Pages

Februari 06, 2020

Apa itu Kilometer Sifar?

Apa itu kilometer sifar?

Seperti namanya sendiri, ia bermaksud titik permulaan jarak bagi sesebuah bandar atau jalan raya. Dengan kata lain, itulah titik pusat bandar utama bagi sesebuah bandar.

Terdapat tiga jenis utama kilometer sifar, iaitu kilometer sifar bandar, kilometer sifar jalan dan kilometer sifar negara. Kilometer sifar bandar ialah titik khas di pusat bandar di mana jarak sesebuah bandar dikira. Dalam pengukuran jarak sesebuah bandar di Malaysia, biasanya pejabat pos dijadikan sebagai titik kilometer sifar bagi sesebuah bandar. Namun demikian, Kota Kinabalu adalah satu-satunya bandar di mana kilometer sifarnya tidak terletak di pejabat pos, sebaliknya Kilometer Sifar Kota Kinabalu terletak di perkarangan bangunan Lembaga Pelancongan Sabah di mana satu monumen khas Kilometer Sifar KK dibina, pertama kali seumpamanya di Malaysia.

Kilometer sifar jalan pula ialah titik di mana sesebuah laluan jalan raya bermula, biasanya di persimpangan pangkal di mana ia bertemu dengan laluan lain. Ia ditandakan dengan batu penanda jarak biasa di mana kilometer seksyen (nombor berwarna hitam yang terletak di bahagian paling bawah batu penanda jarak) menunjukkan angka sifar (jika ada).

Kilometer sifar negara pula ialah titik pangkal utama bagi rangkaian jalan raya di sesebuah negara, biasanya ibu negara. Misanya, Kilometer Sifar bagi Jepun ialah di Jambatan Nihonbashi di Tokyo, manakala Kilometer Sifar bagi Perancis ialah di perkarangan bangunan gereja Notre Dame di Paris.

Satu perkara yang menarik mengenai Malaysia ialah titik Kilometer Sifar Semenanjung Malaysia tidak terletak di Kuala Lumpur tetapi sebaliknya di Johor Bahru. Mengapa pula Johor Bahru merupakan titik Kilometer Sifar Semenanjung Malaysia dan bukannya Kuala Lumpur yang merupakan ibu negara?


_ BLOG JALAN RAYA MALAYSIA



Kilometer Sifar Semenanjung Malaysia yang dikira dari Pejabat Pos Johor Bahru.

Kenapa bukan Kuala Lumpur? Jawapannya mudah sahaja - kesemua laluan tulang belakang utama bagi rangkaian jalan raya Malaysia (Jalan Persekutuan 1, 3 dan 5) dikira dari Johor Bahru, meskipun titik permulaan bagi setiap laluan tersebut mungkin berbeza. Jalan Persekutuan 1 bermula dari tapak asal Kompleks Imigresen Tanjung Puteri yang sudah dirobohkan. Jalan Persekutuan 3 pula bermula dari Persimpangan Johor Bahru di KM1 Jalan Tun Abdul Razak FT1. Jalan Persekutuan 5 pula bermula di persimpangan bertingkat pangkalnya di KM19 Lebuhraya Skudai FT1.

Sementara itu, Kuala Lumpur terletak lebih kurang 380 km dari permulaan Jalan Persekutuan 1 dan 40 km dari permulaan Jalan Persekutuan 2. Oleh kerana Kuala Lumpur terletak jauh dari titik permulaan laluan tulang belakang utama, maka ia tidak sesuai dijadikan Kilometer Sifar Kebangsaan.

Dari segi sejarah pula, semua jalan raya utama di Semenanjung Malaysia bertemu di Johor Bahru sebelum ia dihubungkan ke Singapura melalui Tambak Johor apabila ia dibuka kepada lalu lintas pada tahun 1924. Dengan itu, Johor Bahru telah menjadi Kilometer Sifar Kebangsaan sejak lebih kurang 88 tahun dahulu.

Namun, apa yang mendukacitakan ialah kurangnya usaha untuk memartabatkan Kilometer Sifar Johor Bahru ini sebagai Kilometer Sifar Kebangsaan. Hanya sekeping papan tanda bersama-sama batu penunjuk jarak Kilometer Sifar Johor Bahru didirikan, menyebabkan rata-rata mesyarakat tidak mengetahui akan kewujudan Kilometer Sifar Kebangsaan ini. Usaha yang perlu dilakukan bagi memartabatkan Kilometer Sifar Kebangsaan ini ialah dengan mendirikan satu monumen peringatan oleh Kementerian Kerja Raya dengan kerjasama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Arkib Negara dan Kementerian Pelancongan, serta dengan pengisytiharan oleh Menteri Kerja Raya dan Perdana Menteri sendiri. Kilometer Sifar Kebangsaan di Johor Bahru wajar dimartabatkan sebagai Warisan Kebangsaan, berikutan peranannya sebagai titik pangkal sistem jalan raya negara sejak 88 tahun dahulu.


_ BLOG JALAN RAYA MALAYSIA



1 comments:

Wak Lat berkata...

okay noted., ;p

Catat Ulasan

Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!