September 29, 2023

AMANZ: PayNet Mengesahkan Caj Transaksi DuitNow QR Terhadap Peruncit Bermula 1 November 2023

PayNet hari ini akhirnya mengeluarkan kenyataan rasmi berkaitan dengan caj transaksi DuitNow QR yang bakal berkuat-kuasa 1 Oktober 2023 1 November 2023 kelak, disamping memberikan penjelasan lanjut serta membetulkan beberapa laporan media lain yang kurang tepat sebelum ini.

Menurut PayNet, caj transaksi ini adalah terhadap penjual atau peruncit, dan bukannya terhadap pengguna awam. Caj ini adalah dalam usaha membolehkan rangkaian pembayaran tersebut dapat diselenggara dan diuruskan dengan baik, selain mengurangkan kos yang ditanggung bank dan penyedia perkhidmatan dalam pengurusannya.

Caj perkhidmatan ini sebelum ini disasarkan untuk diimplementasi lebih awal, tetapi ditangguhkan sehingga 1 November 2023 ini. PayNet menyatakan pengenalan caj ini tidak akan membawa kepada peningkatan harga barangan. Hal ini kerana medium pembayaran seperti kad kredit dan kad debit oleh penjual sedia membayar caj transaksi kepada penyedia perkhidmatan. Caj transaksi ini akan ditanggung oleh peniaga atau peruncit dan bukannya oleh pengguna awam.

Tambahan lagi, PayNet menjelaskan yang mana caj transaksi 50 sen untuk pemindahan lebih RM5000 adalah caj transaksi untuk pemindahan antara pengguna (P2P) dan bukannya untuk peruncit.

Menurut PayNet juga, terdapat beberapa bank yang akan meneruskan penawaran perkhidmatan secara percuma – terutamanya melibatkan peruncit dan penjual kecil. Namun, perkara ini adalah bergantung kepada bank atau penyedia perkhidmatan tersebut. Amanz

Maybank Dan Public Bank Tidak Akan Mengenakan Caj Transaksi DuitNow QR


Berita tular minggu ini ialah caj transaksi DuitNow yang dikenal oleh PayNet ke atas terhadap peruncit bermula 1 November depan. Rata-rata reaksi orang ramai adalah negatif kerana ini akan mengakibatkan kos kepada peruncit ini akan dirasai oleh pelanggan menerusi kenaikan harga barang.

Pagi ini Maybank dan Public Bank mengeluarkan kenyataan mereka tidak akan mengenakan caj transaksi DuitNow bermula 1 November. Hanya dua bank ini mengeluarkan kenyataan tidak akan mengenakan caj transaksi. CIMB pula mengeluarkan kenyataan akan hanya mengenakan caj bermula 1 Januari 2024.

Dalam siaran media yang dikeluarkan oleh PayNet yang mengendalikan sistem DuitNow, caj kadar diskaun peruncit (MDR) dikecualikan semasa pengenalan bagi meningkatkan penggunaan. Ia kemudiannya dilanjutkan lagi kerana pandemik Covid-19. Caj MDR pada waktu ini dikenakan pada setiap transaksi kad debit serta kredit. Amanz


BNM : Bank Utama Akan Mengecualikan Yuran Transaksi Ke Atas Perniagaan Mikro Dan Kecil Untuk DuitNow QR

Bank Negara Malaysia hari ini telah mengeluarkan kenyataan rasmi berkaitan DuitNow QR, sekaligus mengesahkan yuran transaksi akan diimplementasikan untuk DuitNow QR bermula 1 Oktober 2023. Ini adalah susulan daripada pengecualian yuran untuk tempoh terhad yang diperkenalkan sejak 2019.

BNM menjelaskan yuran transaksi ini adalah bertujuan untuk menampung kos menyenggara sistem pembayaran, termasuk sokongan keselamatan siber, dan beberapa perkara berkaitan lain. Seperti dimaklumkan sebelum ini, beberapa perkhidmatan pembayaran digital sedia mengenakan caj transaksi kepada penjual, termasuk untuk pembayaran kad debit dan kredit.

BNM turut menekankan yang mana pengguna individu tidak akan dikenakan sebarang caj tambahan apabila menggunakan DuitNow QR. Sebaliknya, untuk perniagaan, yuran transaksi DuitNow QR akan kekal rendah sama seperti untuk yuran pembayaran kad debit – atau lebih rendah daripadanya.

Pada masa yang sama, BNM turut mengatakan bank-bank utama dan juga penyedia perkhidmatan kewangan yang menguruskan 75% perniagaan yang menerima pembayaran secara DuitNow QR telah menyatakan akan mengecualikan yuran transaksi ke atas perniagaan mikro dan kecil.

Mengikut definisi KPDN, perusahaan mikro adalah dengan jualan tahunan dibawah RM300,000 atau kurang 5 pekerja, sementara perusahaan kecil adalah dengan jualan bawah RM15 juta atau kurang 75 orang pekerja.

Setakat ini, BNM tidak menyatakan bank-bank tersebut. Secara rasminya, Maybank dan Public Bank telah menyatakan tidak akan mengenakan caj transaksi berkenaan. Mungkin kita akan mendengar sokongan serupa oleh beberapa penyedia lain tidak lama lagi. Amanz

0 comments:

Catat Ulasan

Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Pengikut