan (security) terhadap si mangsa.

9. KOD MERAH JAMBU (CODE PINK)

Kod merah jambu adalah kod yang diaktifkan apabila berlakunya kehilangan atau penculikan kanak-kanak atau bayi (missing infant or abduction).

10. KOD KUNING (CODE YELLOW)

Kod kuning ini diaktifkan apabila terdapat kes kehilangan pesakit di hospital, sama ada dengan niat melarikan diri, atau hilang disebabkan ketidakupayaan mental atau diculik, dibawa lari.

Kod ini akan menyebabkan pemeriksaan keluar masuk individu dari hospital dilakukan dan jika perlu, penutupan keluar masuk (lockdown) hospital akan dijalankan.

11. KOD AQUA (CODE AQUA)

Kod aqua hanya diaktifkan apabila berlakunya banjir didalam kawasan hospital sama ada secara semula jadi (hujan, banjir kilat, dll) atau kerosakan dalaman (paip pecah, kebocoran dll).

12. KOD KELABU (CODE GREY)

Kod kelabu ini diaktifkan apabila terdapat kerosakan teruk terhadap sistem, infrastruktur atau peralatan hospital secara besar-besaran yang menjejaskan fungsinya.

Kod ini juga digunakan untuk pengasingan udara (air exclusion) kawasan tertentu.

13. KOD JERNIH/SELESAI (CODE CLEAR)

Kod ini adalah kod yang digunakan selepas sesuatu kod yang dikeluarkan terlebih dahulu telahpun selesai atau dinyahaktifkan.

Semoga memberi manfaat.

Sumber

0 comments:

Catat Ulasan

Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!