Jun 09, 2019

Liang kubur arwah nyaman, selesa

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (kiri) hadir di majlis pengebumian Ustaz Ku Yaakob Ku Hashim yang meninggal dunia dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Bukhory, Jalan Langgar. NSTP/Ihsan Pembaca

'Liang kubur arwah nyaman, selesa'

ALOR SETAR: “Mereka yang menggali liang kubur Allahyarham berasa seolah-olah berada dalam ruang sejuk nyaman dengan pendingin hawa dan selesa.”

Kisah itu dikongsi Nasir Abas, 64, jiran kepada khatib, Ku Yaakob Ku Hasim yang meninggal dunia ketika membaca khutbah, semalam (7 JUN 2019).

Nasir berkata, Allahyarham dikenali sebagai insan baik dan rajin, selain paling disegani di kawasan perumahan di Taman Mutiara, Jalan Sultanah, di sini.

“Saya tidak sempat beraya dengan arwah tapi ada berjumpa ketika solat Jumaat semalam.

“Kebetulan saya berada di saf hadapan dan mendengar khutbah disampaikan sebelum arwah tiba-tiba rebah.

“Kami sedih apabila dimaklumkan arwah meninggal dunia selepas itu, namun perginya dengan cara mulia di rumah Allah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nasir yang juga Imam Surau Al Hijrah, Kuala Kedah, sudah lama mengenali Ku Yaacob kerana anak mereka berkawan baik sejak sekolah.

Ghozali Omar, 53, berkata wajah sepupunya itu berseri ketika dikafankan.

“Kematiannya mendapat liputan meluas dan ramai yang mendoakan rohnya dicucuri rahmat Allah, termasuk mereka yang tidak mengenalinya.

“Allahyarham mempunyai penyakit kencing manis dan mungkin terkena serangan jantung ketika meninggal dunia,” katanya.

Jenazah Ku Yaakob dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Bukhory, Jalan Langgar pada jam 6 petang semalam.

Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, serta Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadhil Awang, turut menghadiri pengebumian.

Usaha menemubual ahli keluarga Allahyarham di rumahnya gagal kerana masih bersedih dengan kejadian itu.

Ku Yaakob meninggal dunia selepas rebah ketika menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Al Bukhary, di sini, tengah hari, semalam.

Allahyarham dibantu jemaah masjid yang juga seorang doktor dan dihantar ke hospital dengan ambulans sebelum disahkan meninggal dunia.

BHONLINE

0 comments:

Catat Ulasan

Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Pengikut