Memaparkan catatan dengan label Realiti Kehidupan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Realiti Kehidupan. Papar semua catatan

Gaji Masuk Setiap Bulan, Tetapi Duit Sudah Ada Pemiliknya

Gaji Masuk Setiap Bulan, Tetapi Duit Sudah Ada Pemiliknya | #JMBELOG

Gaji Masuk Setiap Bulan, Tetapi Duit Sudah Ada Pemiliknya

Penulis: #JMBELOG

Setiap kali tiba hujung bulan, ramai antara kita mempunyai satu rutin yang sama. Membuka aplikasi perbankan, menyemak baki akaun dan melihat sama ada gaji sudah dikreditkan.

Ada yang tersenyum apabila melihat angka gaji masuk. Namun, senyuman itu mungkin tidak bertahan lama.

Bukan kerana tidak bersyukur, tetapi kerana sebelum gaji diterima, kita sudah tahu ke mana wang itu akan pergi.

Ansuran kereta atau motosikal, sewa rumah, bil elektrik, bil air, bayaran pinjaman, hutang kad kredit, perbelanjaan dapur, keperluan anak-anak dan pelbagai lagi komitmen yang perlu diselesaikan.

Belum sempat menikmati hasil penat lelah bekerja selama sebulan, sebahagian besar wang sudah pun mempunyai tujuan masing-masing.

Gaji Masuk, Tetapi Belum Tentu Ada Duit Lebih

Kadang-kadang kita melihat seseorang menerima gaji yang agak besar. Dari luar, mungkin kita menganggap kehidupannya selesa dan tidak mempunyai masalah kewangan.

Namun, kita tidak pernah benar-benar tahu apa yang berlaku di sebalik angka dalam slip gajinya.

Mungkin dia perlu menanggung ibu bapa yang sudah tua. Mungkin ada anak-anak yang masih bersekolah. Mungkin pasangan tidak bekerja. Mungkin juga dia sedang berusaha melangsaikan hutang yang sudah lama membebankan kehidupan.

Gaji yang kelihatan besar pada mata orang lain belum tentu memberikan ruang kewangan yang luas kepada penerimanya.

Setiap Ringgit Sudah Ada Tanggungjawab

Ada orang menerima gaji, kemudian terus membahagikannya mengikut keperluan.

Sebahagiannya untuk tempat tinggal, sebahagiannya untuk pengangkutan, sebahagiannya untuk keluarga dan selebihnya untuk membayar komitmen yang tidak boleh ditangguhkan.

Kadangkala, wang yang tinggal hanya cukup untuk bertahan sehingga hujung bulan.

Lebih menyedihkan apabila berlaku perkara yang tidak dijangka seperti kenderaan rosak, anak jatuh sakit atau keperluan kecemasan keluarga.

Ketika itulah seseorang mula berkira-kira, mengeluarkan simpanan yang ada atau mencari jalan untuk mencukupkan perbelanjaan.

Bukan kerana tidak pandai mengurus wang, tetapi ada masanya pendapatan yang diterima memang terlalu rapat dengan jumlah tanggungan dan komitmen.

Jangan Terlalu Cepat Menilai Kehidupan Orang Lain

Kita mungkin melihat seseorang masih mampu membeli makanan, menggunakan telefon yang baik atau memandu kenderaan sendiri.

Tetapi kita tidak tahu berapa banyak pengorbanan yang perlu dilakukan untuk memastikan semuanya berjalan seperti biasa.

Ada yang diam bukan kerana hidupnya mudah. Ada yang tersenyum bukan kerana tidak mempunyai masalah.

Mereka cuma sudah terbiasa menyimpan kerisauan sendiri kerana masih ada orang lain yang perlu mereka fikirkan.

Sebab itulah kita perlu berhati-hati sebelum menganggap seseorang itu senang hanya kerana jumlah gajinya kelihatan besar.

Bersyukur, Tetapi Jangan Abaikan Diri Sendiri

Walau sesukar mana keadaan kewangan, bersyukur tetap penting. Namun, dalam masa yang sama, kita juga perlu berusaha memperbaiki kedudukan kewangan sedikit demi sedikit.

Jika ada ruang, mulakan dengan mencatat perbelanjaan, menyusun keutamaan, mengurangkan komitmen yang tidak perlu dan menyediakan simpanan kecemasan walaupun dalam jumlah kecil.

Tidak perlu membandingkan kehidupan sendiri dengan orang lain.

Setiap orang mempunyai perjalanan, tanggungjawab dan ujian kewangan yang berbeza.

Penutup

Akhirnya, kita perlu memahami bahawa gaji seseorang bukan sekadar angka yang tertera pada slip gaji.

Di sebalik angka itu mungkin ada sebuah keluarga yang perlu disara, ibu bapa yang perlu dibantu, anak-anak yang memerlukan perhatian dan hutang yang perlu dilunaskan.

Ada orang menunggu gaji masuk dengan penuh harapan, tetapi pada masa yang sama sudah bersedia melihat wang itu keluar semula untuk memenuhi tanggungjawab.

Mungkin bagi sesetengah orang, hari gaji ialah hari untuk meraikan hasil kerja.

Tetapi bagi sebahagian yang lain, hari gaji hanyalah hari untuk memastikan kehidupan dapat diteruskan sehingga bulan berikutnya.

Kerana tidak semua orang yang bergaji besar itu hidup senang, dan tidak semua orang yang kelihatan tenang itu bebas daripada beban kewangan.
— #JMBELOG

Bukan Tak Nak Senyum, Tapi Kesakitan Mengatasi Segalanya

Bukan Tak Nak Senyum, Tapi Kesakitan Mengatasi Segalanya | #JMBELOG

Bukan Tak Nak Senyum, Tapi Kesakitan Mengatasi Segalanya

#JMBELOG

Bukan tak senyum... cuma ada ketika kesakitan yang dirasakan terlalu berat sehingga senyuman pun terasa begitu sukar untuk diberikan.

Orang nampak kita masih mampu berjalan. Masih mampu bekerja. Masih mampu bercakap dan bergurau seperti biasa.

Tapi mereka tidak tahu, berapa banyak perkara yang sedang kita simpan jauh di dalam hati.

Ada malam kita termenung sendirian. Cuba mencari sedikit kekuatan untuk menghadapi hari esok. Ada ketika air mata jatuh tanpa sesiapa tahu.

Bukan kerana kita lemah... tetapi kerana kita sudah terlalu lama berpura-pura kuat.

"Terpaksa kuat demi kelangsungan hidup."

Hakikatnya, ada hari kita rasa mahu mengalah. Mahu berhenti seketika. Mahu melepaskan segala-galanya dan berkata, "Aku dah tak mampu."

Tetapi hidup tidak pernah berhenti hanya kerana kita penat.

Komitmen masih meninggi. Bil masih perlu dibayar. Tanggungjawab masih perlu dipikul. Ada perkara yang masih perlu diselesaikan. Ada orang yang masih mengharapkan kita.

Sebab itulah kita bangun juga.

Walaupun hati berat, kita terus melangkah.

Walaupun jiwa terluka, kita cuba tersenyum.

Walaupun tubuh dan fikiran sudah meminta untuk berehat, kita tetap gagahkan diri.

Kadang-kadang orang bertanya, "Kenapa masih boleh senyum?"

Mereka tidak tahu... senyuman itu mungkin satu-satunya cara untuk kita menyembunyikan betapa penatnya diri ini.

Bukan aku tidak pernah rasa mahu mengalah. Aku juga manusia. Aku juga ada batas. Aku juga ada hari di mana hati terasa terlalu berat.

Cuma aku belum boleh berhenti.

Masih ada tanggungjawab yang perlu diselesaikan. Masih ada komitmen yang perlu ditunaikan. Masih ada kehidupan yang perlu diteruskan.

Jadi untuk hari ini, aku pilih untuk bertahan.

Bukan kerana aku kuat sangat... tetapi kerana aku tidak mempunyai banyak pilihan.

Dan kalau suatu hari nanti aku kelihatan diam, tidak banyak bercakap, atau senyumku tidak seperti biasa, jangan terus anggap aku berubah.

Mungkin ketika itu aku sedang berperang dengan sesuatu yang tidak mampu aku ceritakan.

Mungkin aku cuma sedang mengumpul sedikit kekuatan untuk terus menjalani hidup.

Bukan tak senyum,
tapi kesakitan mengatasi segalanya.

Bukan tak mahu mengalah,
cuma komitmen masih meninggi.

Dan selagi masih ada tanggungjawab yang perlu ditunaikan,
aku akan cuba kuat walaupun hati sudah hampir rebah.

Semoga suatu hari nanti, segala penat ini digantikan dengan ketenangan.

Semoga segala air mata yang jatuh dalam diam menjadi saksi bahawa aku pernah berjuang sehabis daya.

Dan semoga aku tidak lupa... bahawa bertahan juga merupakan satu bentuk keberanian.

Catatan: Untuk mereka yang sedang bertahan dalam diam. Semoga dipermudahkan segala urusan dan diberikan kekuatan untuk melalui setiap ujian kehidupan.

© #JMBELOG

Bukan Sebab Nak Tunjuk Hidup, Kadang-Kadang Kita Cuma Suka Berkongsi

Bukan Sebab Nak Tunjuk Hidup, Kadang-Kadang Kita Cuma Suka Berkongsi

Orang yang suka update Story atau Status, bukan semestinya sebab nak tunjuk dia sedang bahagia, nak menunjuk kehidupan, atau terlalu berharap orang lain mengambil tahu tentang dirinya.

Kadang-kadang, status itu cuma menjadi peneman ketika bosan.

Tak ada orang komen pun tak mengapa.
Tak ada orang like pun tak kisah.

Janji bila dia tengok balik status yang dia sendiri buat, dia rasa puas.

“Kadang bukan pasal diri sendiri pun.”

Kadang-kadang kita upload sebab terbaca kata-kata yang best.

Kadang sebab terdengar lagu yang sedang trending.

Ada pula lagu yang kita ulang berkali-kali. Bukan sebab tak ada lagu lain, tetapi sebab feeling pada lagu itu masih belum habis.

Hari ini kita post.
Esok kita post lagi.

Bukan bermaksud kita tiada kehidupan di luar telefon. Bukan juga bermaksud kita terlalu mengharapkan perhatian.

Mungkin itu cuma cara kecil seseorang untuk menghiburkan dirinya sendiri.

Jadi, kalau ada orang yang kerap update Story atau Status, jangan cepat sangat menghukum.

Kita tak pernah tahu apa yang sedang dia lalui di sebalik satu status yang dia kongsikan.

Dan kalau kita sendiri rasa meluat melihatnya, tak mengapa.

Tak perlu marah.
Tak perlu sindir.
Tak perlu cari salah.

Tekan sahaja BLOCK. 😌

Selesai.


Kita tak perlu faham semua perkara tentang hidup orang lain.
Cukuplah belajar untuk tidak terlalu cepat membuat andaian.

#JMBELOG

Dah Tak Rapat Dengan Dia Ke?

Dulu Rapat, Sekarang Jadi Stranger — Begitulah Hidup

Dah Tak Rapat Dengan Dia Ke?

#JMBELOG · Kisah Kehidupan & Renungan

Pernah tak kita terfikir tentang seseorang yang suatu ketika dahulu begitu rapat dengan kita… tetapi hari ini, nak bertanya khabar pun terasa janggal?

Dulu kita rapat sangat. Apa-apa pun nak cerita. Hal kecil, hal besar, benda yang tak penting pun boleh jadi bahan untuk bersembang berjam-jam.

Kita tahu cerita hidup masing-masing. Kita tahu apa yang dia suka, apa yang dia tak suka, apa yang membuatkan dia ketawa dan apa yang pernah membuatkan dia menangis.

Tetapi masa berlalu.

Entah bila semuanya mula berubah. Mungkin kerana masing-masing semakin sibuk. Mungkin kerana kehidupan membawa kita ke arah yang berbeza. Atau mungkin memang sudah sampai waktunya hubungan itu berhenti pada satu titik tertentu.

Yang paling menyedihkan ialah apabila kita tersedar bahawa orang yang dulu paling kita kenal, kini terasa seperti orang asing.

"Dulu kita rapat sangat, tapi sekarang dah tak macam dulu. Sekarang kita macam tak kenal satu sama lain. Sedih bila teringat yang dulu kita rapat, tapi sekarang dah jadi stranger."

Kadang-kadang kita fikir semua hubungan yang baik akan kekal. Rupanya tidak.

Dalam hidup ini, kita akan bertemu ramai orang. Ada yang datang ketika kita sedang bahagia. Ada yang hadir ketika kita sedang jatuh. Ada yang menemani kita bertahun-tahun. Dan ada juga yang hanya berjalan bersama kita untuk satu tempoh.

Dulu mungkin kita serapat Maghrib dan Isyak. Hampir setiap hari bersama. Hampir setiap cerita dikongsi.

Tetapi akhirnya, kita boleh menjadi sejauh Isyak dan Subuh.

Bukan kerana kita membenci mereka. Bukan juga kerana mereka tidak pernah bermakna.

Tetapi kerana kehidupan mempunyai cara tersendiri untuk mengubah jarak antara manusia.

Jadi, kalau hari ini ada seseorang yang sudah tidak serapat dulu, jangan terlalu menyalahkan diri sendiri.

Hargailah apa yang pernah ada. Simpanlah kenangan yang baik. Dan lepaskan apa yang memang sudah tidak mampu kita pertahankan.

Mungkin mereka bukan ditakdirkan untuk kekal sepanjang hidup kita. Mungkin mereka hanya ditakdirkan untuk menjadi sebahagian daripada satu bab dalam perjalanan hidup kita.

Dan apabila suatu hari nanti kita teringat kembali, semoga kita mampu tersenyum lalu berkata:

"Terima kasih pernah menjadi sebahagian daripada hidup aku. Terima kasih untuk semua kenangan. Semoga kau baik-baik saja, walaupun bukan lagi bersama aku."

Kerana ada orang hadir sebagai rumah. Ada yang hadir sebagai persinggahan. Dan ada yang hadir hanya untuk mengajar kita bahawa tidak semua yang dekat akan kekal.

Diam Bukan Bererti Tiada Apa-Apa

Diam Bukan Bererti Tiada Apa-Apa

Terlihat diam, seperti tiada apa-apa.

Senyum masih ada.
Kerja masih dilakukan.
Arahan masih diikuti.
Kalau diminta buat apa-apa, tetap cuba buat sebaik mungkin — never say no.

Tapi tiada siapa tahu apa yang sebenarnya bermain di fikiran, siang dan malam.

Ada masa, diri sendiri pun tak tahu bagaimana mahu menjelaskan rasa. Penat yang disimpan, fikiran yang berserabut, tubuh yang kadang-kadang tidak mampu memberikan yang terbaik seperti yang diharapkan.

Aku sedar, aku tidak sempurna.

Kadang-kadang tersalah kata.
Kadang-kadang terkasar bahasa.
Kadang-kadang lambat melakukan sesuatu.
Kadang-kadang mungkin ada kekurangan yang orang lain nampak, tetapi aku sendiri sedang cuba sedaya upaya untuk memperbaikinya.

Jika pernah ada kata-kataku yang mengguris hati, jika pernah ada bahasa yang membuat sesiapa terasa hati… aku minta maaf.

Bukan sengaja mahu menyusahkan sesiapa.

Cuma ada ketika aku sendiri sedang berusaha untuk tidak menjadi beban kepada orang lain, walaupun keadaan diri dan kesihatan tidak berapa baik.

Aku tidak pernah meminta simpati.

Tak perlu kasihan.
Tak perlu tahu apa yang aku tanggung.

Cukuplah faham bahawa di sebalik diam itu, ada seseorang yang sedang cuba bertahan.

Tetap datang.
Tetap buat kerja.
Tetap dengar arahan.
Tetap cuba membantu.
Tetap berkata “boleh” walaupun dalam hati sebenarnya sudah terlalu penat.

Sebab aku tidak pandai berkata “tidak.”

Dan mungkin itulah yang orang nampak sebagai kuat.

Sedangkan hakikatnya…

Aku cuma sudah terlalu biasa menyembunyikan lelah sendiri supaya orang lain tidak perlu risau.

Diam bukan bererti tiada apa-apa.
Kadang-kadang diam itu tanda seseorang sedang berperang dengan dirinya sendiri.

— #JMBELOG

Rezeki dan Ujian Manusia

Rezeki dan Ujian Manusia

"Bukan semua yang berubah kerana harta, kadang-kadang yang berubah adalah cara manusia melihat sesama manusia."

Ada yang diuji dengan kekurangan, lalu belajar erti syukur.
Ada yang diuji dengan kelebihan, lalu terlupa untuk bersyukur.
Dan di antara kedua-duanya, manusia sedang belajar mengenali dirinya sendiri.

Kerana duit menjadi kita kawan,
kerana duit membuat kita jadi lawan.

Di antara dua ayat itu, tersimpan seribu satu kisah manusia. Ada yang datang ketika kita senang, duduk bersama ketika meja penuh dengan hidangan. Mereka ketawa bersama kita, berbual tanpa jemu dan kelihatan seperti sahabat yang akan kekal selamanya.

Namun hidup bukan sentiasa berada di atas. Ada waktu rezeki menjadi sempit, langkah terasa berat dan hati mula diuji dengan pelbagai kesusahan. Ketika itulah kita mula melihat wajah sebenar manusia yang berada di sekeliling.

Ada yang masih setia bertanya khabar walaupun kita tidak lagi mempunyai apa-apa untuk ditawarkan. Ada yang masih hadir walaupun tangan kita kosong. Mereka tidak datang kerana nilai yang ada pada kita, tetapi kerana nilai yang ada dalam hati mereka.

Dan ada juga yang perlahan-lahan menjauh. Bukan kerana pergaduhan. Bukan kerana kebencian. Tetapi kerana hubungan yang dibina terlalu bergantung kepada kepentingan. Apabila kepentingan itu hilang, hubungan itu turut pudar.

Duit sebenarnya tidak pernah salah. Ia hanyalah alat. Seperti pisau yang boleh digunakan untuk menyediakan makanan atau melukakan seseorang. Yang menentukan baik atau buruk bukan alat itu, tetapi tangan yang memegangnya dan hati yang mengawalnya.

Sebab itu ada orang yang semakin kaya, semakin merendah diri. Dan ada orang yang semakin berharta, semakin tinggi pandangan terhadap dirinya. Begitu juga ada yang semakin susah, semakin kuat jiwanya. Dan ada yang semakin susah, semakin hilang arah kehidupannya.

Rezeki adalah ujian. Kekurangan juga ujian. Kedua-duanya mengajar manusia tentang siapa dirinya yang sebenar.

Akhirnya kita belajar bahawa bukan semua persahabatan dibina oleh rezeki. Dan bukan semua perpisahan lahir daripada kebencian. Kadang-kadang ia lahir daripada cara manusia menghadapi ujian yang berbeza.

Yang kekal bukan kerana duit.
Yang kekal bukan kerana harta.

Tetapi kerana hati yang tahu menghargai manusia, walaupun ketika tiada apa-apa yang boleh diperoleh daripadanya.
🌿 Monolog Jiwa • Refleksi Jiwa • #JMBELOG 🌿
"Setiap sunyi punya suara. Setiap jiwa punya cerita."