September 16, 2023

HUKUM MEMOTONG DAN MENYIMPAN TALI PUSAT BAYI SELEPAS LAHIR

Definisi “tali pusat” ialah bahagian usus yangg menghubungkan bayi dengan urinya menurut Kamus Dewan Edisi Keempat. Ia boleh didapati pada bayi yang baru sahaja dilahirkan pada bahagian perutnya. Tali pusat inilah yang membekalkan nutrien berkhasiat yang diperlukan bayi semasa hamil yang disalurkan oleh ibunya. Kebiasaannya tali pusat ini akan dipotong sejurus kelahiran.

Menjadi sebahagian tradisi masyarakat kita untuk menyimpan tali pusat bayi dengan pelbagai matlamat tertentu:

  • Sebahagian menyimpannya untuk faedah perubatan, sama ada disimpan bersama dengan uri di makmal ataupun disimpan kering.
  • Sebahagian pula menyimpan kerana kepercayaan bahawa ingin ditanam bersama apabila meninggal dunia, atau ditanam bersama-sama dengan adik beradik yang lain, atau apa-apa kepercayaan.
  • Sebahagian lagi menyimpan bukan kerana faedah perubatan atau kepercayaan, tetapi hanya sebagai kenangan.

Imam al-Syirazi dalam al-Muhazzab menyebut: “Mengebumikan mayat ialah fardu kifayah kerana jika meninggalkannya di atas permukaan bumi akan mencemarkan kehormatan mayat itu dan mendatangkan mudarat kepada manusia disebabkan bau busuknya. Pengebumian di kawan perkuburan adalah afdal kerana Nabi SAW mengebumikan para sahabat yang mati di Baqi`, dan kerana ramai orang yang menziarahinya akan mendoakannya.”

Imam al-Nawawi dalam komentarnya menyebut bahawa hadis Nabi SAW mengebumi jenazah di Baqi` itu adalah hadis sahih lagi mutawatir dan hukum fardhu kifayah ini menjadi ijmak kesepakatan semua orang Islam. Rujuk al-Majmu` Syarh al-Muhazzab (5/282)

Kemudian ulama membahaskan hukum organ atau bahagian tubuh yang terputus semasa hidup. Imam Muhammad al-Syarbini al-Khatib Rahimahullahu, pengarang kitab Mughni Muhtaj (1/349) berkata: “Adapun sesuatu yang terpisah daripada sesuatu yang hidup atau ragu tentang kematiannya seperti tangan pencuri yang dipotong, kuku, rambut, darah (alaqah), darah bekam dan seumpamanya maka sunat ditanam kerana memuliakan tuannya. Disunatkan juga membungkus tangan dan seumpamanya dengan kain.”

Manakala kitab Hasyiah Qalyubi wa Umairah (1/395), telah berkata pengarang: “al-masyimah (uri) yang dinamakan sebagai al-khalas (tali pusat) adalah seperti anggota  (anak) kerana ia diputuskan daripada anak tersebut. Maka tali pusat sebahagian daripada tubuhnya.”

Adapun hukum mengerat tali pusat sejurus bersalin, maka berkata Syeikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fatani dalam Matla` al-Badrayn (1/346): “Wajib dikerat tali pusat kanak-kanak setelah dilahirkan dengan berlalu sedikit masanya.”

Dapat kita simpulkan daripada dua rujukan di atas, bahawa tali pusat dianggap sebahagian daripada bahagian tubuh bayi yang baru lahir. Justeru asal hukumnya adalah sunat menanam tali pusat itu sama seperti hukum kuku, rambut dan darah seperti darah bekam sebagai penghormatan kepada tubuh badan manusia.

Maka, kami katakan dalam hukum menyimpan tali pusat:

  • Makruh hukumnya menyimpan tali pusat bayi jika tanpa tujuan atau sebagai kenangan.
  • Harus sekiranya bagi tujuan perubatan yang terbukti oleh pakar perubatan, seperti kaedah rawatan stem cell (sel induk) yang boleh digunakan untuk merawat penyakit leukemia, thalassemia dan seumpamanya.
  • Haram jika disimpan atas tujuan kepercayaan dan khurafat yang tidak ada sandarannya di dalam Islam.

Wallahua’lam.

MuftiWP

0 comments:

Catat Ulasan

Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!