Julai 25, 2021

Soalan Lazim App MySejahtera



Soalan Lazim AppMySejahtera

  1. Apakah aplikasi MySejahtera?

    MySejahtera merupakan aplikasi yang dibangunkan oleh Kerajaan Malaysia untuk membantu dalam pengawasan penularan wabak COVID-19 di dalam negara dengan membolehkan pengguna melaksanakan penilaian kesihatan kendiri. Pada masa yang sama, ia membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapat maklumat awal untuk mengambil tindakan yang cepat dan berkesan.

    Aplikasi MySejahtera memberikan kemudahan untuk:

    • Membantu Kerajaan dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan seterusnya menangani wabak COVID-19
    • Membantu individu mengenal pasti tahap kesihatan mereka sepanjang penularan wabak COVID-19
    • Membantu individu mendapatkan bantuan kesihatan dan tindakan yang perlu diambil jika dijangkiti COVID-19
    • Membantu individu mengenal pasti hospital dan klinik terdekat untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan COVID-19.

  2. Siapakah peneraju aplikasi MySejahtera??

    Aplikasi MySejahtera dibangunkan melalui kerjasama strategik antara Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

  3. Siapakah pengguna aplikasi MySejahtera?

    Terdapat dua kategori pengguna aplikasi iaitu:

    • Rakyat Malaysia dan warga asing yang menetap di Malaysia
    • Pentadbir aplikasi di KKM

  4. Apakah undang-undang yang berkaitan dengan pelaksanaan aplikasi MySejahtera?

    Aplikasi MySejahtera dibangunkan untuk menyokong pelaksanaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342].

    Mengemukakan maklumat palsu adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 22 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].

  5. Bagaimana maklumat yang saya kemukakan melalui aplikasi ini dapat membantu Kerajaan menangani penularan wabak COVID-19 di Malaysia?

    Pada dasarnya, maklumat yang dikemukakan akan digunakan untuk membantu KKM merancang dan melaksanakan tindakan yang sewajarnya. Oleh itu, sila bersikap jujur semasa menghantar maklumat anda bagi membantu KKM memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

  6. Apakah keperluan minimum peranti untuk menggunakan aplikasi MySejahtera?

    • Telefon pintar dengan sistem pengoperasian Android 4.4 ke atas atau iOS 12 ke atas.
    • Sambungan internet
    • Boleh menerima SMS bagi proses penghantaran One-Time-Pin (OTP).

  7. Di mana saya boleh muat turun aplikasi MySejahtera?

    Aplikasi MySejahtera boleh dimuat turun dari Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia (GAMMA), Apple App Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery.

  8. Adakah saya perlu membayar untuk muat turun aplikasi MySejahtera?

    Aplikasi MySejahtera adalah PERCUMA.

  9. Bagaimanakah proses pendaftaran sebagai pengguna aplikasi ini?

    Untuk mendaftar, ikuti langkah-langkah berikut:

    • Langkah 1: Muat turun dan pasang aplikasi MySejahtera daripada Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia (GAMMA), Apple AppStore, Google Play Store atau Huawei AppGallery
    • Langkah 2: Tekan butang "Daftar Di Sini" untuk mendaftar pengguna baharu
    • Langkah 3: Masukkan nombor telefon bimbit dan klik "Daftar" atau klik pautan "Saya ingin menggunakan e-mel untuk mendaftar" (jika ingin mendaftar menggunakan e-mel)
    • Langkah 4: Anda akan menerima OTP melalui SMS daripada 63839 (jika mendaftar menggunakan nombor telefon) atau pautan pengesahan pendaftaran melalui e-mel (jika mendaftar menggunakan e-mel)
    • Langkah 5: Masukkan OTP yang diterima dan tekan "Hantar" (jika mendaftar menggunakan nombor telefon) atau klik pada pautan dalam emel (jika mendaftar menggunakan e-mel)
    • Langkah 6: Masukkan butiran pendaftaran seperti arahan di skrin dan tekan butang "Sahkan"
    • Langkah 7: Anda akan mendapat mesej "Pendaftaran Berjaya". Klik pada link "Tutup" di bahagian bawah skrin untuk kembali ke laman Log Masuk
    • Langkah 8: Masukkan ID Pengguna (nombor telefon atau e-mel) dan kata laluan anda dan klik "Log Masuk"
    • Tahniah! Anda berjaya mendaftar sebagai pengguna.

  10. Bolehkah saya mendaftarkan ahli keluarga atau individu lain yang tinggal bersama saya?

    Anda BOLEH mendaftarkan maklumat berhubung ahli keluarga atau individu lain yang tidak mempunyai nombor telefon atau akses kepada telefon pintar melalui fungsi "Urus Tanggungan" di dalam aplikasi ini. Aplikasi ini akan turut membantu anda memantau tahap kesihatan mereka.

  11. Apakah jenis klasifikasi tahap kesihatan yang dinyatakan dalam aplikasi MySejahtera?

    Setelah melengkapkan penilaian kesihatan kendiri, status kesihatan anda akan diklasifikasikan sebagai salah satu klasifikasi berikut:

    #Klasifikasi Penerangan
    1Low RiskIndividu yang mempunyai risiko rendah terhadap jangkitan COVID-19.
    2Casual ContactIndividu yang berkemungkinan terdedah kepada individu lain yang dijangkiti COVID-19.
    3Close ContactIndividu yang telah dikenal pasti terdedah kepada individu lain yang dijangkiti COVID-19. Ini termasuk:
    • Pekerja kesihatan yang terdedah kepada COVID-19 (termasuk memberi rawatan secara langsung kepada pesakit COVID-19 tanpa menggunakan PPE, bekerja dengan pekerja kesihatan yang terjangkit dengan COVID-19, menziarahi pesakit atau tinggal bersama pesakit COVID-19)
    • Bekerja bersama-sama atau berada dalam bilik yang sama dengan pesakit COVID-19
    • Mengembara bersama pesakit COVID-19
    • Tinggal di rumah bersama-sama pesakit COVID-19
    4Person Under Surveillance (PUS)Individu yang mempunyai risiko mendapat jangkitan COVID-19. Contoh: individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dalam tempoh 14 hari.
    5Kes SuspekIndividu yang mempunyai risiko mendapat jangkitan COVID-19, seperti individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara atau yang pernah menghadiri perhimpunan ramai (mass gathering) dalam tempoh 14 hari sebelum kemunculan simptom.
    6Confirmed CaseIndividu yang telah diuji positif COVID-19.

  12. Bagaimanakah saya boleh mendapatkan bantuan teknikal sekiranya menghadapi masalah semasa menggunakan aplikasi MySejahtera?

    Anda boleh mendapatkan bantuan melalui fungsi "MySejahtera Helpdesk" dalam aplikasi MySejahtera.

  13. Adakah maklumat peribadi saya yang dimasukkan dalam aplikasi ini selamat?

    Aplikasi ini dimiliki oleh Kerajaan Malaysia dan diuruskan oleh KKM sebagai pentadbir aplikasi dengan dibantu oleh MKN dan MAMPU. Kerajaan memberi jaminan bahawa maklumat peribadi anda akan digunakan bagi tujuan pemantauan dan pencegahan wabak COVID-19 sahaja. Maklumat peribadi anda tidak akan dikongsi atau diberikan kepada mana-mana pihak yang lain.

  14. Sekiranya saya dikenal pasti sebagai pesakit COVID-19, adakah identiti saya akan dilindungi?

    Semua maklumat pesakit COVID-19 adalah terpelihara di bawah kerahsiaan maklumat rekod perubatan.

0 comments:

Catat Ulasan

Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!